Ibu Bapa Pendorong Utama Anak - Glam Malaysia

Ibu Bapa Pendorong Utama Anak

Contoh terbaik buat anak-anak adalah ibu bapanya. Kerana ke mana lagi tumpahnya kuah jika tidak ke nasi. Jadi kalau mahu anak-anak aktif, saranan terbaik ialah kita sebagai ibu bapa harus menjadi pendorongnya.
 
kids
 
Gaya hidup aktif hari ini bukanlah lagi perkara asing. Banyak antara kita yang semakin menyedari bahawa dalam dunia yang semakin moden dan berteknologi tinggi hari ini, kesihatan manusia berubah semakin rapuh. Gim-gim dan pusat kesihatan tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Aktiviti-aktiviti seperti muay Thai, crossfit, hiking, wall climbing, yoga dan pilates antara topik perbualan hangat masyarakat kosmopolitan hari ini. Itu belum lagi termasuk kedai-kedai menjual barangan organik dan restoran vegetarian yang menyediakan hidangan-hidangan sihat di merata-rata. Semuanya demi menjaga kesihatan dalam dunia yang semakin ‘tidak sihat’.
 
Tentunya sebagai ibu bapa moden hari ini, kita tidak mahu amalan menjaga kesihatan ini terhenti setakat generasi kita sahaja. Bayangkan jika hari ini tahap kesihatan dan batas imunisasi tubuh sudah berkurangan berbanding generasi sebelum kita, entah berapa rapuhlah pula tahapnya menjelang generasi anak-anak kita nanti. Kerana itu, banyak juga ibu bapa hari ini yang mahukan anak-anak menyertai aktiviti-aktiviti aktif mereka. Kita mahu anak-anak kita juga faham peri pentingnya menjaga kesihatan, beriadah dan makan yang sihat-sihat dan bersih sahaja. Kita mahu mereka mengerti bagi mencapai tahap kesihatan optimum, perlu disertai kerja keras dan usaha. Kita mahu mereka turut aktif sama. Bermotivasi dan sentiasa bersemangat dalam mengamalkan gaya hidup aktif. Dengan harapan pada masa hadapan mereka juga bakal mengamalkan gaya hidup yang sama dan menurunkan pula kepada anak-anak mereka dan begitulah kepada generasi seterusnya.
 
Saya kira dalam generasi hari ini, tidak sukar untuk membentuk amalan gaya hidup aktif dalam diri anak-anak kita. Ini kerana mereka sendiri telah terdedah dengan amalan sebegini. Persekitaran hari ini yang menyaksikan gim-gim dan pusat kesihatan ada di mana-mana serta amalan aktiviti-aktiviti riadah hujung minggu yang semakin menjadi perkara biasa, bukanlah payah menerapkannya ke dalam gaya hidup anak-anak. Tambahan lagi lewat beberapa tahun kebelakangan ini, gaya hidup sebegini semakin mendapat perhatian.
 
Menteri Belia & Sukan Negara, Khairy Jamaluddin juga sangat mendukung amalan gaya hidup sihat. Dia melancarkan Hari Sukan Negara tahun lalu dengan harapan memupuk semangat gaya hidup sihat di kalangan rakyat Malaysia. Katanya kepada Astro Awani dalam satu temu bual, dia menyasarkan 60 peratus rakyat Malaysia untuk lebih aktif bersukan dan menerapkan elemen kecergasan ini agar menjadi rutin dalam kehidupan ekoran lebih 45 peratus rakyat negara ini mengalami obesiti serta penyakit berbahaya seperti kencing manis, darah tinggi dan jantung.
 
Walaupun sebenarnya di negara-negara Barat, ia sudah lama terserap menjadi budaya, masih belum terlambat untuk kita turut serta. Anak-anak saudara saya yang belasan tahun misalnya sudah pandai pergi hiking bersama teman-teman hujung minggu. Ada seorang itu siap mengira pengambilan kalori makanan agar tubuh tidak menjadi terlalu gemuk. Paling tidak pun dia akan bersenam di rumah sahaja membuat regangan-regangan dan senamam ringan. Nah itu untuk yang sudah belasan tahun menginjak awal dewasa. Tetapi bagaimana pula yang anak-anak yang lebih kecil?
 
