5 Punca Pusat Berdaki Dan Berbau Yang Anda Perlu Tahu
Ew! Pusat berbau busuk dan masam! Mesti anda semua tertanya-tanya bagaimana pusat boleh berbau dan apa puncanya. GLAM kongsikan 5 punca pusat berdaki dan berbau perlu anda tahu.
Untuk pengetahuan anda, pusat yang terletak di bahagian tengah perut adalah merupakan kawasan bekas tali pusat semasa dalam kandungan. Tali pusat digunakan sebagai saluran untuk mendapatkan nutrisi. Selepas bayi lahir, ia akan dibuang lalu meninggalkan kawasan berlubang yakni dipanggil pusat.
Walaubagaimanapun, pusat merupakan bahagian tubuh yang seringkali dilupakan oleh manusia. Ianya sama seperti bahagian kulit yang lain. Namun, disebabkan posisi pusat yang lebih termasuk ke dalam, sel kulit mati mudah berkumpul bersama peluh, kekotoran, daki dan juga bakteria lain.
5 Punca Pusat Berdaki Dan Berbau Busuk
Menurut pakar, pusat yang berbau bukanlah masalah yang serius namun jika baunya terlalu kuat dan menyengat kemungkinan pusat anda boleh dijangkiti bakteria.
1. Tidak Menjaga Kebersihan Diri
Pusat berbau adalah disebabkan daripada penjagaan diri yang tidak sempurna. Jika anda selalu mengabaikan kawasan pusat dalam masa yang lama, sudah tentu segala daki, kotoran, peluh, bakteria dan sel kulit mati akan menimbulkan bau yang pelik dan tidak menyenangkan.
Jadi untuk mengelakkan benda ini berlaku, semasa mandi anda perlu membersihkan sebaik mungkin. Lebih-lebih lagi kepada individu yang mempunyai rupa bentuk pusat yang lebih ‘dalam’ dan berlapis-lapis.
2. Kista
Kista adalah benjolan kecil yang tidak berbahaya dan tidak akan rasa sakit jika tidak mempunyai jangkitan. Epidermoid, pilar, dan sebasea adalah jenis kista yang boleh tumbuh di pusat dan berisiko untuk berlakunya jangkitan. Jika kista membesar dan pecah, ia akan mengeluarkan cairan tebal serta pusat akan berbau busuk.
Jika ketiga kista ini sudah mengalami jangkitan, ia akan berubah menjadi kemerahan, gatal, dan terasa pedih apabila disentuh. Peradangan yang terjadi pada kista menyebabkan nanah dengan bau yang cukup menyengat
3. Pusat bertindik
Tindik pada pusat juga salah satu punca utama yang menyebabkan pusat berbau. Jika anda mempunyai tindik dan mengalami infeksi seperti kemerahan dan bengkak, rasa sakit atau keluar cairah nanah, ia boleh mengeluarkan bau yang pelik dan tidak menyenangkan.
4. Jangkitan yis
Jangkitan yis sentiasa dikaitkan dengan kawasan sulit, jangan terkejut pusat anda juga berisiko untuk mendapat penyakit kulat! Terdapat sejenis yis yang suka tinggal di tempat yang lembap, gelap dan hangat dan dalam kes ini pusat sememangnya bahagian badan yang berisiko terkena jangkitan.
Yis itu dipanggil sebagai Candida yang bukan sahaja terdapat di pusat namun ia juga boleh berada di alat sulit jika tidak menjaga kebersihan.
5. Peluh
Jika anda kerap bersenam atau mudah berpeluh, pusat mungkin akan mengeluarkan bau yang busuk dan masam. Tetapi anda perlu risau kerana semua orang berpeluh dan ia adalah proses semula jadi badan. Oleh itu, tidak hairanlah jika pusat anda berbau selepas bersenam. Namun dengan menjaga kebersihan yang baik seperti membersihkannya semasa mandi, anda dapat mengatasi masalah pusat yang berbau.