Pentingnya Memiliki Kulit Wajah Mulus
Trend solekan tebal masih menjadi pilihan. Namun kala bersolek tebal, harus diingat betapa pentingnya juga untuk mengekalkan kulit wajah mulus.
Alicia Keys pernah mendedahkan kepada umum yang dia tidak lagi bersolek apabila berhadapan khalayak ramai tidak kira sama ada kala membuat persembahan ataupun melewati karpet merah. Meski ramai yang menganggap wajah yang sempurna itu lebih cantik setelah berlapiskan mekap tebal, namun kesihatan kulit yang selama ini anda layangkan benda asing demi meliputi segala cacat cela pada wajah itu haruslah dipandang berat.
Nampaknya dunia kecantikan kini sudah mula menekankan betapa pentingnya penjagaan kulit wajah. Pun begitu, masih ada yang memandangnya remeh dan tidak melihat kepentingan untuk memiliki kulit yang bersih, halus dan mulus. Remaja yang baru ingin mengenal dunia, sibuk menghabiskan duit membeli pelbagai jenis mekap daripada bedak asas hinggalah ke colour corrector.
Pengaruh media sosial dan internetlah antara yang menjadi punca utama mengapa masyarakat semakin obses dengan solekan tebal hari ini. Sebenarnya, tiada salah untuk melawa dan mengekspresikan diri menerusi stail solekan tersendiri tetapi harus berpada-pada. Bersolek tetapi tidak membersihkan wajah dengan sempurna akan mengundang kepada masalah kulit. Dan jika tidak dirawat, ianya akan menghantui kulit anda sehingga ke usia tua.
Salah satunya, sudah tentu masalah jerawat. Ia mudah hinggap sehingga mampu meninggalkan parut yang ketara. Kita tidak mahu masalah ini menghantui anak remaja. Sebaiknya mereka ini harus diasuh untuk menjaga kebersihjan kulit terlebih dahulu serta bersederhana kala bersolek. Mereka juga perlu didedahkan dengan pemilihan produk yang betul, bersesuaian dengan kulit muka masing-masing.
Apabila berbicara tentang penjagaan wajah, pemakaian produk yang salah juga akan mengundang masalah pada kulit. Kita semua perlu prihatin pada kehendak kulit wajah kita. Fahami dan sedari, mempelajari kondisi kulit sendiri sebenarnya mengambil masa yang sangat lama. Jadi, jika anda belum selami betul-betul, jangan menambahkan lagi masalah kulit anda.
Love your skin better than your makeup… barulah kulit akan kekal cantik meski usia cecah 50 tahun!
Pautan Berkaitan: Jared Leto – Dari Industri Hiburan Ke Dunia Kecantikan