Datin X: Puan Sri Susah Hati Kawan Baik Rapat Dengan Suami - Glam Malaysia

Datin X: Puan Sri Susah Hati Kawan Baik Rapat Dengan Suami

Berkawan itu biar berpada. Serapat mana sekalipun kita dengan sahabat kita, usah give in 100 percent. Sebab di zaman sekarang ini nilai kepercayaan semakin pupus apabila nafsu manusia terhadap material susah nak dikekang. Money talks. Dan dek kerana duit, sudah banyak cerita pasal kawan makan kawan yang kita selalu dengar saban hari. Kawan tipu duit, kawan tikam belakang, kawan dengki-mendengki dan lebih sakit hati bila kawan susah senang bersama itulah yang mengorat suami sendiri. Nasihat tak nak didengar…ha, inilah padahnya.

Ceritanya, Puan Sri Zarina dan Dalilah sudah kenal rapat lebih 10 tahun; semuanya gara-gara bekas suami Dalilah dahulunya salah seorang top manager di firma suaminya. Jadi setiap kali para suami ada agenda di padang golf, Zarina dan Dalilah akan lepak sekali di kelab golf. Dari sekadar kenalan biasa, mereka menjadi sahabat akrab seperti kakak dan adik kerana Zarina 12 tahun lebih berusia daripada Dalilah. Dalilah selalu mengadu masalah di tempat kerjanya manakala Zarina hanya menjadi pendengar setia memandangkan dia hanya suri rumah dan tak pernah bekerja seumur hidupnya.

See also
Destinasi - Modenisasi Rotan

Rumah tangga Dalilah memang dah lama retak dan hanya pada Zarina dia meluahkan kekecewaannya. Lebih-lebih lagi sejak suaminya naik pangkat, bergaji besar dan menjadi orang kanan Tan Sri, suaminya itu mulalah belajar menggatal, bercinta dengan budak kolej. Biasalah, resam kera dapat bunga. Selalulah Dalilah mengadu domba pada Zarina sebagai teman mendengar. Satu hari Zarina dapat ilham bagaimana nak bantu kawan baiknya itu. Dia berpakat dengan suami agar diambil Dalilah bekerja di firmanya. Tan Sri setuju tanpa banyak soal.

Zarina setia menemani Dalilah naik turun mahkamah menyelesaikan perceraiannya, sanggup sua dulu wang sendiri agar Dalilah boleh settle down dengan selesa sebab sekarang sudah hidup sendiri. Tapi sejak kebelakangan ini, Zarina pula yang asyik susah hati. Dalilah yang sememangnya berkelayakan tinggi setanding bekas suaminya dalam arena korporat, makin mendapat perhatian di pejabat. Sebab bagus kerjanya, dia mendapat tempat sebagai pekerja yang paling dipercayai Tan Sri. Maka selalunya mereka bersama, berpergian ke luar negara atas alasan bisnes hingga berhari-hari.

See also
#PFW: HERMÈS A/W 2019

Atas sebab sibuk, Dalilah sudah jarang bertemu Zarina. Kalau diajak keluar minum sekejap sekalipun, disuruhnya buat appointment dulu. Telefon tak berangkat, SMS pun jarang berjawab. Sampaikan Zarina terpaksa bertanya suami sendiri mengenai apa cerita terbaru Dalilah. Zarina rasa tak sedap hati. Tahu-tahu angin membawa khabar berita yang mengiyakan mimpi ngeri Zarina. Gosip ‘dari orang dalam’ menceritakan bagaimana setiap kali Tan Sri dan Dalilah pergi Hong Kong atau Singapura untuk business trip, check-in mesti satu bilik satu katil.

Perkara sumbang ini sudah hampir setahun berlarutan. Puan Sri Zarina kini sedang pening apa tindakan yang harus diambil seterusnya. Nak cerai dan berdikari, dia tak pernah bekerja dan ilmu perniagaan pun tak ada. Kalau sekadar nak gertak sahaja sang suami, kalau dia nak buat lagi, boleh saja tukar pelan B. Inilah sebabnya Datin X selalu nasihat wanita muda agar penuhi dulu ilmu di dada, belajar tinggi-tinggi dan kalau pun hidup senang-lenang, jangan sesekali duduk rumah goyang kaki. Bila dah pegang duit sendiri dan tahu selok-belok dunia, senang satu hari nanti kalau apa-apa jadi. Sebelum suami baru nak buat hal, apa-apa pun kita cantaskan dulu sebelum nasi menjadi bubur!

See also
GLAM Exposé: Menantu Hantu; Bermusuh Dengan Mertua Dan Mengongkong Pasangan