Hailey Bieber Nafi Cucuk Botox, Ini Rawatan Wajah Yang Dilakukan
Dalam dunia Hollywood yang sarat dengan trend suntikan kosmetik, Hailey Bieber tampil berbeza.
Isteri kepada Justin Bieber ini mengakui bahawa beliau tidak menggunakan Botox pada wajahnya, kecuali untuk tujuan perubatan bagi merawat masalah sendi rahang (TMJ). Hailey percaya kecantikan sebenar bukan datang daripada perubahan drastik, tetapi melalui penjagaan kulit yang konsisten dan gaya hidup sihat.
Pilih rawatan wajah selain Botox

Sebagai alternatif kepada Botox, Hailey memilih rawatan PRP (platelet-rich plasma) dan PRF (platelet-rich fibrin) iaitu prosedur yang menggunakan darah sendiri untuk merangsang kolagen dan memperbaiki tekstur kulit secara semula jadi. Rawatan ini menjadi kegemarannya kerana memberikan hasil yang lembut dan tidak mengubah ekspresi wajah, berbeza dengan kesan kaku yang sering dikaitkan dengan suntikan Botox.
Dalam satu temubual di In My Dreams, Hailey berkongsi bahawa dia berjanji pada diri sendiri untuk tidak melakukan Botox sehingga berusia 30 tahun, dan apabila tiba waktunya, dia akan menilai semula sama ada benar-benar perlu. Pendekatan ini menunjukkan keyakinannya terhadap kecantikan semula jadi serta kesedaran tentang pentingnya memahami tubuh dan kulit sebelum membuat keputusan besar.

Selain rawatan klinikal, Hailey juga amat disiplin dengan rutin penjagaan kulit harian. Beliau memastikan untuk tidak pernah tidur dengan solekan, sentiasa mencuci wajah dua kali sehari, dan menggunakan pelembap ringan bersama serum yang menghidratkan. Hailey turut menekankan pentingnya pelindung matahari setiap hari sebagai langkah kecil tetapi memberi kesan besar terhadap kesihatan kulit dalam jangka masa panjang.
Bagi Hailey, kecantikan bukan sekadar rupa paras sempurna di hadapan kamera. Ia tentang menyayangi diri dan menjaga kulit dari dalam, melalui pemakanan seimbang, tidur cukup, dan keseimbangan emosi. Pendekatannya yang jujur dan realistik menjadikan Hailey Bieber inspirasi baharu dalam dunia kecantikan moden sekaligus membuktikan bahawa anda tidak memerlukan Botox untuk tampil berseri dan yakin.
Artikel Berkaitan: Face Taping Solusi Kedutan Tanpa Botox?
Maya Kusuma
Maya Kusuma merupakan penulis di GLAM Malaysia. Penulisannya menjelajah dunia gaya hidup moden dan mewah, berkongsi kisah personaliti terkenal serta menyentuh aspek fesyen dan kecantikan.

