Warna Kulit Menjadi Pelaris Atikah Karim - Glam Malaysia

Warna Kulit Menjadi Pelaris Atikah Karim

Teks: Zuhairie Sahrom
 

atikah6

Gambar: Arkib GLAM


 
Mula mendominasi lapangan fesyen tempatan sekitar empat tahun lalu, Atikah Karim mengambil risiko menongkah nasib di perantauan. GLAM mengambil peluang menemu bual top model ini sekembalinya dari New York.
 
Ini bukan kali pertama saya menulis mengenai dirinya. Tahun lalu gadis kelahiran Kota Kinabalu ini menghiasi lembaran personaliti bersama kekasih hati, Danny Lim. Tetapi tidak banyak yang dapat dibualkan kerana topik percintaan melintas bangsa  menjadi judul bualan. Kedua-duanya mempunyai kerjaya yang sukses dalam melakar nama dalam bidang peragaan. Kali ini Dayang Nur Atikah atau lebih dikenali dengan nama Atikah Karim dipilih bagi menghiasi wajah GLAM bulan Mac 2016. Bukan sahaja Atikah, malah saya juga berasa sedikit janggal kala menemu ramahnya. Bukan apa, mungkin kerana rencah ceritanya berbeza. Itu belum lagi disenaraikan hamparan ruangan fesyen di mana dia menjadi penghiasnya. Jika dahulu namanya tertera di atas caption, kini kisah sepenuhnya dikarang menjadi tajuk utama. “Another wish on my list is fulfilled,” akui Atikah. “Sememangnya ini adalah impian saya untuk menjadi cover girl GLAM. Now my dream has come true. Terima kasih GLAM kerana tidak pernah putus menyokong kerjaya saya sejak dahulu,” katanya lalu mengukir senyuman.
 
Baru sahaja pulang daripada menziarahi keluarga dan sanak saudara di Sabah, kami terus mendapatkan gadis berkulit sawo matang ini sebelum dia terbang pulang ke New York untuk Minggu Fesyen musim luruh/sejuk 2016. Bertemu janji di The Gardens Hotel, kami siap menata rias Atikah sebelum beralih lokasi ke butik Catier di KLCC bagi sesi penggambaran. “I just chopped my hair yesterday, I hope you guys don’t mind,” kata Atikah sewaktu didandan di bilik hotel. Pintas saya, is it okay for you to do that? Memandangkan dia bernaung di bawah mother agency 3MMODELS yang berpangkalan di London. “Sudah tentu saya kena maklumkan kepada mereka, Lagipun, sudah tiba masanya for a fresh new look! Biarpun berjauhan, saya harus berkomunikasi  dengan agensi. Bukan saja untuk menetapkan jadual malah untuk mendapatkan persetujuan seperti potong rambut dan sebagainya,” terang Atikah.
 
Atikah1

Gambar: Arkib GLAM


 
Warna Kulit Jadi Pelaris

Sejak memenangi pencarian peragawati Ford Supermodel Malaysia, Atikah selesa menetap di Kuala Lumpur. Zaman kanak-kanak tidaklah mudah untuknya dek kerana rupa fizikalnya berbeza daripada yang lain. Diejek dengan bermacam-macam panggilan itu sudah semestinya. “Growing up is so hard  for me. Dilahirkan dengan kulit sawo matang, lalu bertambah gelap dek berjemur di tengah panas hari kerana aktif bersukan. Sudah cukup membuatkan rakan di sekolah tidak henti-henti mengejek penampilan saya. Yang tidak boleh dilupakan bila dipanggil “Tiang Hitam”! Memandangkan masyarakat senantiasa menyekutukan kecantikan dengan yang berkulit putih  gebu, maka mentaliti dan definisi kecantikan itu sendiri terbentuk dengan menyatakan putih itu cantik,” kata Atikah menyelar stereotaip orang kita.
 
