Pernah Bergelut Depresi, Deepika Dianugerah Crystal Award
Pelakon dan jelitawan industri perfileman Bollywood, Deepika Padukone baru-baru ini dianugerahkan Crystal Award ke-26 bersempena Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos, Switzerland. Deepika yang juga isteri kepada pelakon Bollywood, Ranveer Singh menerima anugerah tersebut dek keterbukaannya berkongsi pengalaman berhadapan sendiri dengan tekanan serta depresi, termasuk keupayaannya dalam memimpin dan mengubah persepsi masyarakat terhadap kesihatan mental.
Kredit foto: Reuters
Anggun naik ke atas pentas dengan persalinan gaun rona biru, Deepika berkongsi cerita serta pergelutannya serta apa yang dipelajarinya. Jelas Deepika, “Perhubungan cinta dan benci yang telah saya lalui mengajar saya banyak perkara, dan saya ingin memberitahu semua yang berhadapan dengan masalah ini bahawa anda tidak keseorangan.” Jelas Deepika lagi, “Di saat saya menerima anugerah ini, dunia kehilangan satu orang kerana bunuh diri. Depresi adalah biasa namun ia penyakit yang sangat bahaya. Adalah penting untuk kita faham bahawa kebimbangan dan kemurungan adalah seperti mana-mana penyakit lain, dan ia semestinya boleh dirawat. Dengan pengalaman berhadapan dengan penyakit inilah yang menggalakkan saya untuk menubuhkan yayasan Live Love Laugh.”
Live Love Laugh adalah yayasan yang menganjurkan program kesedaran mental di sekolah-sekolah di India, membiayai rawatan psikiatri percuma, program pendidikan perubatan, kempen kesedaran awam dan banyak lagi.