GLAM Februari 2018 - Julia van der Drift, Alicia Amin, Rubini, & Mimi Lana

GLAM FEBRUARI 2018

Kuasa Generasi Y

 

Sukar untuk menduga apa yang bermain di minda generasi hari ini. Apa yang pasti, mereka cukup ekspresif, agresif, dan berani. Jiwa mereka kental dan tidak gentar pada apa jua momokan. Melalui kuasa media sosial hari ini, anak-anak muda memonopoli dunia informasi dengan mencipta beraneka trend lantas mencetus aliran baru. Generasi hari ini memutar ligat peredaran masa and you just have to keep up with them. GLAM yang sudah sekian lama mendedikasikan isu Gen Next khusus buat generasi-generasi pelapis sejak 2007, bulan ini kami kembali dengan wajah-wajah segar yang mendefinisikan era kini.

 

Model of the moment, Rubini dan Alicia Amin yang kini mencipta nama sebagai pelakon. Mimi Lana aktres baru yang kian popular sementara Julia van der Drift membina nama dalam bidang fesyen dan perhubungan awam. Persamaan antara keempat-empat jelitawan ini, mereka generasi seterusnya yang bakal menakluki industri masing-masing. Sebagai manusia biasa, kita tidak boleh meneka apa yang bakal berlaku di masa hadapan. Mungkin telahan saya salah dan ada juga kebarangkalian ianya betul.

See also
GLAM DISEMBER 2017

 

Teringat saya pada penggambaran muka depan Next Gen awal tahun 2011. Ada enam cover girl dan salah seorang daripadanya ialah Vivy Yusof. Berdiri di celah-celah bintang filem dan pereka fesyen, Vivy tampil sebagai blogger. Dan sewaktu semua orang asyik dengan penggambaran, Vivy pula sibuk dengan komputer ribanya kerana pada waktu itu dia baru sahaja melancarkan laman sesawang fashionvalet.net.

 

Sampai masa untuk artikelnya diturlis, saya mencari sudut paling bagus untuk menyerlahkan sisi terbaik gadis kecil molek ini. Lalu saya impikan Vivy suatu hari nanti akan menjadi sehebat pengasas laman sesawang Net-A-Porter, Natalie Massenet. Tidak sangka, masin pula mulut saya. Sekarang siapa tidak kenal Vivy Yusof? Kini dia setanding atau mungkin lebih hebat lagi daripada Massenet. Kerana Vivy bukan sekadar usahawan digital tetapi di usia muda, dia juga ikon antarabangsa yang diiktiraf Forbes!

 

Mesej yang ingin saya sampaikan di sini, tiada apa yang mustahil. Dan generasi hari ini memiliki segala-galanya untuk mencipta kejayaan yang diimpikan. You just have to be brave and do it. Hidup ini penuh dengan kejutan. Dengan usaha, keberanian dan sedikit ilmu; anda boleh menggapai bulan dan bintang. Have faith!