GLAM Exposé: Resting Rich Face: Melabur Ratusan Ribu Untuk Muka Kaya Dan Tubuh Muda
Hari ini, semua berlumba-lumba mahu cantik dan nak nampak muda. Alahai kadang kadang itu usia baru lewat 20-an sudah mahu cucuk itu cucuk ini kerana katanya mahu cegah muka daripada kedut. Katanya lagi pencegahan awal memang bagus kerana ramai orang sekarang risau bila tua nanti mereka tak cantik! Kalau cerita nak cantik ini, 1001 kisah pun belum tentu habis. Sememangnya naluri perempuan untuk cantik begitu tebal. Tetapi hari ini lelaki yang melakukan rawatan kecantikan bukanlah satu perkara yang luar biasa, kerana boleh dikatakan lelaki alaf ini sama naik dengan wanita yang menjaga keterampilan diri.
Dan terbaru saya mendapat tahu ada rawatan wajah Resting Rich Face. Konon mak muka macam ‘orang kaya’. Bunyi shallow, tapi inilah realiti. Rawatan ini boleh berharga daripada USD 150,000 ke USD 200,000. Ia sudah menjadi trend di Hollywood dan golongan bangsawan barat. Antara yang menggunakan rawatan ini adalah Jennifer Aniston, Madonna, Christie Brinkley, Kim Kardashian, Cindy Crawford, Gweneth Paltrow dan ramai lagi selebriti A-list menjalani rawatan ini. Bayangkan virus ini sudah menular ke Malaysia. Menggelupur sosialit kota mahu dapatkan rawatan ini. Uup, tapi rawatan ini terlalu mahal, tak semua sosialit Malaysia yang ‘kaya’ mampu untuk labur ratusan ribu untuk rawatan ini ya!
Rawatan ini menggunakan pro fractional laser treatment, platelete-rich plasma treatment iaitu untuk memberi rangsangan kolagen pada kulit, dengan ini kulit akan tampak berseri dan bermaya tanpa perlu melakukan sebarang ekspresi wajah. Dan paling popular rawatan Resting Rich Face ini adalah Thermage Skin Tightening treatment. Rawatan ini akan serta merta menghilangkan tanda-tanda penuaan yang jelas terpancar di wajah. Lazimnya penuaan wajah diikuti dengan kadar stres yang melampau dalam hidup. Dan stres selalu dikaitkan dengan masalah kewangan. Bagi golongan atasan mereka membuat prosedur ratusan ribu ini demi menjaga air muka. Mereka mahu dilihat sebagai seseorang dengan status ekonomi yang kukuh. Kajian menunjukkan sekiranya seseorang itu memiliki Resting Rich Face, mereka boleh memperkukuhkan kedudukan status sosial.
Dalam kajian yang dibuat oleh Journal of Personality And Social Psikologi oleh Profesor Nicholas Rule dan pelajar PhD Thora Bjornsdottir, para pengkaji mengambil gambar seramai 160 pelajar ijazah dalam ekspresi wajah neutral. Di dalam kajian ini didapati pelajar miskin dengan rata-ratanya keluarga mereka hanya berpendapatan kurang dari 60,000 CAD setahun dan bagi pelajar kaya pula keluarga mereka mempunyai kewangan lebih dari 100,000 CAD ke atas. Seramai 160 pelajar itu dinilai sebagai kaya atau miskin hanya dengan sekali pandang sahaja. Rich faces were perceived as happier than poor faces even though their expression was neutral.
Datuk ini yang mempunyai hobi mengumpul beg Birkin di rumah dan beg-beg Birkinnya sentiasa duduk dalam bilik dengan penghawa dingin 24 jam untuk menjaga mutu kualiti begnya yang berharga ratusan ribu ringgit itu. Dan jika dia boleh mengumpul Birkin, apalah sangat dengan rawatan ‘Resting Rich Face’. Sejak dia membuat rawatan itu, sibuk dia mengutuk si polan itu dan ini sebenarnya tak kaya mana hanya dengan melihat wajah ‘Resting Face’ mereka! Dahsyatnya rawatan ini sampai ke tidur pun boleh dinilai. Wajah sewaktu tidur dilihat bahagia sahaja, tetapi waktu tidur teman-teman tak boleh nampak. Datuk yang mendapat pangkat Datuk ‘beli’ ini mahu kawan-kawan bangsawannya tahu wajahnya adalah ‘Resting Rich Face’ kerana sudah ratusan ribu dilaburkan hanya untuk dapat wajah orang kaya!
Kisah sosialit yang satu ini asyik menepis perkhabaran yang dia sudah bernikah dengan VIP ini memang cukup terkenal dengan pembedahan plastik. Boleh kata semua anggota badan dia betulkan. Dan terbaru dia dia pergi ke luar negara untuk dapatkan rawatan ‘Resting Rich Face’ ini. Ya nampaklah perubahan pada wajahnya, nampak bermaya wajahnya tanpa sebarang ekspresi di wajah. Katanya dia cantik bila senyum atau camera ready, tetapi selalu gambar candidnya selalu buruk, dan selepas menjalani rawatan mewah ini, dia berpuas hati dengan riak wajahnya kala bergambar candid. Hanya untuk nampak cantik dalam foto candid wanita ini sanggup berhabisan wang. Benarlah orang kata, bila ada wang semua masalah boleh diselesaikan.
