Pada tahun 2015, dunia fesyen digemparkan dengan dokumentari Dior and I. Dior kembali dengan sebuah lagi filem bernada fesyen!
Siapa boleh melupakan dokumentari yang berkisar akan koleksi pertama Raf Simmons buat Dior? Lagi-lagi akan adegan ikonik bekas pengarah kreatif tersebut bersama Diet Coke beberapa detik sebelum pertunjukan fesyen itu!
Dikhabarkan bahawa rumah fesyen Dior bakal kembali ke layar perak dengan sebuah lagi dokumentasi berjudul Inside Dior. Dokumentari dua bahagian tersebut bakal disiarkan pada 9 Februari khas buat tontonan televisyen British yakni di siaran More 4.
Bahagian pertama mengikuti persiapan rumah fesyen Perancis itu buat ulang tahunnya yang ke-70; bahagian kedua pula merakamkan pertunjukan ulung Maria Grazia Chiuri, pengarah kreatif Dior yang baru sahaja dilantik.
Koleksi pertama Maria menjadi buah mulut orang fesyen akan vibe wanita berani yang berlainan serta beberapa helai pakaian lain yang kontroversial, hasil pengarah kreatif wanita pertama jenama gergasi itu.