Datin X: Apabila Nikmat Ditarik Satu Persatu - Glam Malaysia

Datin X: Apabila Nikmat Ditarik Satu Persatu

Perjalanan hidup ini sukar diduga. Hari ini kita bahagia ada suami dan anak-anak, esok lusa siapa tahu kita mungkin menghabiskan sisa tua sendirian. Hari ini kita mewah wang dan harta, mana tahu esok-esok kita kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Macam kawan Datin X yang dahulunya she had it all. Sampailah suatu hari seorang gadis muda muncul dalam hidup suaminya dan dia mulai kehilangan orang tersayang, seorang demi seorang.

Syawal lalu, teman Datin X berhari Raya berseorangan tanpa anak-anak mahupun keluarga. Semuanya gara-gara bergaduh adik-beradik, lebih parah apabila mentua juga turut sama menarik muka. Anak-anak yang masih kecil, kebetulan ikut giliran beraya bersama bekas suami di Singapura, maka tinggallah Nazreen di kediaman agamnya dengan hanya bertemankan kucing-kucing kesayangan. Kasihan juga Datin X melihat dia ke masjid untuk solat terawih di malam akhir dan keesokannya kami terserempak lagi di masjid untuk solat Aidilfiltri. Datin X menyapanya lalu menjemputnya ke rumah malam nanti.

Usai Maghrib, Nazreen muncul di muka pintu. Kami bersembang sampai lewat malam. Nazreen mencurahkan kekesalannya mengenai anak-anak, mentua malah adik-beradiknya. “Apa nak buat Datin, I ada syarikat kecil saja. My kids tak ingin beraya dengan I sebabnya…hmm, mungkin I tak sekaya keluarga bekas mentua. Yes, my kids are still young tapi entahlah. To them, happiness is about having money and material. Mana mahu budak-budak tu duduk dalam kereta berjam-jam untuk pulang ke kampung? Apalagi kalau dipaksa bermalam di rumah yang tidak ada aircond. Komplen pasal nyamuk lagi, mengamuk mahu balik KL! I sendiri dah tak tahan dengan kerenah mereka. Biarlah mereka beraya dengan Tok dan Opah sebelah sana. Seronoklah…duit raya seorang seribu, itu memang pasti!”

See also
Datin X: Anak Muda Kini Semakin Bersikap Terbuka

Tambah Nazreen, “Ada masanya I menyesal mewahkan anak-anak dari kecil. Sekolah private, setiap kali cuti sekolah pergi holiday oversea. Beli barang keperluan semua serba branded. Nak apa semua dapat!” Oh, itu memang ramai yang perasan. Anna tu baru umur 10 tahun tapi sudah sandang beg Kate Spade ke sekolah. Kakaknya masa hari jadinya, Nazreen hadiahkan beg Chanel. “Bekas mentua pula memang beria-ria mahu menjauhkan cucu-cucunya dari I. Ada sahaja alasannya mahu my kids tinggal bersama mereka. Pernah dia gertak dengan perintah mahkamah bila I tidak membenarkan my kids ke rumah mentua lebih dari sebulan. I tak tahulah apa yang orang sana mahu sebenarnya. Dia saja nak menang semua. Memangnya hidup mereka mewah ada segala…tapi takkan anak-anak I pun dia nak declare dia punya!”

Nazreen pun mula bercerita mengenai kerenah bekas mentua katanya kuat mendengki dan pantang tengok dia senang. Bisnes oil and gas yang baru beberapa tahun diusahakannya sudah beberapa kali menerima nasib malang gara-gara ada tangan ghaib yang menyukarkan urusan-urusannya. “Trust me Datin, it’s not a coincidence. My father-in-law tu banyak kaki. Mentang-mentang I perempuan dalam dunia perniagaan lelaki, mudah sungguh I dipijak-pijak. Dia guna kuasa veto dan pengaruhnya untuk sekat perjanjian dengan klien baru.” Nazreen turut memberitahu bagaimana pejabat kecilnya pernah dipecah masuk dan perompak hanya mengutip hardrive komputer. Pelik tapi benar, Nazreen sampaikan menyerah kalah dan membiarkan sahaja anak-anaknya duduk di rumah mentua. “Lagi pun nampaknya my kids lebih gembira di sana. Biarlah…”

See also
Penampilan Meghan Markle Bertudung Menziarahi Masjid Curi Tumpuan Dunia

Sudahlah berperang dengan bekas mentua, anak-anak tidak ingin tinggal sebumbung dengannya dan kekecewaan Nazreen bertambah apabila adik-beradiknya juga sudah enggan lagi bercakap dengannya. “Ini pun satu hal. You know my siblings ada syarikat yang bernaung di bawah sayap syarikat my ex in-law. Sejak kami bercerai, bisnes adik-adik I semua affected. Ex in-law sudah ada bunyi nak cari pasal. Tak semena-mena I pula yang jadi penyebabnya. Dah banyak cakap banyak kali, jangan terlalu bergantung pada orang. Sekarang bila ada masalah, sudah tak boleh berdiri sendiri. Adik-adik minta I tampung rugi. When I said no way, semua tutup telefon, tak mahu jawab mesej. Lebih teruk, hasut my parents supaya turut sama marahkan I. I nak sangat balik kampung raya ni…tapi amarah parents I tu buatkan I berat langkah,” ujar Nazren separa sebak.

“Naz, maybe you should remarry. You tahu, love can heal you. Nanti I tanya kawan-kawan I mana yang ada calon untuk you!” kata Datin X memberi semangat. Balas Nazreen, “Siapalah yang masih available? Lelaki seusia I ni, kalau bukan sudah berkahwin, sure dia gay! Kawan-kawan I banyak lagi yang hot, cantik, berjaya, kaya…tapi masih lagi single. Jenuhlah kalau macam tu!” Nazreen ketawa tapi masih tampak dari riaknya sebuah kerisauan yang nyata. Bagi kita yang masih mampu merasai kasih sayang berkeluarga, belajarlah jadi manusia bersyukur. Kekurangan sikit-sikit itu biasa. Bila Allah tarik nikmat secara total, barulah kita sedar betapa bertuahnya kita semua.

See also
Retorik: Rahsia Muda Dengan Teknologi Terkini- oleh Heidi Nazaruddin