Kulit Kering Punca Minyak Wangi Tidak Tahan Lama - Glam Malaysia
Kulit Kering Punca Minyak Wangi Tidak Tahan Lama

Kulit Kering Punca Minyak Wangi Tidak Tahan Lama

Selama ini anda mungkin salahkan konsentrasi minyak wangi tidak tahan lama aromanya! Rupanya kulit kering atau cara pemakaian itulah punca utama kenapa ia tidak tahan. Ini cara yang betul untuk anda pakai minyak wangi.

Minyak Wangi

Memilih atau memakai minyak wangi itu mudah, hanya pilih ikut mood dan sembur di bahagian tertentu. Dalam dunia olfaktori, cara mengaplikasikan minyak wangi adalah sama pentingnya dengan komposisi nota itu sendiri. Sebagai contoh, penempatan yang betul untuk Eau de Parfum itu bergantung sepenuhnya pada persekitaran di mana ia dipakai. Menurut maestro wangian, Francis Kurkdjian sewaktu GLAM bertemu dengannya di Bangkok, dia berkata sebenarnya memakai minyak wangi ini bergantung kepada jenis kulit, jika anda mempunyai kulit kering, ini adalah punca utama kenapa wangian tidak tahan lama terutama jika berada di cuaca beriklim tropika. Ini cara ringkas, bagaimana untuk anda betulkan kembali teknik pemakaian minyak wangi dengan tepat:

1. Jangan gosok atau tepuk selepas sembur

Tabiat manusia selepas sembur pasti nak gosok, konon aromanya melekat sana-sini. Aplikasi ini adalah salah! Tolong jangan diulangi! Geseran yang anda cipta itu menyebabkan kulit terasa semakin panas dan secara tidak langsung ia menghasilkan enzim semula jadi yang mengubah haruman sebenarnya minyak wangi terbabit. Paling terjejas adalah nota tengah dan atas bersama-sama dengan dry-down atau aroma yang terakhir selepas penyebaran wangian anda. Untuk mengekalkan integriti wangian anda dan juga memastikan ia bertahan lebih lama pada kulit anda, sembur kedua-dua pergelangan tangan dengan ringan, biarkan cecair meresap dan siap!

See also
Orientasi Oriental Abd Razak Ahmad

2. Fokus pada Titik Nadi

Titik nadi pada badan anda adalah di pergelangan tangan, leher, dan belahan dada. Ia merupakan bahagian badan anda mengeluarkan haba yang boleh membantu nota wangian tersebut berkembang lebih cepat. Cara terbaik adalah menyembur minyak wangi kira-kira lima inci dari kulit. Jika anda menyemburnya terlalu dekat dengan kulit, ia boleh membawa kepada aliran cecair yang boleh terasa tidak menyenangkan. Dua atau tiga semburan sudah cukup untuk membuatnya bertahan. Tempat lain yang boleh anda sembur adalah di belakang lutut, tulang selangka, atau pada rambut anda.

Minyak Wangi

3. Elak Menyembur pada Pakaian

Berhati-hati menyembur minyak wangi pada pakaian. Ia mungkin melunturkan warnanya, jadi berpegang pada kulit anda.

4. Belilah Minyak Wangi Bukan 100ml, lagi kecil lagi bagus!

Walaupun gah dengan 100ml, tetapi percayalah minyak wangi ini harus dipakai dengan pantas, jika anda simpan botol separuh guna pada rak anda ia akan membenarkan oksigen dan juga musuh utama minyak wangi. Kerana ia perlahan-lahan memecah molekul haruman, mengubah komposisinya atau kalau anda sayang sangat dengan wangian yang sedia ada, Francis sarankan untuk  meletakkan wangian separuh kosong anda di dalam peti sejuk untuk mengekalkan kembangan komposisinya.

See also
TOD’s Ambil Bahagian Dalam Pemulihan Colosseum

5. Teknik Layering Itu Kena Tepat Fungsinya

Ada haruman baru yang anda mahu campurkan dengan wangian kegemaran anda? Jika anda, cuba pilih kedua-duanya dari nota haruman yang sama dan apabila anda layer ia akan menggabungkan wangian dan membenarkan penyerapan tambahan ke dalam kulit dan memaksimumkan angkatan wangian.

Minyak Wangi

6. Masalah Kulit Kering, Ini Solusinya

Menurut Francis, minyak wangi memang tidak akan tahan lama pada kulit kering, saranan dia adalah sapu losyen atau pelembap atau krim yang boleh melembapkan kulit, pastikan ia tidak punya aroma, barulah anda spray seperti kebiasaan. Jangan tutupnya dengan pakaian anda dan  sebaliknya sasarkan kawasan yang terdedah kepada udara seperti titik nadi leher dan pergelangan tangan atau siku dalam, jika anda memakai blaus tanpa lengan. Jika untuk cuaca di Malaysia, jangan sembur terus pada badan anda kerana jika berpeluh, minyak semula jadi kulit boleh memusnahkan haruman wangian anda lebih cepat. Alternatif adalah sembur pada rambut, selendang, atau sarung anda dengan ringan.

See also
Gastronomi Sensual GLAM X Jo Malone London

Artikel berkaitan 5 Minyak Wangi Mewah Pilihan Intan Najuwa & Rakan Selebriti

Siapa Julia Azman? Pengarah Kecantikan GLAM ini mengukir nama dalam dunia editorial selama 14 tahun. Perjalanan dari dunia fesyen ke kecantikan membuatkan dia mahir memimpin platform digital dan cetak. “Percayalah rendam wajah dalam ais, buat kulit instant GLOW!”

Pengarah Kecantikan