Made In Malaysia
oleh: Aizat Aidid
Mungkin orang luar akan berkata yang Kuala Lumpur ini, dunia fesyennya cukup kecil. Sejujurnya, bukan sahaja orang luar malahan saya sendiri penat dengar orang daripada industri fesyen kita memandang kecil persada fesyen lokal. Kalau tiba Minggu Fesyen Kuala Lumpur, ramai sangat pengkritik bangkit dengan hujah basi masing-masing. Sampai ada mereka yang senior mempersendakan bakat baru. Kononnya, mereka ini sahajalah pelopor dan yang original. Mungkin sebab drama bodoh ini yang membuatkan ada sebilangan bakat tempatan mengambil langkah untuk keluar daripada Kuala Lumpur. Mencuba nasib di kota-kota dunia berlandaskan bakat sendiri tanpa perlu terlibat dengan drama fesyen lokal.
Lewat Februari lalu, saya berpeluang untuk menghadirkan diri ke Minggu Fesyen New York. Paling menyeronokkan apabila berpeluang untuk melihat sendiri pertunjukan fesyen jenama paling hangat sekarang yakni Self-Portrait yang diasaskan oleh bakat muda daripada Malaysia, Han Chong. Bekas graduan Central Saint Martin ini memilih London sebagai ibu pejabatnya dan mengukuhkan jenamanya sehingga menjadi pilihan ramai bintang seperti Kristen Stewart, Kerry Washington dan Beyonce. Ketika pertunjukannya berlangsung, Chong dilihat cukup relaks dan setiap saat akan disapa oleh orang hebat daripada kelompok fesyen. Statusnya bagaikan it boy di dalam dunia fesyen sekarang. Tiada langsung lagaknya, walaupun Self-Portrait sudah mencapai status lima bintang!
Satu lagi bakat yang wajib diberikan perhatian adalah Edmund Ooi yang kini sedang hangat memperlebar sayapnya di kota-kota Eropah. Bekas graduan Royal Academy of Fine Arts ini menjadikan Belgium gelanggang fesyennya dan pernah berkolaborasi bersama Mugler. Giorgio Armani pula mempersembahkan koleksi Edmund ooi di Armani Teatro. Ini adalah sebagai usaha Armani untuk membantu bakat baru dunia fesyen. Berbicara tentang fresh talent, saya cukup bangga dengan kejayaan Moto Guo kerana di senarai pendek untuk pertandingan LVMH Prize 2016. Ini adalah jenama Malaysia yang pertama dimasukkan ke dalam semifinal dan saya berharap dia bakal meraih kejayaan yang mampu melonjakkan lagi bakat Malaysia di mata dunia. Semoga maju jaya buatnya juga kepada bakat fesyen lokal yang lain!