Bagaimanakah agaknya menjadi Ally Mukhriz? Bukan sembarangan susur galur keluarganya. Bapanya Menteri Besar sementara datuknya Perdana Menteri. Apabila saban hari, datuk serta bapa menguasai headline berita semasa, maka tidak hairanlah apabila Ally juga menjadi tumpuan masyarakat dan media. Setiap langkahnya dibual ramai.
Menarik sekali kala mendasari cara pemikiran seorang millennial seperti Ally. Sememangnya cara mereka melihat dunia ada banyak bezanya dengan generasi sebelumnya. Kata orang, millennial itu entitled. Benarkah? Kata tuan badan, baginya jauh sekali. Ally masih lagi harus berusaha sendiri untuk mengecapi apa yang dihajatinya kerana tiada jalan singkat untuk berjaya.
Kadang-kala saya terfikir mengenai generasi yang bakal muncul selepas era Ally. Generasi anak-anak kita yang masih lagi kecil hari ini. Apakah kesan kepada kebebasan yang dinikmati oleh millennial kini? Dalam pada kita merainya, ibu bapa sendiri perlu bersedia untuk mempersiapkan jiwa anak-anak kecil agar lebih kental. Kerana cabaran di masa akan datang jauh lebih hebat. Justeru, penuhilah dada mereka dengan ilmu, bina perisai iman yang teguh. Jangan sekali-kali mengambil mudah dan berasa terlalu selesa dengan kesenangan hari ini.