Korner Mak Datin: Datin Buruk Siku Kerana Terlalu Bencikan Menantu
Gambar: Arkib GLAM
Hari ini saya dijemput Datin Su minum petang dikediamannya. Selain saya, Datin Paduka Lynn juga ada. Memang kami bertiga sering melakukan rutin sama. Bergilir-gilir di kediaman masing-masing. Jarang sekali Datin Ruby ikut sama. Cuma sejak ada sedikit salah faham dengan Datin Su, dia mula menjauhkan diri.
Menu petang ini enak sekali. Selain teh berperisa pilihan masing-masing yang Datin Su beli dari TWG, ada juga disediakan menu hebat daripada tukang masak profesional. Kali ini menunya sangat berbeza. Datin Su memilih menu tempatan. Bihun digoreng penuh udang dan sotong. Ada karipap berinti kentang dan sardin. Ada juga jemput-jemput dan goreng pisang.
Tatarias dipersembahkan juga berbeza, penuh berseni ala tradisi. Alas meja berbunga tampal menyerikan dulang tembaga yang tersusun kuih muih di dalamnya. Set cawan juga daripada era 60-an. Kalaulah saya tahu, pasti saya memakai kelengkapan Tun Teja. Ketawa saya dalam hati.
Tiba-tiba muncul Zaila mengejar Zafuan berusia empat tahun yang nakalnya teramat. Datin Su memeluk cucu sulungnya penuh kasih. Ketika itulah saya terpandangkan perut Zaila yang semakin memboyot. Dalam perkiraan saya, ini mesti dah masuk enam bulan. Dahi saya berkerut berfikir sesuatu.
“Jangan lari Zaila, nanti jatuh. Risau mami tengok,” tegur Datin Su mengeruhkan lagi minda saya. Saya pantas terkenangkan kejadian enam tahun lalu ketika mula-mula mengenali Datin Su. Saya kali kedua berkunjung ke kediaman lamanya di kondo mewah terletak di tengah ibu kota. Ketika pembantu rumahnya membuka pintu, Datin Su sedang memarahi seorang lagi pembantu rumahnya yang cuai. Tinggi amat suaranya bagaikan halilintar. “Makan tak kemas, pantang betul aku,” pekiknya berkali-kali. “Bu… bukan saya,” ujar Zaila cuba menerangkan keadaan sebenar tetapi tidak dipedulikan langsung.
Saya terpandangkan pembantu rumah disisi saya sedang tersenyum-senyum ikut padankan muka gadis muda itu. Semestinya dia pembantu baru yang sedang dibuli seisi kediaman ini. Simpati saya dengan nasib dialami gadis muda lagi cantik ini. Jauh sekali pembantu ditepi saya ini, comotnya yang amat. Cemburulah tu.
Banyak kali kejadian seperti itu berlaku di depan mata. Entah mengapa Zaila sering menjadi habuan Datin Su. Begitupun saya enggan masuk campur dalam hal orang. Kalau begitu caranya Datin Su mendidik pembantu rumahnya, siapalah saya hendak menegur. “Tambahlah lagi,” sapa Datin Su memecah ingatan lalu. Saya senyum tersipu-sipu. Bimbang ditangkap mengelamun panjang. Kami berbual-bual seperti biasa sambil menjamu selera. Menjelang senja kami minta diri. Datin Paduka menawarkan diri menghantar saya. Lagi pula jalan kami sehala. Saya lantas tidak memanggil pemandu menjemput saya. Kami berbual-bual kosong sehinggalah saya menyentuh soal Zaila.
“Bagus Datin Su,” ujar saya jujur. “Kenapa?” “Dia tak kisah jadikan pembantu rumah jadi menantu.” Datin Paduka Lynn tiba-tiba merenung saya tidak mengerti. Tetapi dia kembali merenung jalan kembali fokus pada pemanduan. Dia kelihatan berfikir sejenak. Kenala dia dilihat binggung dengan pernyataan saya sebentar tadi? Salahkah apa dikata saya?