Dan seperti yang kita tahu banyak rawatan yang dilakukan oleh orang-orang kaya demi untuk kuruskan badan dengan cepat. Wang ringgit bukan lagi menjadi isu. Nafsu untuk kuruskan badan semakin menjadi-jadi sejak wujudnya era media sosial hari ini. Mereka mahu tampil cantik di dalam gambar dan mahu memuat naik gambar mereka dengan badan yang cantik kala menghadiri majlis atau ke percutiaan mewah dalam persalinan berjenama. Antara rawatan yang terkenal adalah liposuction, stomach stapling, gastric bypass surgery, laser fat remover, electrical muscle stimulation, dan beberapa lagi prosedur. Kalau pil tak payah cakaplah, banyak jenis-jenis pil yang boleh hilang selerakan makan serta merta. Teringat saya dekat Datin Seri ini yang badannya montel. Sudah lama kami tidak bertemu dan hari ini saya terserempak dengannya dan terkejut saya melihat dia sudah kecut! Apabila saya tanya apakah dia buat pembedahan, dia menafikan. Kerana dia takut dengan pisau. Katanya dia hanya ambil pil kurus dari Amerika Syarikat. Satu pil berharga RM1000. Kalau ambil pil itu dia langsung tak berselera mahu makan. Katanya hanya enam bulan makan pil itu dia sudah kurus dan berhasrat untuk teruskan lagi. Tetapi setahun kemudian Datin Seri dihidapi kanser usus, saya berasa mungkin pengambilan pil itu antara puncanya. Kini dia terlantar sahaja kerana sudah kritikal.
Lagi cerita sedih untuk diimbas kembali apabila Datin yang satu ini cukup obses nak kurus kerana baru mendapat berita suaminya kahwin lagi satu.Hatinya retak seribu. Kerana Datuk orangnya baik, tak ada ribut petir pun alih-alih bertahu sudah menikah lagi satu. Dan setelah melihat madunya, dia menyalahkan dirinya kerana dia tidak menjaga badan, kerana madunya dilihat begitu langsing. Dia yang pemakan cuba sedaya upaya upaya langsingkan badan, tetapi mungkin kerana faktor usia, badannya susah sekali mahu susut. Dek kerana tertekan dan mahu cepat dia membuat rawatan liposuction, sebelum pembedahan dia berkata, harap suaminya akan lebih menyayanginya dari madunya apabila badannya sudah cantik nanti, katanya pada teman baiknya. Apa yang menyedihkan pembedahan itu gagal, dan Datin meninggal dunia di bilik pembedahan. Demi mahu kuruskan badan nyawa terkorban. Kes kematian menjadi kes polis. Dengar cerita Datuk teramat sedih dengan pemergian Datin, kerana dia memang sayangkan Datin dan sifatkan arwah sebagi isteri yang sangat baik.
Lagi kisah sosialit yang sibuk nak kurus, tetapi dari tahun ke tahun masih tak kurus-kurus lagi. Tetapi kali ini katanya dia mesti kuruskan badan kerana suaminya curang dengannya dan perempuan simpanan lelakinya itu meski hodoh tetapi bentuk badannya cantik. Kata sosialit ini lagi, “Kalau buruk tak boleh cantik, gemuk boleh kurus! Kalau aku kurus, langit dengan bumilah aku dan dia,” Berpegang mantra tersebut dia bersemangat mahu kuruskan badan. Dia menjalani rawatan Human Chorionic Gonadotropin iaitu rawatan yang menggunakan hormon yang dikeluarkan wanita sewaktu awal kandungan. Dengan pengambilan hormon ini dan diet rendah kalori hormon HCG ini boleh membakar lemak dengan cepat. Dan kali ini diet ini berkesan, tetapi mungkin juga dia pun tak selera makan bila tahu suaminya mabuk kepayang dengan perempuan lain.
Dan cerita mengenai Datin yang beratnya pernah mencecah 100kg ini tertekan kerana setelah berjaya kuruskan badan, suaminya masih tidak mahu melakukan hubungan seks dengannya kerana badannya menggelebeh dan banyak kulit lebihan akibat tubuh gemuknya dulu. Dia bertekad mahu hilangkan semua kulit lebihan dengan jalani pembedahan yang mencecah RM100,000. Datin kini bangga tunjuk bentuk tubuhnya dalam bikini yang tubuhnya persis anak dara. Kulit tubuhnya tegang sekali. Dan katanya Datuk dah tak makan luar lagi dan servis yang diberikan juga baik kalahkan perempuan simpanan demi mahu suaminya memandang dia seorang sahaja!
Manusia memang tidak pernah berasa cukup,tetapi andainya seseorang itu berasa rendah diri dengan fizikalnya dan mengubah fizikal untuk menaikkan tahap keyakinan diri untuk berhadapan masyarakat saya rasa tidak salah. Lebih-lebih lagi jika individu itu mampu. Cumanya sekiranya perubahan yang dilakukan itu terlalu ketara atau individu itu ketagih untuk merubah dirinya saya kita itu sudah melibatkan masalah mental tanpa kita sedari. Ketaksuban untuk menjadi sempurna menakutkan. Jika rawatan itu menelan ratusan ribu, lebih baik jumlah itu disedekah kepada golongan yang memerlukan, ramai lagi fakir miskin di negara kita. Hati yang cantik tidak boleh dibeli dengan wang ringgit. Tepuk dada, tanya selera.
Dipetik daripada GLAM Malaysia Isu Jun 2018