GLAM First: Eksklusif Bersama Jurusolek Rozlan Nassir, Dedah Guna 3 Produk Untuk Tengku Puteri Afzan Di Majlis Sanding Diraja!
Istiadat Bersanding Diraja yang ditunggu-tunggu akhirnya tiba, aura pengantin Tengku Puteri Afzan makin terserlah disebalik sentuhan magis jurusolek terkenal, Rozlan Nassir. GLAM singkapkan cerita menarik disebalik sesi solekan eksklusif ini.
Puteri kesayangan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj, Yang Amat Mulia (YAM) Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kini sah bergelar isteri kepada FD Idzham FD Iskandar pada tanggal 22 Ogos 2024.
Disebalik kemeriahan perkahwinan Diraja selama 3 hari ini, GLAM mendekati jurusolek terkenal, Rozlan Nassir yang bertanggungjawab untuk menyolek wajah ayu lagi cantik puteri kesayangan rakyat Pahang! Ikuti sembang cantik GLAM bersama Rozlan Nassir mengenai rahsia solekan Tengku Puteri Afzan untuk Istiadat Bersanding kala dia melangkah ke Balai Temenggung Istana Abdul Aziz, Kuantan Pahang.
“Tengku Puteri Afzan tidak gemar warna gincu terang! Cukup sekadar tekstur dan warna samar-samar kerana bibirnya sendiri sudah punya warna semula jadi” – Rozlan Nassir
SEMBANG CANTIK BERSAMA JURUSOLEK SELEBRITI, ROZLAN NASSIR
1. Personaliti Tengku Puteri Afzan di mata Rozlan Nassir?
Menerusi pengalaman saya menyolek pengantin diraja, masing-masing punya personaliti dan citarasa berbeza. Buat Tengku Puteri Afzan, bagi saya beliau ialah figura yang mudah dan senang untuk saya melakarkan kanvas cantik di wajah mulusnya. Personaliti yang mudah didekati, buat saya memahami apa kehendaknya sebelum dirias.
2. Seperti kebiasaan solekan pengantin, jurusolek terbabit perlu hadir untuk sesi pra-percubaan (trial) sebelum di majlis sebenar, adakah Rozlan juga melalui proses ini bersama Tengku Puteri Afzan?
Wajib setiap bakal pengantin melakukan sesi ini agar mereka mengetahui jenis solekan yang manakah sesuai dengan raut wajah mereka. Untuk Tengku Puteri Afzan, saya melalui sebanyak 3 kali sesi pra-percubaan (trial) solekan. Pada sesi pertama, hanya saya dan Tengku Puteri Afzan. Pertemuan pertama ini, sangat lancar kerana ini adalah proses pertama untuk saya mengenali dirinya dengan lebih dekat. Tengku Puteri Afzan ada berkongsi ideanya mengenai jenis solekan yang menjadi kegemarannya.
Buat sesi kedua pula, semenjak saya mula mengenali personaliti beliau. Saya fokus dengan barisan produk penjagaan kulit yang sesuai dan digemari oleh Tengku Puteri Afzan sebelum menyolek solekan tipis ke wajah ayunya. Menurut beliau, bondanya sentiasa menjadi rujukan utama buat dirinya. Oleh itu, apabila sesi terakhir, saya bertemu Tengku Puteri Afzan dan bondanya, Tunku Azizah Aminah. Tunku Azizah Aminah menyatakan hasratnya untuk melihat puteri kesayangannya kelihatan cantik berseri seperti pengantin di era dulu-kala. Tidak perlu berias beriya, cukup sekadar solekan tipis dan malar segar.
3. Di majlis sanding Diraja, apakah ilham solekan Rozlan untuk Tengku Puteri Afzan?
Jika sebelum ini, dua istiadat utama Tengku Puteri Afzan saya hanya melaksanakan ilham solekan yang tipis. Untuk majlis sandingnya, Tunku Azizah Aminah berkenan untuk saya rias wajah puterinya sedikit elemen bold namun masih menyerlahkan wajah pengantin. Untuk memastikan wajah Tengku Puteri Afzan glowing sepanjang istiadat sandingnya, saya fokus kepada prepping skin dengan barisan penjagaan kulit dari Bobbi Brown dari serum dan pelembap wajah.
Selepas itu, saya memilih barisan produk kosmetik yang berasaskan krim agar ia menyerlahkan lagi solekan Tengku Puteri Afzan di pentas singgahsana sepanjang istiadat berlangsung. Solekan yang berasaskan krim ini, saya fikir jika jauh dan dekat, kulitnya sentiasa bersinar segar.
Di istiadat persandingan ini, saya memilih ilham solekan mata dalam mainan tona gelap dan cerah yang mencipta dimensi mata lebih berseri. Di bahagian atas kelopak mata, saya biarkan ia tidak tersentuh. Solekan mata ini, tiada celak mata dan tiada maskara di bawah mata. Cukup sekadar bermain di bahagian atas mata. Bibir Tengku Puteri Afzan, saya sekadar calitkan penggaris bibir berwarna lembut, dan Tengku Puteri sendiri menyapunya agar warnanya samar-samar agar warna tidak keterlaluan.
4. Apakah produk kecantikan pilihan personal Tengku Puteri Afzan?
Tengku Puteri Afzan sangat menjaga kulit wajahnya malah beliau lebih menggemari barangan penjagaan kulit wajah berbanding membeli barangan solekan. Namun, jenama produk kosmetik terkenal Bobbi Brown yang juga merupakan pilihan Kate Middleton sewaktu dirinya berkahwin turut menjadi pilihan Tengku Puteri Afzan.
5. 3 produk gincu yang digunakan oleh Rozlan untuk Tengku Puteri Afzan sewaktu Istiadat nikah, berinai dan sanding?
Untuk istiadat nikah, bondanya berpesan agar Tengku Puteri Afzan tampil ayu, berseri. Maka, saya mencipta solekan yang memberikan nilai sentimental buat pengantin. Pengilat bibir, YSL Loveshine yang baharu menjadi pilihan saya untuk Tengku Puteri Afzan kerana warnanya tidak terlalu menonjol. Manakala penggaris bibir berwarna Charlotte Tilbury kod Iconic Nude dan digandingkan bersama Lip Glass Clear, M.A.C Cosmetics. Untuk sanding pula, saya meletakkan dulu lipcare dari Bobbi Brown, kod Bare Pink dan dibiarkan selama 2 jam sebelum menyalap gincu Charlotte Tilbury kod Kidman’s Kiss.
6. Perasaan Rozlan apabila dipanggil untuk menyolek Tengku Puteri Afzan?
Pressure but in a good way! Semestinya saya inginkan yang terbaik untuk beliau dan juga tambah pengalaman istimewa buat diri saya. Tip yang sentiasa saya amalkan, kosongkan minda sebelum melangkah ke lokasi pengantin dan terus melakukan karya seni terbaik!
7. Bagaimana pula reaksi Tengku Puteri Afzan apabila anda siap menyolek wajahnya?
“Lan, okay I like this base and confident with it!” kata Tengku Puteri Afzan kala selesai saya meletakkan base pada wajahnya. Dari situ saya nampak yang beliau selesa dengan cara yang saya laksanakan.
Artikel berkaitan Perkahwinan Diraja YAM Tengku Puteri Afzan Aminah Bakal Berlangsung