“Zaila tu memang menantu dia. Tak pernah jadi pembantu rumah. Tak tahulah kalau Daing kahwin dua dengan pembantu rumah?” “Maksud I, Zaila lah!” “Yalah! Zaila tu menantu dia lah,” ujar Datin Paduka Lynn hampir pecah ketawa melihat kerutan di hahi saya. Saya kembali terbayangkan adegan-adegan beberapa kali disaksikan mata ini. Betul Zaila diherdik bukan seperti menantunya. Sebab itu saya tidak pernah menyangka gadis cantik itu ahli keluarga datin. Baru kini saya mengerti kemarahan Datin Su. Zaila bukan menantu pilihan. Itulah sebabnya.
“Mesti you tengok dia marah-marah Zaila.” “Sumpah, dia marah macam Zaila tu pembantu rumah,” ujar saya terlepas ketawa. Alkisah, Datin Su berang apabila anak tunggalnya itu mahu bernikah dengan wanita orang kebanyakan. Keputusan itu diambil hanya setelah berkenalan selama tiga bulan bertemu. Dah lah Daing masih belajar ketika itu. Naik hantulah Datin Su. Daing lelaki budiman yang akan mengotakan janjinya. Dia lantas pergi berdepan ibu bapa Zaila meminta restu.
Walau tidak mendapat restu ibu, Daing terus memujuk rayu. Dari perwatakan yang sentiasa ceria, Daing berubah jadi muram. Tiada lagi lawak jenakanya bergema di ruang tamu rumah, tiada lagi peluk ciumnya buat ibu tersayang setiap kali mahu keluar. Perubahan mendadak ini membuatkan Datin Su turutkan sahaja permintaan anak kesayangannya itu, walau dalam hati terpendam dendam kesumat tidak akan membiarkan bakal menantunya hidup tenang.
Saat perkahwinan si anak, sanggup Datin Su lari ke luar negara mengelak untuk hadir ke majlis akad nikah sebelah perempuan. Bapanya pun… walau di luar businessman disegani, tapi di rumah, takutkan isteri. Bila Datin Su mengamuk, dia terus lari menikus. Maka pada akad nikah dijadualkan berlangsung, Daing hanya ditemani ibu dan bapa saudara serta sepupu-sepupunya. Mujurlah bapa saudaranya sangat memahami menguruskan segala. Ibu saudaranya pula bertanggungjawab menyediakan hantaran dan sebagainya.
Pihak perempuan tidak pula bersangka buruk dengan besan mereka. Mereka mengerti usahawan bergelar seperti Datuk Ramli dan Datin Su pasti banyak komitmen. Zaila turut merahsiakan perihal ibu mertuanya daripada pengetahuan keluarga sendiri. Awal-awal dia tidak pula meyangka seburuk itu layanan diberikan. Hampir setiap hari dia berendam air mata. Kesalahan tidak dibuatnya tetap jadi kesalahannya.
“Sampai begitu sekali?” “Orang dah tak suka, macam-macamlah dia buat. Nak-nak personaliti Datin Su kuat. Percaya atau tidak, datin bersekongkol dengan pembantu rumahnya untuk mengenakan Zaila.” Saya terbayangkan wajah pembantu rumah comot Datin Su dahulu. Rasa-rasanya dia sudah dihantar pulang dan digantikan dengan pembantu lain. Senonoh sikit pembantu baru datin. Kiranya begitu layanan diberikan buat menantu, memang kejam sungguh.
“Pembantu rumah baru ke Datin?” soal saya selepas melihat Datin memarahi Zaila beberapa tahun lalu. “Geram saya. Semua benda dia buat tak menjadi,” balas Datin Su tidak langsung membetulkan keadaan. Sampai saat ini saya menyangka Zaila itu pembantu rumah yang paling setia walaupun kerap dimarahi, dia kekal berkhidmat di situ sehingga kini. Sehinggalah tadi saya mendengar Datin Su membahasakan dirinya mami kepada Zaila. Satu kejutan buat kami semua yang mendengar.
