Seri Pengantin Izza Atirah Disempurnakan Oleh Sentuhan Ahmad Dani
Sabtu lalu, suasana penuh syahdu menyelubungi sebuah majlis tertutup apabila Aazief Khalid, anak tiri kepada Datuk Seri Siti Nurhaliza, sah bergelar suami kepada wanita pilihannya, Izza Atirah. Dengan hanya sekali lafaz, ikatan cinta yang dibina akhirnya disempurnakan, disaksikan keluarga terdekat yang hadir penuh doa dan harapan.
Majlis sederhana itu sarat dengan simbolik. Izza menerima mas kahwin berupa satu dinar emas, tanda tanggungjawab dan kasih sayang yang baru dipikul. Walaupun tanpa kemeriahan besar-besaran, keberkatan majlis jelas terpancar pada wajah kedua mempelai. Malah, Datuk Seri Siti turut berkongsi rasa syukur melalui Instagram Story dengan ucapan ringkas, “Alhamdulillah,” yang menggambarkan kegembiraannya menyaksikan fasa baharu dalam kehidupan Aazief.
Di sebalik keindahan majlis tersebut, perhatian turut tertumpu kepada penampilan Izza Atirah. Anggun dalam busana putih, wajahnya diserlahkan dengan solekan yang cukup lembut namun memukau hasil sentuhan jurusolek terkenal, Ahmad Dani.
Solekan Natural Dengan Aura Pengantin
Ahmad Dani tidak asing lagi dalam dunia solekan pengantin, dan untuk hari istimewa Izza Atirah, beliau mengekalkan gaya yang menjadi identitinya. “Izza minta my signature bridal makeup look, nothing too bold. Dia nak masih nampak macam diri dia, tetapi dengan seri pengantin,” kongsinya.
Kunci kepada hasil sempurna itu terletak pada persiapan kulit. Dani menekankan skin prep menggunakan Bobbi Brown Vitamin C Enriched Moisturiser bagi memastikan kelembapan mencukupi. Seterusnya, YSL All Hours Glow Foundation menjadi pilihan untuk memberikan efek glowing semula jadi sesuai dengan majlis siang yang intim dan sederhana.
Menariknya, Izza juga menambah sedikit sentuhan peribadi. Dia tidak begitu selesa dengan warna bibir nude, lalu Dani memilih rona pink lembut yang menambahkan keyakinan serta mengekalkan keperibadian dirinya.
“Saya suka bila pengantin yakin dengan diri sendiri, itu yang buat look jadi lebih berseri,” kata Dani.
Rahsia Solekan Izza Atirah Tahan Lama

Kredit foto: Instagram Ahmad Dani
Dalam setiap solekan pengantin, ketahanan adalah kunci utama. Dani berkongsi tip paling penting: hydration. “Bila kulit cukup lembap, makeup akan bertahan lebih lama. Saya selalu cadangkan bakal pengantin pakai hydrating mask malam sebelum hari bahagia,” jelasnya.
Bagi Dani, setiap elemen solekan ada peranan masing-masing, namun base makeup tetap menjadi fokus utama.
“Kalau base cantik, semua akan cantik,” tambahnya. Hasilnya, wajah Izza kekal segar sepanjang majlis, memancarkan seri yang membuatkan semua mata tertumpu kepadanya.
Solekan akad nikah Izza Atirah membuktikan bahawa kecantikan sejati bukan terletak pada perubahan drastik, tetapi bagaimana sentuhan halus mampu menyerlahkan keaslian diri. Ahmad Dani berjaya menyeimbangkan kelembutan, keyakinan, dan seri pengantin dalam satu hasil yang akan dikenang bukan sahaja oleh Izza, tetapi juga semua yang menyaksikan detik bersejarah itu.
Majlis yang sederhana namun penuh bermakna ini memperlihatkan bahawa dalam sebuah perkahwinan, yang paling penting bukanlah gahnya acara, tetapi ikatan yang sah, kehadiran insan tersayang, dan seri yang lahir daripada hati seorang pengantin.
GLAM mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Izza Atirah dan Aazief Khalid atas penyatuan cinta mereka. Semoga ikatan yang terbina ini dipenuhi dengan keberkatan, kebahagiaan, dan kasih sayang yang berkekalan.
Artikel berkaitan: 10 Jurusolek Selebriti Paling Dicari Pengantin 2025
Farhana Fuad
Farhana Fuad merupakan Pengurus Kanan Kandungan di GLAM Malaysia. Menggabungkan kepakaran dalam penulisan editorial dan strategi SEO, Farhana menerajui kandungan semasa dan gaya hidup.

