Manifesto Mini di CHANEL
Bagi merangka perjalanan yang sudah lebih seratus tahun buat Chanel, setiap penghasilan wajib tampil gah. Idea dan rekaan perlu mencapai misi yang besar biarpun dijelmakan dalam saiz mini.
Teks: Yana Baharudin
Soalan terbuka untuk rakan pembaca. Sebesar mana ego, dan sejauh mana ego yang wajar dibawa oleh seseorang itu dalam dunia yang penuh pertandingan ini? Adakah harus mempertahankan ego yang besar itu sebagai taktik untuk lebih dihormati atau memandang dari sudut lain yakni memulakan atau melaksana sesuatu yang kecil tetapi dapat membuat perubahan yang lebih besar dalam hidup? Soalan ini acap kali hadir dalam fikiran sejurus saya diberi penerangan sempena pelancaran jam tangan baru Chanel yang dipanggil J12 XS ini.
[envira-gallery id=”67155″]
Diterbangkan ke Seoul, Korea khusus untuk ini, saya diberi satu pandangan baru yang lebih terbuka menjurus ke arah satu pembuatan yang dinamik dan pasti tiada lagi jenama yang dapat berfikir sesempurna dan semoden ini. Perancangannya untuk jam tangan tahun ini lebih bercirikan mini tetapi punya cara tersendiri bagi menghidupkan drama baru untuk penggemarnya. J12 XS adalah jam versi kecil yang dievolusikan daripada rangkaian jam tangan seramik J12 yang diperkenalkan sejak 2000. Nyata, ia bukan direka untuk wanita bosan, yang tidak mahu beralih pada paradigma baru seiring dengan teknologi, trend dan punya rasa ikonik yang tinggi.
Jam tangan J12 XS masih mengekalkan ciri-ciri terbaik yang ada dalam siri J12. Mengimbas sejarahnya, Jacques Helleu dan kumpulannya terinspirasi daripada automobil juga dari bot J12 serta kombinasi dari kapal layar Giovanni Agnelli yang berwarna hitam. Tujuh tahun masa diambil untuk melahirkan jam istimewa ini agar mencapai kualiti seramik yang tidak mudah calar juga kilauan seramiknya kekal biarpun dicampur bersama berlian mewah. Tahun kemudiannya, J12 diberi hembusan warna yang lebih segar untuk J12 Chromatic. Inovasi ini dilaksanakan dengan menambah titanium bagi menemani bahan seramik supaya jam lebih ringan serta dapat mewujudkan warna yang lebih mewah.
[envira-gallery id=”67154″]
J12 diperbaharui berperingkat termasuklah memberi nafas baru daripada segi pilihan warnanya. Dari warna hitam, pada 2003 ia direka pula dalam nada putih bagi mencipta maksud timeless yang baru. Kemahiran para artisan pembuatan barangan kemas dan jam tangan turut digabung. Tahun 2004, jam ini diserikan dengan kehadiran berlian potongan baguette, batu mewah zamrud, nilam dan rubi yang di setkan pada bezel, dail dan gegelangnya. Tahun 2008 turut menjadi detik penting keluarga jam ini apabila melancarkan J12 calibre 3125 dengan pergerakan automatik oleh Audemars Piguet yang direka secara eksklusif oleh Chanel. Namun purata penghasilan J12 sebelum ini, direka dalam saiz 38mm, 36mm hingga bersaiz kompak 29mm yang direka tahun 2010.
J12 XS Terbaru, jam ini memasuki makmal pembuatan yang lebih tinggi. Biarpun direka dengan diameter bersaiz 19mm, J12 XS turut memberi maksud “extra-small” juga “excess”. Ini memberi refleksi kepada definisi excessively feminine, excessively surprising, excessively sophisticated serta excessively powerful. Ya, juga excessively unexpected bila jam ini direka bersama sarung tangan kulit kambing dalam rekaan berbeza. Gaya peribadi Karl Lagerfeld ini turut sama dihembuskan lantas direka tanpa ruang jari. Oleh itu jam tangan pergerakan kuarza ini direka hanya 150 unit sahaja dimana gaya ikoniknya termasuklah tali kilat yang diperbuat daripada kulit anak lembu bersama tatahan berlian juga boleh digayakan begitu sahaja, tanpa sarung tangan.