“Lihatlah dengan adanya barisan produk pemutih kulit yang bertimbun di pasaran, semua orang mengidamkan kulit yang cerah. Barangkali, bukan sahaja di Malaysia malah seluruh Asia juga mempunyai pendapat yang sama. Cumanya bila berpindah di kota, mentaliti orangnya lebih terbuka. Waktu membesar dahulu,  sedikit sebanyak ia memberi kesan kepada saya. Manakan tidak kerana membuli daripada segi percakapan itu jauh lebih perit. Tamparannya hebat dan mampu memberi kesan psikologi berpanjangan kerana ia terus terbuku di benak fikiran. Namun kini, rupa paras inilah yang memberi rezeki dan apa yang harus dilakukan adalah terus berfikiran positif. Just put it this way, they’re just jealous. Dari cemburu, mereka mula membuat perbandingan yang membawa kepada buli dengan melemparkannya dalam bentuk percakapan. Walhal mereka tidak sedar, words can kill!” cerita Atikah menyingkap tirai zaman kanak-kanaknya. “Itu baru warna kulit. Belum mengenai ketinggian saya!”
 
Menyertai pertandingan ratu cantik di Sabah menjadi titik permulaan. Namun, dia tidak berjaya memenangi sebarang tempat lalu mengubah rentak dengan menyertai  pencarian peragawati pula. “Menyertai pertandingan ratu cantik itu sekadar mencuba nasib dan hanya suka-suka. Saya disapa sewaktu berlibur di pusat beli-belah. Hanya sekali saja. Just to get experience of a beauty pageant. Sememangnya lain daripada apa yang saya sangkakan. Semua yang masuk bertanding kulitnya putih mulus belaka. Sejak kecil saya sudah  pasang angan-angan mahu menjadi peragawati. Saya kumpul majalah fesyen dan Chanel Iman adalah idola saya sehingga ke hari ini. Oleh itu, penyertaan di arena ratu cantik sudah cukup membuka mata saya dan ia bukanlah untuk saya,” tutur Atikah waktu di temu bual sejurus sesi penggambaran selesai.
 

Model Malaysia, Atikah Karim diberi penghargaan membuat pembukaan di pertunjukan A Detacher.

Gambar: Arkib GLAM


 
Bersinar Di Perantauan

See also
Trend Rambut: Rona Pastel

Berketinggian 5 kaki 9 inci dan berat sekitar 50 kilogram, gadis keacukan Bajau dan Brunei ini terus menjadi pilihan menghiasi dada-dada majalah fesyen tempatan dan sekaligus menyiapkan dirinya untuk keluar dari negara bagi menggapai cita-citanya. “Tidak sangka saya berjaya memenangi pencarian peragawati untuk Ford Supermodel Malaysia. Mengingatkan kembali memori indah ini, saya seakan tidak percaya apabila dapat melayakkan diri dalam senarai finalis. Usia waktu itu terlalu muda apabila dibawa keluar dari Borneo, saya menjadi homesick. Sejujurnya waktu itu saya langsung tidak pandai untuk berkomunikasi juga tiada keyakinan diri. Melihatkan peserta lain, semuanya cukup confident dalam membawa diri. Malahan ada pula yang meninggi diri. Saya runsing dan bimbang tidak pandai menyesuaikan diri. Apabila memenangi  pertandingan ini, banyak gerbang dan peluang dibuka untuk saya. Sejak menetap di Kuala Lumpur barulah saya melihat dunia sebenarnya lantas mula rajin bersosial kerana di Sabah saya jarang keluar rumah,” akui Atikah.
 
Memiliki latar belakang dalam jurusan Reka Bentuk Multimedia, bukanlah senang untuk gadis muda ini memperoleh persetujuan daripapda kedua orang tuanya untuk menetap di Kuala Lumpur apatah lagi mejadi model. “Saya percaya, in order to achieve what we really want in life, we have to make sacrifices. Saya tangguhkan pelajaran untuk seketika memandangkan faktor usia saya. Sekarang adalah masanya untuk menggapai cita-cita sebelum lanjut usia. Sukar untuk mendapat kepercayaan daripada kedua ibu-bapa untuk berkecimpung dalam bidang ini kerana pendapatan sebagai peragawati tidak konsisten. Dalam wish-list saya, saya ingin ke luar negara menggembara, melihat dunia fesyen antarabangsa. Bermula di London, saya berpeluang ke Milan dan yang terkini ke New York. Saya mengikat kontrak dengan beberapa agensi, iaitu Soul Artist Management di New York, major Models di Milan dan Viva Models di Berlin. Agensi utama saya, 3MMODELS berperanan menempatkan saya di kota-kota fesyen terkemuka ini,” Atikah membuka cerita kerjayanya.
 