“Sehinggalah Daing membawa Zaila berpindah rumah. Datin Su ketika itu melara. Seperti orang tak betul. Agaknya dia panas kut, ada Zaila duduk serumah dengannya. Dah macam drama sinetron. Lucu pun ada.” “Lucu kenapa?” Datin Su pergi rumah Daing dan Zaila. Tengok keadaan rumah kosong, diborongnya barangan elektrik dan perabot. Esok-esok dia pergi lagi ke rumah anak menantunya itu. Lain pula jadinya saat dia ke situ. Sama seperti kali pertama dia akan meninjau keliling rumah yang telah lengkap perabotnya. Apa terjadi adalah, datin akan mengungkit segala yang ada di kediaman itu adalah pemberiannya.
“Semua ini aku yang belikan. Kau tengok betapa perkahwinan ini adalah salah.” Tahu-tahu semua barang eletrik dan perabot dibelikannya dulu telah diangkut kembali semuanya. Memang Datin Su buruk siku. Kerana terlalu bencikan menantu dia tergamak melakukan hal-hal sebodoh itu. Saya mengurut dada mendengar kisah disampaikan Datin Paduka. Melampaunya! Sampai hati anak menantu diperlakukan sebegitu rupa. Saya ingatkan cinta terhalang oleh dua darjat hanya wujud dahulu kala rupa-rupanya masih ada sekarang. Depan mata!
Datin Paduka menyambung cerita Datin Su anak beranak di meja kafe Ben’s, KLCC. Kami membuat keputusan makan malam di situ. Saya masih tak mampu memahami kisah tragis Zaila beribu mertua sekejam itu. Sampainya hati Datin Su, sahabat saya sendiri.
Akibat sering diganggu ibu sendiri yang bermacam kerenah, Daing yang kebetulan telah tamat belajar ditawarkan kerja di Singapura. Tanpa buang waktu terus diterimanya. Mungkin tinggal berjauhan daripada keluarga buat sementara waktu adalah jalan terbaik. Melihatkan betapa bencinya ibu terhadap isterinya. Si anak juga hilang akal mahu meruntuhkan benteng dibina si ibu.
Setelah beberapa bulan bermastautin di tanah seberang, Daing dan Zaila mula rasa nikmat hidup berkeluarga. Tiada siapa nak sibukkan tepi kain, tiada siapa nak mencerca. Kehidupan suami isteri ini aman sekali. Bila Daing keluar bekerja, Zaila mengambil upah sebagai tutor sambilan di sebuah pra sekolah berdekatan rumah. Kerana sibuk, jarang sekali Daing menelefon ibunya. Banyak kali juga Datin Su mahu menefon anak kesayangannya. Tapi kalau di luar waktu kerja, dia terus letak telefon kalau terdengar suara sang menantu. Meluat katanya.
Menggelisah Datin Su setelah ditinggal jauh Daing satu-satunya anak tunggal kesayangan. Bukan pernah mereka berpisah jauh dengan sengketa. Maka berfikir panjang Datin Su akibat takut terpisah dengan si anak. Perlukah dia menerima Zaila? Itu persoalan yang bermain di mindanya sentiasa. Datin perlu membuang segala ego yang membekam diri.
Hatinya terluka kerana tidak pernah dipelawa untuk berkunjung ke rumah anak menantu di kota Singa. Daing tegas kali ini kerana telah hampir setahun isterinya diberi layanan dingin daripada emak. Zaila tidak pernah mengadu tetapi dia sendiri sering melihat isterinya termenung dan kadang-kadang menangis. Kata Daing, dia tak mahu ada terselit rasa penyesalan kerana berkahwin dengannya.