Itulah seperti yang disebut tadi, kita sebagai ibu bapa lah yang harus mempamerkan contoh kepada mereka. Ibu bapa saya sendiri dahulu menunjukkan melalui teladan. Sampai hari ini saya tak boleh duduk berehat-rehat terlalu lama. Akan mendatangkan bosan dan sakit pada tubuh. Seawal pagi ibu sudah mengejutkan. “Buat apa tidur lama-lama,” katanya. “Rezeki susah masuk.” Jika tidak menolongnya atau pembantu rumah mengemas dalam rumah akan disuruhnya menyapu daun dan longkang di luar. Katil dan bilik perlu dikemas sendiri. Cuma kain baju kotor sahaja akan diuruskan pembantu. Kalau nak diikutkan memang mahu menjerit dan memberatkan badan baring sahaja dalam bilik tapi memikirkan leteran ibu waktu itu, saya paksa juga diri ringankan tulang membuat semua yang disuruh.
 
21260196_xxl
 
Ayah pula lebih senang menguruskan taman di luar rumah sendiri. Hujung minggu itulah aktivitinya. Memotong rumput dan mencantas daun-daun kuning. Bersama ibu pula mereka akan menukar pasu dan menanam pokok-pokok bunga baru. Ini semua amalan gaya hidup aktif. Berpeluh-peluh mereka menguruskan pokok-pokok di laman. Selepas itu ke pasar pagi membeli barang-barang keperluan seisi rumah. Bayangkan mereka bangun seawal Subuh kemudian aktif tak henti-henti sampai waktu selepas makan tengah hari baru berehat seketika. Ya saya membesar melihat ibu bapa mengamalkan gaya hidup aktif sebegini. Jadi daripada mereka saya belajar untuk tidak bersenang-senang memberatkan tubuh tidak berbuat apa-apa. Saya rasa inilah cara paling berkesan menerapkan gaya hidup aktif dalam diri anak-anak.
 
Ibu bapa harus menjadi pendorong. Mungkin mereka akan membenci dan tidak faham tujuan kita menyuruh mereka kala mereka membesar, tetapi percayalah apabila mereka dewasa kelak semua yang kita lakukan itu akan make sense dan mereka akan berterima kasih pada kita. Sentiasalah menerangkan pada mereka tujuan kita menyuruh itu. Jangan membuta tuli mengarahkan mereka melakukan sesuatu kerana mungkin mereka menganggap itu hanya suruhan semata-mata hanya kerana mahu mereka menyiapkan kerja-kerja kita. Beritahu apa faedah dan manfaat yang bisa diperoleh daripada amalan-amalan aktif ini supaya mereka mengerti akan sebab di sebalik setiap satunya. Dengan cara ini mereka akan lebih rela melaksanakannya berbanding berasa terpaksa membuatnya.
 
Saya juga suka mengambil contoh Datuk Bernard Chandran, pereka fesyen dan couturier terkenal Malaysia. Dia yang amat mementingkan gaya hidup aktif bersenam hampir setiap hari demi menjaga bentuk tubuh dan kesihatan diri (lihat sahaja laman Instagramnya). Bukan itu sahaja, guess what? Anak-anaknya turut mengikut jejak langkahnya dalam mengamalkan sama gaya hidup aktif. Terimunite Chandran dan Tanzanite Chandran, dua anak lelakinya sangat mementingkan amalan ke gim. Ini kerana Bernard suka bersama-sama dengan anaknya berkongsi gaya hidup yang sama.
 
