Datin X: Persahabatan Toksik Tanpa Sedar
Datin X kurang faham dengan orang kebanyakan yang sibukkan berapa bilangan kawan mereka di Facebook dan pengikut di
Instagram. Macamlah diri itu selebriti. Kawan ramai tapi tiada kualiti pun tidak ada gunanya. Datin X sendiri ada kawan di media sosial, selalu dia ‘menegur’ di ruangan komen. Apa yang peliknya, bila kami bersemuka di parti, dia selalu mengelak buat-buat tidak nampak. Kata teman, “Dia segan kut jumpa you!” Segan? Tapi perempuan itulah yang paling loud dalam parti tu! Datin X fikir, bagus juga kalau awal-awal lagi kita sudah nampak true colors peribadi seseorang. Sebab bukan semua kawan layak disimpan. Lebih dari separuh buat menyemakkan kepala sahaja.
Pada sebuah resepsi perkahwinan baru-baru ini, Datin terserempak dengan anak teruna arwah Datin Kamila, Yusuf. Kalau tidak silap, Yusuf mungkin baru berusia 17 atau 18 tahun, masih bersekolah. Orangnya handsome, tambah pula baik betul budaknya. Kalau berselisih mesti dia menegur dan menghulurkan salam. Kalau ada majlis agama, Yusuf sentiasa di baris hadapan. Selalu dia diberi peluang mengalun bacaan doa. Bak kata orang, sejuk perut ibu mengandung!
Di majlis berkenaan, ramailah mak-mak datin berseloroh mahu bermenantukan Yusuf. Semua bercita-cita ingin memadankan Yusuf dengan anak gadis masing-masing. Iyalah, sudahlah baik budaknya, tinggi, kacak dan banyak duit pula. Bisnes bapanya, tentu sahaja akan jatuh ke tangannya suatu hari nanti. Hari ini pun, Yusuf kerap menemani Datuk ke sana-sini bertemu rakan-rakan niaganya.
PERSAHABATAN TOKSIK TANPA SEDAR
Arwah ibunya, Datin Kamila dahulu cukup baik dengan Datin X. Mesra dengan panggilnya Milla, dia memang murah hati dalam bab belanja kawan-kawan berparti. Rutinnya bermula dari Kuala Lumpur ke Jakarta, kemudian Bali sebelum terus jetset ke London. Ada juga beberapa kali mengikutinya ke Jakarta, lepak di Dragonfly bersama ‘sosialitas’ sana. Kak Mila waktu itu, walaupun usia sudah menginjak 60-an, dia tetap hot. Masih berskirt, baju tanpa lengan, kadang-kala berambut palsu. Kami paling suka dengar dia bagi ‘toast’ di setiap acara makan anjurannya, kerana Milla memang seorang yang kelakar dan suka berkongsi cerita lucu.
Walau usia lewat separuh abad, Datin Kamila tidak pernah sakit. Kehidupannya cukup happening seolah-olah masih berdarah muda. Namun takdir sudah tertulis dan Milla kembali menghadap Ilahi apabila dia rebah secara tiba-tiba waktu subuh. Pemergiannya memang amat mengejutkan rakan taulan kerana dia langsung tidak ada gaya orang sakit. Datin X ingat lagi, waktu itu Yusuf baru sahaja masuk sekolah rendah. Driver berkejar menjemputnya di sekolah dan terus bawanya pulang. Sedih sangat mengenangkan saat anak kecil itu berdiri di muka pintu, tergamam menyaksikan jenazah ibu terbujur kaku di tengah rumah.
Semasa jenazah dikebumikan selepas Zuhur, kawan-kawannya mula menderu-deru datang ke kawasan perkuburan. Nampaklah yang arwah seorang yang popular dan ramai kawan. Namun apa yang membuatkan Datin X terkilan, rata-rata yang datang berpakaian kurang sopan. Mungkin ada yang datang dari tempat kerja, kerana ada yang berbaju ketat dan ada juga yang sungguh clueless berskirt. Rambut pula tidak berselendang, kalau ada pun sekadar kain melitup separuh kepala. Siap ada yang pakai high heels lagi! Ramai yang memberi alasan, tidak sempat pulang ke rumah untuk menukar pakaian. Tapi dari pemerhatian sendiri, tidak pernah pula Datin X lihat suasana di perkarangan kubur dengan para tetamunya berbaju tidak cukup kain. Sebilangan meraung dan berteriak di tepi kubur. Buang tebiat ke? Bunyi pelikkan? Tapi percayalah, ini kisah benar!
Bukan Datin X mahu mengaibkan teman yang sudah kembali, tetapi kejadian tersebut seolah-olah sebuah peringatan kepada Datin X mengenai batas persahabatan. Kita perlu berbaik dengan semua orang tetapi dengan kelompok terdekat, pilihlah teman yang boleh merangsang kita ke arah kebaikan. Sudahlah hidup laksana tidur atas duit, maka kelebihan sebegini selalunya jadi penyebab kepada lalai dan lupa. Kerana kita semua bukan sempurna dan sebab itu juga kita perlu simpan kawan-kawan yang sentiasa saling mengingati antara satu sama lain.
Harta dan kesenangan itu ujian. Kawan bersuka-suka juga ujian. Namun itu bukan alasan untuk kita terus leka. Dalam menuju matlamat untuk sebuah pengakhiran yang baik, siapa orang disekeliling kita amat penting. Datin X juga banyak kali tertipu dengan persahabatan yang toksik. Kita rasa teman-teman happening inilah sahabat sebenar walhalnya mereka ini jugalah yang membawa kita menyimpang jauh.
Dengar khabar, seminggu selepas arwah meninggal, ada sekumpulan kawan baiknya anjurkan sebuah gathering makan-makan untuk mengingati kembali kenangan bersama Datin Kamila sewaktu hidupnya. Datin X bayangkan mesti ada juga melaung yang berangan bagi ‘toast’ kan? Tapi apa yang pasti, Allah Maha Kaya dan arwah masih punya anak lelaki, Yusuf untuk menyedekahkannya doa. Bagus Milla ada juga beringat untuk menyekolahkan anaknya di Maahad Tahfiz. Sekarang sudah pun bergelar Huffaz. So in the end of the day, not all are lost.
Dipetik daripada GLAM Isu MAC 2019.