Sehinggalah Zaila hamil dan selamat melahirkan Zafuan. Pada permulaannya Zaila ragu-ragu mahu ketemukan anaknya dengan si nenek. Tidak mahu anaknya menerima nasib sama diperlakukan seperti orang asing. Tetapi kali ini Zaila salah perhitungan kerana ternyata Datin Su telah banyak berubah. Mungkin sudah banyak memikirkan kerosakan dilakukan sehingga membawa anaknya menjauh.
Daing memberitahu hajat Datin Su, mahu mereka tiga beranak pindah masuk balik ke rumahnya. Namun, Zaila sudah tawar hati. Apalagi bila sudah beranak kecil. Zaila tidak mahu kehidupan mereka kembali berantakan dek kerana ibu mertua yang tidak berhati perut. Daing akhirnya memberi pilihan lain sebagai jalan penyelesaian. Pindah balik ke Kuala Lumpur tetapi tinggal di kediaman berasingan. Jika Datin Su mahu melihat cucu, terpaksalah dia menebal muka datang ke ruang Daing. Zaila nampaknya sudah tidak mahu lagi mengalah.
Benar kata orang sebenci-benci mana pun ibu mertua kepada menantu, tetapi sebaik sahaja memandang mata si cucu pasti lembut hatinya. Sebab tu pepatah ada berkata anak adalah zuriat menyatukan semua. Yang merajuk bakal sejuk hati dengan kehadiran cahaya hati mereka. Daing paling lega dengan perkembangan itu. Saya saksikan sendiri tadi memang banyak perubahan berlaku dalam hubungan Datin Su dengan Zaila. Kalau dahulu pantang bersua pasti diserangnya Zaila. Ada-ada sahaja tak berkenan di mata. Sebetulnya tak ada salah pun pasti dicipta salah Zaila. Puas hati agaknya dapat memarahi menantunya itu. Mata kepalanya sendiri menyaksikan segala. Malah amarah Datin Su seperti dia memarahi seorang amah.
Zaila yang saya lihat tadi nampaknya lebih tenang. Walaupun perut memboyot tetapi kejelitaannya tetap terserlah. Aganya dia begitu tenang dengan perubahan si ibu mertua. Kata Datin Paduka, tidak lagi Zaila perlu menyorok segala deritanya daripada keluarga. Tidak juga perlu menanggung derita memendam rasa. Betapa bahagianya pabila Datin Su sudi bertemu ibu bapa dan seisi keluarganya kini. Saya tumpang senang mendengar perkembangan itu.
Memang ada segelintir perkahwinan anak golongan sosialit dan bangsawan telah diatur sesama sendiri kerana memenangkan taraf dan status sosial. Ada juga perkahwinan daripada pilihan si anak yang kebetulannya memenuhi cita rasa. Kerana kelompok pergaulan golongan sama, mereka bertemu sesama sosialit atau keluarga bangsawan. Bagi yang memilih orang kebanyakan pula, ada keluarga yang menerima dan ada juga jadi beginilah, seperti kisah Datin Su.
“Eh, bukan Datin Su dulu pun orang kebayakan yang jatuh cinta dengan Datuk Tengku Musa orang bangsawan paling kacak di eranya?” “Iya tetapi Datin Su pantang ditegur. You fikir kenapa Datin Su dan Datin Ruby tak sebulu?” “Datin Ruby menegur mengenai masa silam Datin Su? Berani dia?” soal saya benar-benar terkejut.
Saya mula merancang akan ketemukan Datin Su dengan Datin Ruby. Sudah-sudahlah bermasam muka. Lagi pula Datin Su kan dah terima menantunya. Sesungguhnya kisah ini benar-benar memeranjatkan saya. Zaila ibarat Cinderella, seorang puteri yang menerima nasib malang pada mulanya. Syukurlah dia sangat bahagia kini berkat sabarnya. Semoga ini kisah cinta dua darjat terakhir saya dengar.