Siri The Assassination of Gianni Versace Tidak Direstui Keluarga Versace

American Crime Story: The Assassination of Gianni Versace, Tidak Diterima Oleh Keluarga Versace

Apabila menceritakan sesuatu yang penuh kontroversi dan tular, fakta yang disampaikan haruslah tepat jika tidak mahu menerima akibatnya nanti. Contohnya, siri rancangan terbaru Ryan Murphy yang dinanti-nantikan, American Crime Story: The Assassination of Gianni Versace. Edgar Ramírez, Penélope Cruz, Ricky Martin, dan Darren Chris antara nama-nama besar yang telah dipetik untuk memainkan watak-watak penting dalam penceritaan pembunuhan mendiang Gianni Versace yang bakal disiarkan bulan ini.

 

Edgar Ramírez, Penélope Cruz, Ricky Martin, dan Darren Chris

Namun disebalik semua penantian dan keterujaan pihak umum, keluarga Versace sendiri telah tampil dan menyuarakan ketidaksenangan mereka terhadap pendekatan yang digunakan oleh Ryan untuk menceritakan kisah tragis ini.

 

Santo, Donatella, dan Gianni Versace

“Keluarga Versace tidak pernah memberi kebenaran atau terlibat dalam apa jua cara berkenaan siri TV yang bakal disiarkan tentang kematian En. Gianni Versace. Versace juga tidak pernah memberi kebenaran naskhah buku yang digunakan sebagai panduan cerita ini mahupun mengambil bahagian dalam penulisan skrip, siri TV ini perlu dianggap sebagai hasil kerja fiksyen sahaja,” ujar wakil keluarga Versace.

See also
Angelina Jolie Cuba Menjalani Kehidupan Normal Namun Gagal

Satu-satunya ahli keluarga Versace yang pernah terlibat secara tidak langsung adalah Donatella Versace, adik kepada Gianni, yang dihubungi oleh Penélope sendiri untuk membantu dia menjiwai watak wanita hebat itu.

 

“Saya pernah berbual dengan dia sekali dan saya tidak mahu menceritakan perbualan kami secara terperinci tetapi perbualan kami sangat panjang. Perbualan tersebut amat penting buat saya. Dia tahu saya akan memainkan watak sebagai dirinya, saya benar-benar meminati dan menghormati dirinya,” nyata Penélope sebelum ini.

 

Penélope Cruz sebagai Donatella Versace

“Saya benar-benar berharap apabila dia menonton rancangan ini, dia akan merasa gembira. Saya juga pasti akan ada babak-babak yang perit untuk dia saksikan, kerana ini perihal kematian abangnya sendiri di mana saya benar-benar menghormatinya. Dari kesedihan itu, dia terpaksa meneruskan legasi syarikat ini.”

 

Donatella juga pernah menyuarakan kerisauannya tentang bagaimana Ryan akan menggambarkan anak-anaknya, Allegra dan Daniel, yang ketika itu hanyalah kanak-kanak apabila mereka kehilangan pak cik mereka. Ryan walau bagaimanapun menghormati permintaan Donatella dan tidak akan menampilkan watak kanak-kanak tersebut.

See also
Print Polka-dot Membanjiri Gaya Gadis Fesyen!

 

Kemas kini 9 Januari 2018:

 

Ikutan kenyataan yang disampaikan oleh wakil keluarga Versace tentang siri ini, FX kini tampil dengan ulasan mereka yang mendakwa hasil karya FX ini hanyalah hasil fiksyen dan bukan fakta. Menurut FX sendiri, The Assassination Of Gianni Versace adalah berdasarkan hasil kajian bukan fiksyen wartawan Maureen Orth yang telah diterbitkan pada tahun 1999 menceritakan jenayah yang dilakukan oleh Andrew Cunanan.

 

Kemas kini 10 Januari 2018:

 

Sewaktu tayangan perdana American Crime Story: The Assassination of Gianni Versace Ryan Murphy dan Penélope menyatakan Donatella Versace telah menghantar jambangan bunga sebagai tanda penghargaan. Namun laporan lain pula mendakwa Donatella sendiri tidak setuju dengan kisah yang disampaikan oleh Ryan Murphy tentang pembunuhan abangnya. Dia juga menekankan bahawa buku Maureen itu penuh dengan gosip dan spekulasi sahaja. Keluarga Versace juga memastikan ini kali terakhir mereka akan memberi sebarang komen tentang hal ini.