GLAM Deko Santai bersama Dato’ Aliff Syukri & Datin Shahida Mohd Rashid
Gambar : Patrick Chan
Video : Dennis
Menanti Syawal tiba, GLAM Deko berkesempatan singgah ke tanah belantara seluas 2 ekar yang menjadi tapak sarang persinggahan, keluarga hartawan muda, Dato’ Aliff Syukri Kamarzaman bersama isteri, Datin Shahida Mohd Rashid untuk melihat-lihat cara dan tradisi dia sekeluarga menyambut raya.
Berlokasi di Sungai Buloh, Aliff mengatakan tanah yang dibeli pada nilai RM3.5 juta ini berstatus bebas pegangan, selain strategik berhampiran dengan rumah induk lama di Damansara, Wisma D’Herbs di Kota Damansara serta kelab gold dan hospital. Tanah ini terbina vila persendirian, vila homestay, kolam renang, ladang kambing, kolam ikan dan kebun buah-buahan.
“Membesar dalam suasana kampung di Sabak Bernam, saya kepingin sebuah rumah kampung yang berhampiran bandar. Lagipula, saya mahu anak-anak merasai hirupan udara segar, mandi sungai dan bermain bebas berkeliaran di kelilingi kehijauan tanpa gentar,” bicara Aliff.
KEHIDUPAN KEDUA
Vila persendirian dibina secara organik berpaksikan rangka rumah lama yang sudah tersergam mencecah 25 tahun lalu. Blok dinding yang mengelilingi rumah, diruntuhkan agar pandangan mata boleh pergi lebih jauh menikmati saujana menghijau. Ruang duduk-duduk diatur kemas di sepanjang teres luar menghadap kolam renang.
Mengetengah campuran konsep Melayu, Bali dan moden, vila ini menggunakan hampir kesemua bahan binaan, kemasan dan perabot terpakai dan kitar semula.
Cerita Aliff, “Saya tidak banyak berhabis untuk keseluruhan dekorasi vila. Dalam lingkungan RM80, 000 sahaja, kerana perabot kebanyakkannya saya beli di mudah.my dan hasil lelongan hotel lama. Begitu juga dengan kemasan jubin dan aksesori kayu-kayan yang ada, semuanya daripada bahan kitar semula. Jika dilihat teliti, kemasan yang ada tidak kelihatan sama atau standard.”
Berinspirasikan percutian di resort mewah, segala susun atur dan perancangan landskap juga dikendalikan sendiri oleh penghuni tanpa khidmat pakar.
RUTIN RAYA
Segala persiapan juadah, biskut dan baju raya digalas sepenuhnya oleh Shahida. Aliff pula lebih suka mengambil tahu hal-hal dekorasi termasuk menukar langsir, cadar dan warna cat kediaman.
Shahida berkata, “Semuanya serba sederhana. Tentunya lebih tertumpu pada anak-anak seperti baju dan duit raya. Kami juga mengamalkan konsep giliran apabila pulang beraya. Memandang tahun lepas beraya di kampung suami di Negeri Sembilan. Tahun ini, kami bakal pulang ke kampung saya di Sungai Petani, Kedah.”