Namanya tersenarai dalam laman sesawang model.com,ini sudah cukup menunjukkan bahawa gadis ini berjaya living in her dream. ” Hampir setahun lamanya saya tidak berjumpa ayah dan ibu di kampung halaman. Sudah dua tahun berturut-turut saya tidak beraya bersama mereka. Inilah antara pengorbanan yang harus saya jalani. Tetapi kami senantiasa menghubungi antara satu dengan yang lain. Mudah-mudahan tahun ini kami dapat bersama-sama meraikan Hari Raya. Sebenarnya, kembara saya ke New York bukanlah seperti dirancang. Saya menetap lebih lama daripada ditetapkan dengan bekalan pakaian juga kelengkapan yang terhad. Bayaran di sana boleh dikatakan lumayan. Cumanya ia bergantung pada musim dan terpulang kepada individu untuk mencari kerja. Rajin dan perlu pandai bergaul, profil kena sentiasa ada di sisi. Waktu pergi go-see, ramai yang sukakan foto yang dirakam bersama GLAM. It has been a wonderful experience working with such a great team. Saya berpeluang bekerja dengan banyak label dan antaranya adalah Pyer Moss, Nicopanda, Banana Republic, Greg Lauren dan Polo Ralph Lauren,” sembangnya panjang.
 
Kala diajukan soalan antara memori terindah, dia dengan pantas memberitahu “Waktu menjadi model untuk persembahan Miley Cyrus. Saya sangat terkejut kala mendapat panggilan daripada klien. Miley sangat bersahaja orangnya. Loud and crazy tetapi cukup merendah diri biarpun bergelar selebriti antarabangsa. Dengan peluang yang diberikan ini, saya amat berterima kasih kepada Stylo kerana mereka inilah yang membawa saya ke Mexico. Sewaktu memenangi pencarian peragawati Ford, mereka tiada bajet untuk membawa saya keluar. Stylo yang membuka pintu-pintu yang sedia ada lantas Cilla Foong menawarkan peluang beraksi di pentas peragaan buat pertama kali untuk label Marc Jacobs di ibu kota. Deaphen Foo pula sentiasa memberi galakan pada saya dalam memperbaiki diri sebagai seorang peragawati. Hidup berdikari di negara orang tidak akan mudah ika tiada sokongan Danny Lim. Dia banyak mengajar saya dan membuka mata saya dalam melihat dunia. Dia adalah tulang belakang saya di mana saya berdiri sekarang. Tanpa dia rasanya saya bukanlah Atikah Karim seperti  yang semua kenal hari ini,” panjang lebar Atikah bercerita mengenai Danny Lim, buah hatinya yang juga model (merangkap jurugambar) yang kini sedang menempa nama di pentas fesyen antarabangsa.
 
“Fesyen itu bebas. Saya selesa mengekspresikan diri melaluinya. Pengembaraan banyak mematangkan saya. Kehidupan harian saya di New York ternyata berbeza sekali. Hampir tujuh bulan di sana, ia tidak semudah disangkakan. Daripada tidak tahu apa-apa, saya kini sudah boleh memasak sendiri- belajar dari Youtube dan membeli bahannya di Chinatown. Saya pernah memasak Nasi Lemak, Asam Laksa, dan Ayam Masak Lemak Cili Api. Saya juga rajin keluar mencari pakaian vintaj untuk dibawa pulang langsung dijual. Duduk bersama beberapa peragawati lain, menjaga kesihatan dan bersenam itu rutin utama. Di sini banyak masa diluangkan untuk bersenam, kalau di Malaysia mungkin jarang sekali!” kata Atikah mengakhiri bicara.
 

See also
Pereka Duo Rodarte Bakal Arah Filem