Memetik katanya kepada majalah Men’s Health, “Work out in a group. Boleh jadi bersama anak-anak atau teman-teman asalkan semuanya memiliki tujuan yang sama.” Kerana dia percaya jika bersama anak-anak dia akan lebih bersemangat dalam bersenam. “Kelompok seusia saya sering menganggap mereka harus memperlahankan rentak bersenam tetapi sebenarnya anda kena lebih kuat berusaha dengan mencuba teknik baru dan gaya baru dalam bersenam.” Mungkin kerana itu dia lebih senang bersenam bersama anak-anaknya. Nah anak-anak juga bisa menjadi  pendorong dalam kita bersenam dan bergaya hidup aktif. Kita sama-sama mendorong sesama sendiri.
 
JADIKAN AMALAN HIDUP AKTIF LEBIH MENARIK
Ini salah satu cara terbaik menggalakkan anak-anak turut serta dalam mengamalkan gaya hidup aktif. Jika pun tidak mahu mereka sekadar membuat kerja-kerja rumah, ada pelbagai aktiviti lain yang boleh diterapkan dalam diri mereka agar mereka terbiasa dengan gaya hidup sebegini. Tetapi harus diingat, anda perlu menjadikannya menarik kerana ini akan membuat mereka mahu sama-sama melakukannya.
 
Cipta dan rancanglah aktiviti-aktiviti yang boleh kita lakukan bersama dengan anak-anak. Tidak kiralah dari melancong dalam negara, berpiknik di taman hujung minggu, ke pusat kesihatan dan permainan di dalam mall atau sekadar berlari di taman dan menghabiskan masa di pantai – ini semua antara amalan-amalan aktif yang boleh kita amalkan bersama-sama dengan anak-anak. Asal sahaja dapat membuat mereka bergerak aktif dan tidak hanya bermain telefon pintar atau iPad setiap masa.
 
HIKING
Boleh jadi aktiviti yang sungguh menyeronokkan. Mulakan dengan bukit-bukit rendah yang tidak terlalu sukar. Cukup sekadar menunjukkan pada anak-anak akan kehijauan dan kekayaan flora dan fauna di negara kita. Aktiviti ini juga baik untuk memperkenalkan pada anak-anak tentang persekitaran semula jadi yang indah dan cara menghargainya. Andai kata ada mampu sampai ke puncak misalnya, bagus juga memperkenalkan anak-anak dengan pemandangan indah puncak bukit dan membuat mereka lebih grounded dan tidak terlalu memandang materi sebaliknya mula menghargai alam ciptaan Tuhan.
 
BERENANG
Sama ada bawa anak-anak ke pusat renang atau sekadar di bawah kondominium dan apartmen, ini sudah memadai. Biar mereka habiskan masa dua atau tiga jam di sini sudah cukup bagus sebenarnya. Atau kalau mahu lebih adventurous bawa mereka ke kawasan air terjun atau lata. Di sini anda akan bisa membuat lebih banyak aktiviti seperti barbeku, berkelah dan bersama alam semula jadi.
 
TENIS
Ini antara sukan yang menarik dalam masa sama sedikit mencabar. Anda boleh main bersama-sama dengan mereka atau boleh sahaja mengupah jurulatih untuk bermain bersama mereka. Tenis adalah sukan yang mencabar pergerakan seluruh anggota tubuh dan antara yang paling mencabar sebenarnya dalam banyak-banyak sukan yang boleh dicuba.
 
PIKNIK
Berkelah hujung minggu di taman-taman atau di pantai pasti membuat anak-anak teruja. Jika di taman mereka pasti dapat membuat kenalan baru dan boleh bermain bola lisut atau boomerang. Jika di pantai pula mereka boleh bermain bola tampar pantai, membina istana pasir dan berenang di laut. Piknik boleh mencipta aktiviti keseluruhan yang dapat memenuhi masa mereka seharian.
 
CAMPING
Pilihlah untuk berkhemah di taman negara, di kawasan air terjun atau di pantai. Perkhemahan akan juga dapat mencipta pelbagai aktiviti bersama seperti membina khemah, membina unggun api, mencari kayu api, memasak dan hiking atau berenang misalnya. Ini bukan sahaja dapat membuat anak-anak teruja malah memberi peluang anda bonding dengan anak-anak.

See also
Cool Dad: Que Haidar Serta Cahaya Matanya