Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah Mangkat
DYMM Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah mangkat pada usia 89 tahun pada jam kira-kira 2:30 petang tadi di Istana Anak Bukit.
Tuanku Abdul Halim mencipta sejarah apabila beliau menaiki takhta sebagai Yang Dipertuan Agong buat kali kedua pada tahun 2012 dan sebelum itu pada tahun 1970.
DYMM mengakhiri termanya sebagai YDP Agong ke-14 pada hujung tahun lalu dan digantikan dengan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V.
Tiada lagi sebarang pengumuman rasmi dibuat oleh pihak istana namun Menteri Besar Kedah Datuk Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah bakal mengadakan satu sidang media untuk memberikan kenyataan rasmi.
Almarhum Tuanku Abdul Halim dilahirkan pada 28 November 1927 dan menaiki takhta sebagai Sultan Kedah selepas kemangkatan ayahandanya Almarhum Sultan Badlishah ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah pada tahun 1958/59.
Almarhum juga turut meninggalkan Tuanku Sultanah Hajah Haminah serta dua anakandanya YTM Tunku Soraya, dan YTM Tunku Dato’ Seri Diraja Puteri Intan Safinaz.
GLAM mengucapkan takziah atas pemergian YTM Almarhum Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.