Elak Produk Tenusu dalam Makanan Boleh Cantikkan Kulit?
Benarkah elak produk tenusu dari diet boleh jadikan kulit lebih bersih?
Bila bercakap tentang kulit yang sihat dan bersih, ramai orang sanggup cuba macam-macam cara daripada guna produk penjagaan kulit yang mahal sehinggalah menukar diet harian. Salah satu trend yang semakin popular sekarang ialah mengurangkan atau tolak terus produk tenusu daripada diet. Tetapi betul ke langkah ini boleh bantu kulit jadi lebih cantik?
Produk tenusu dan kulit wajah

Produk tenusu seperti susu, keju, yogurt dan ais krim memang sedap dan kaya dengan nutrisi. Namun, ia juga mengandungi hormon semula jadi yang boleh mempengaruhi kulit. Ada kajian yang mendapati pengambilan susu, terutamanya susu skim, ada hubungan dengan peningkatan jerawat. Teorinya, hormon dalam susu boleh merangsang pengeluaran minyak berlebihan pada kulit. Bila minyak bercampur dengan kotoran dan sel kulit mati, pori jadi tersumbat lalu muncullah jerawat. Tetapi jangan salah faham, tidak semua orang akan alami kesan yang sama. Ada orang makan keju hari-hari, kulit mereka tetap licin tanpa sebarang masalah. Ada pula yang hanya minum segelas susu, terus naik jerawat di dahi atau dagu.
Kalau anda sering mengalami masalah kulit berminyak atau jerawat yang tak surut-surut walaupun dah cuba macam-macam produk, mungkin berbaloi untuk buat “uji kaji” dengan badan sendiri. Caranya mudah: hentikan produk tenusu selama dua hingga empat minggu, kemudian tengok perubahan pada kulit anda. Kalau nampak perbezaan positif contohnya jerawat makin berkurang, kulit kurang berminyak atau nampak lebih berseri mungkin badan anda memang sensitif terhadap tenusu. Kalau tiada perubahan, mungkin puncanya datang dari faktor lain seperti hormon, stres, kurang tidur atau rutin penjagaan kulit yang tidak sesuai.

Namun, satu perkara penting ialah jangan abaikan nutrisi. Tenusu adalah sumber kalsium dan protein yang baik untuk tubuh, terutama sekali untuk tulang dan gigi. Jadi, jika anda memilih untuk hentikan produk tenusu, pastikan anda ganti dengan sumber lain. Contohnya susu tumbuhan seperti susu soya, oat atau badam, sayuran hijau seperti brokoli dan bayam, serta kekacang dan biji-bijian. Dengan cara ini, anda tetap boleh jaga kesihatan badan tanpa bergantung pada tenusu.
Kesimpulannya, mengurangkan atau menolak produk tenusu mungkin membantu sesetengah orang mendapat kulit lebih bersih, tetapi ia bukanlah penyelesaian menyeluruh. Kulit setiap orang berbeza dan banyak faktor lain yang mempengaruhi, bukan hanya diet. Cara terbaik ialah kenali tubuh anda sendiri, buat eksperimen secara berhemah, dan jika masalah kulit masih berlarutan, dapatkan nasihat daripada pakar dermatologi. Kadang-kadang, kulit yang sihat bukan hanya tentang apa yang kita letak di muka, tetapi juga apa yang kita masukkan ke dalam badan.
Artikel Berkaitan: Antioksidan Ini Adalah Bahan Penjagaan Kulit Yang Perlu Anda Tahu
Maya Kusuma
Maya Kusuma merupakan penulis di GLAM Malaysia. Penulisannya menjelajah dunia gaya hidup moden dan mewah, berkongsi kisah personaliti terkenal serta menyentuh aspek fesyen dan kecantikan.

