British Vogue Menggantikan Alexandra Shulman Dengan Ketua Pengarang Lelaki Pertama
Edward Enninful, pengarah kreatif dan fesyen majalah W telah dilantik sebagai pengganti Ketua Pengarang Vogue British selepas pengumuman Alexandra Shulman untuk meninggalkan Vogue British selepas 25 tahun mengemudi nama besar itu pada awal tahun ini.
Enninful akan memulakan tugasnya sebagai ketua pengarang Vogue British pada bulan Ogos ini dan dia juga merupakan pengarang lelaki pertama yang bakal mengetuai Vogue British dalam sejarah seratus tahun majalah tersebut..
Edward bersama Rihanna dan Naomi Campbell
“Saya dengan senang hati mengumumkan perlantikan Edward Enninful, OBE, sebagai Pengarang British Vogue berkuatkuasa 1 Ogos, 2017. Edward merupakan salah satu pengarang fesyen yang berbakat dan berjaya dalam dunia,” umum pengerusi dan ketua eksekutif Condé Nast International, Jonathan Newhouse.
Jejaka kelahiran Ghana itu dibesarkan di London dan memulakan kerjayanya sebagai seorang model ketika berusia 16 tahun bersama Nick Knight yang kemudiannya memperkenalkan Enninful kepada majalah I-D di mana dia bekerja sebagai pembantu pengarah fesyen majalah tersebut, Beth Summers. Apbila Summers meninggalkan jawatannya, Enninful dipilih sebagai pengganti wanita itu dan terus melonjakkan namanya sebagai pengarah fesyen paling muda dalam mana-mana penerbitan antarabangsa pada usia 18 tahun.
Enninful berasa sangat teruja untuk berkongsikan berita ini kepada bapanya kerana dia berhijrah dari Ghana ke England bersama-sama isteri dan enam orang anaknya.
Foto: Timur Emek/Getty Images
“Saya membesar dengan British Vogue – saya berasa sangat bangga dan merendah diri untuk memegang jawatan pengarang. Saya tahu yang saya bakal menggantikan seorang pengarang yang dihormati iaitu Alexandra Shulman, seseorang yang memilih untuk mengundurkan diri dengan meninggalkan legasi kejayaannya selepas 25 tahun,” nyata Enninful dalam satu kenyataan.
“Vogue British merupakan satu majalah yang hebat dengan legasi dari segi kreativiti dan inovasi. Saya ingin terus menghasilkan majalah yang menarik dan cantik untuk pembacanya.”