GLAM MAC 2018
Mendefinisikan Semula Fesyen Dan Kecantikan
Apa trend paling hot pada musim bunga ini? Blok warna atau mixed print, tulle atau pun denim, uniform urban lengkap utiliti – parka hingga ke anorak. Segalanya bagaikan rojak, sukar untuk diramal tapi apa yang pasti, perancang fesyen optimis memandang ke hadapan. Dunia fesyen kini menuju ke suatu destinasi baru di mana stail itu tidak lagi didefinisikan menerusi jenama tetapi ianya terbentuk daripada ideologi. Ramai pereka baru tampil dengan idea progresif yang menjauhi arus mainstream. Tatkala nota ini ditulis, editor-editor GLAM sudah pun sibuk dengan Minggu Fesyen persembahan musim luruh. Dengan lambakan informasi di media sosial, apa lagi idea dan gimik yang ada di dalam benak fikiran para pereka? Mungkinkah dunia fesyen mulai menongkah arus dan muncul dengan kelainan yang baru?
Mac ini, sidang redaksi GLAM juga ingin mencuba sesuatu yang baru. Menerusi cabang digital kami, GLAM memperkenalkan kempen Barefaced Beautiful di mana kami ingin mengajak anda semua mencuci solekan pada muka dan reveal ‘wajah sebenar’ anda. Persoalan paling utama di sini, cukup baguskah rutin kecantikan anda sehinggakan wajah masih tampak cantik berseri meskipun tanpa secalit mekap? Inilah objektif kami dan kami menjemput pembaca melayari laman sesawang GLAM.MY serta mengikuti Instagram serta Facebook kami untuk mengikuti kempen yang cukup menarik ini.
Malah, kami memaparkan personaliti muka depan bulan ini ‘tanpa solekan’. Raut wajah unik milik Yuna nyata menyerlah walau tidak disolek secara berat. Dan sesungguhnya seri wajah Yuna memang jelas apabila penyanyi tersebut baru sahaja memasuki fasa baru dalam hidupnya sebagai isteri orang. Ikuti temu bual eksklusif bersama Yuna mengenai kehidupan barunya.
Turut dilampirkan di dalam adalah editorial 10 model finalis GLAM Next Face. Setelah menjelajah dari Pulau Pinang hingga ke Johor Bahru, kami bertemu dengan 10 bakal model terbaik dan siapakah agaknya yang bakal dinobatkan sebagai pemenangnya? Tunggu April nanti. Dan sementara itu, layari GLAM.MY untuk mengundi calon kegemaran anda!