Tubuh Selembut Sutera

Tubuh Selembut Sutera

Oleh: Amira Azman

 

shutterstock_331349933

Seringkali terdedah kepada sinaran cahaya matahari membuatkan kulit tampil kusam dan kering. Ditambah pula cuaca Malaysia yang kadang kala tidak menentu menjadikan ia faktor utama kepada pendedahan kulit rosak.  Ramai yang masih tidak memikirkan betapa pentingnya untuk menjaga kulit badan selain daripada penjagaan kulit muka juga rambut. Selain mengamalkan pengambilan makanan seimbang, pelbagai produk kini hadir dalam pelbagai formula berfungsi membantu memulihkan lagi kulit tubuh dengan segera. Setiap kandungan bahan kimia yang disapu pada kulit haruslah dititik beratkan dan bukan membelinya  kerana termakan pujukan iklan. Mulai sekarang,  kaji selidik jenis kulit anda melalui nasihat pakar sebelum terlambat!

 

Intipati dan Formula Terbaik
Ini paling utama sebelum melaburkan duit. Sebaik-baiknya pilih kandungan yang mempunyai bahan-bahan berkhasiat seperti minyak pati pelbagai jenis mengikut kesesuaian kulit lalu bertindak dan menyerap pantas ke dalam kulit untuk mengekalkan kelembutan juga keanjalannya selain  menghasilkan aroma wangi buat efek minda yang lebih menenangkan. Pati minyak lavender adalah di antara minyak pati terbaik untuk rawatan kulit. Selain menghasilkan bau yang menyenangkan, ia membantu mengawal vibrasi negatif dan juga menjana semula sel kulit sempurna. Minyak pati geranium juga popular dalam menyelia kawalan minyak pada kulit dan mengurangkan kemunculan jerawat. Selain itu, ia turut berfungsi membaik pulih peredaran darah dalam badan serta menghilangkan kesan parut dan calar pada kulit.

See also
Bual Cantik Bersama YBhg Puan Anis Nabilla

 

Petua Mandian Sempurna
Selain mengaplikasikan produk rawatan ke dalam rutin mandian, amalan petua tradisional turun temurun juga menjadikan kulit selangkah lebih menawan. Antaranya, mandi dengan air suam bagus untuk mandian yang selesa dan menenangkan. Lakukan ia setelah pulang dari kerja agar rasa penat seharian di tempat kerja dapat dihilangkan. Tetapi ingat, air hanya perlu suam sedikit dan bukan mandi air panas kerana ia hanya akan mengeringkan kadar minyak semulajadi pada kulit. Hindar perkongsian loofah bersama orang lain kerana ia meninggalkan bakteria dan kotoran yang sukar ditanggal dan berisiko melekat di kulit anda jika tidak dibilas bersih. Cara terbaik membersihkannya ialah dengan memastikan ia digantung sehingga kering setiap kali selepas menggunakannya. Lakukan rutin mandian sempurna bermula dengan sabun mandian, lakukan rawatan pengelupasan dua kali seminggu dan akhiri dengan sapuan losen badan selepas mandi untuk kulit kekal lembap.