Korner Mak Datin: Datin Palsu Gigit Jari, Datuk Yang Dikejar Menghilangkan Diri

Korner Mak Datin: Datin Palsu Gigit Jari, Datuk Yang Dikejar Menghilangkan Diri

DatinXNEWGambar ARKIB GLAM

 
Pagi itu Lara pulang ke rumah dengan hati membara. Mukanya masam mencuka, jelas tergambar kemarahan yang sedang melanda diri. Hilang kemanisan wajah yang menjadi sebut-sebutan golongan sosialit. Sememangnya kehadiran Lara itu tidak disenangi beberapa kelompok sosialit kota.
 
Lara, memang terkenal dengan wajah jelita, bertubuh menggiurkan dan bijak bergaya. Apa sahaja yang terletak di tubuhnya tampak cantik. Busana murah pun boleh nampak mewah apatah lagi tatkala dia menyarung persalinan berjenama. Banyaklah mata memandang dengan rasa penuh cemburu di hati. Kelompok wanita semestinya tidak senang duduk bimbang suami masing-masing yang berpangkat Dato, Tan Sri dan kerabat akan terpikat dengannya. Manakala golongan lelaki pula tidak kira tua muda, separuh umur dan sebaya semestinya berlumba-lumba mahu berdampingan dengan Lara, si gadis pintar lepasan Universiti jurusan Seni Bina.
 
Sayangnya hati Lara sudah terpaut pada hanya satu nama. Hatinya terpahat rasa cinta kepada Datuk Zakuan, duda kacak paling dikehendaki seluruh wanita sosialit Kuala Lumpur. Orangnya sungguh kacak dan bergaya pula. Pernah berkahwin namun jodoh tidak panjang. Mereka berpisah tanpa hadirnya zuriat.
 
Kerana cinta Lara sanggup bersekududukan dengan Datuk Zakuan di sebuah pangsapuri elit di ibu kota. Bertuahnya badan kerana Datuk Zakuan memang sayangkan Lara. Dia sangat dimanjakan dengan wang dan harta benda. Boleh dikatakan sesuku daripada wang Datuk Zakuan diserahkan kepada Lara. Oleh kerana dia terlalu dimanjakan Datuk Zakuan, Lara yang angan-angannya sejak dahulu mahu berada di dalam kelompok golongan berada menjadi semakin bongkak dan hidung tinggi. Kerana terlampau yakin Datuk Zakuan akan mengahwininya, dia telah mengarahkan semua kenalan dan orang sekeliling menggelarkan dirinya Datin.
 
“Datin? Bila masa dia tu berkahwin?” soal Dura sepupunya sendiri. “Entahlah tetapi semua orang dah selesa memanggilnya Datin,” ujar Suhana pula. Mendengar perbualan itu membuatkan Lara mahu segera pulang meski dia baru saja melangkah masuk ke kafe mewah yang paling happening di ibu kota. Rasa teruja mahu berkongsi cerita kepada dua insan yang paling dekat di hatinya iaitu Dura dan Suhana mati begitu sahaja. Semalam dia beria-ria menelefon Dura dan Suhana agar keduanya menemani bersarapan tetapi perbualan kedua insan yang disayangi itu dirasakan seolah-olah dia ditikam dari belakang oleh sepupu sendiri. Dia memang agak lewat tiba dan saat melangkah masuk menuju ke meja makan, perbualan tersebut menerobos pendengarannya.
 
Memang Dura dan Suhana dimarahinya di situ juga di depan orang ramai. Dia tidak menyangka sama sekali dua insan yang sangat dipercayai yang diusung ke sana ke mari sanggup menikamnya dari belakang. Dia tidak kisah kalau ada mulut lain mempersoalkan hal yang sama tetapi bukan daripada dua insan ini.
 
“Lara, maafkan kami. Kami tak berniat nak mengata kau,” ujar Suhana mewakili Dura yang sedang mencebik. Semakin hangat hati Lara melihatnya. “Hey, Datuk yang izinkan kenapa pula kau nak menyibuk.” Selepas itu Lara langsung pulang dengan hati sebal. Dura kurang senang dengan perbuatan Lara yang memarahinya di depan
khalayak ramai. “Sombong! Menyampah aku.” “Tak baik, Dura. Dia tu sepupu kau juga,” ujar Suhana cuba meredakan keadaan. Sebenarnya apa yang membuat Lara lebih terkilan adalah sikap Datuk Zakwan yang langsung tidak mahu bercerita soal kahwin.
 
Walaupun telah lima tahun menyulam asmara, dia langsung tidak berani bertanyakan soal berkahwin. Bimbang Datuk Zakuan memandangnya serong pula. Bukankah lelaki sangat takut jika soal nikah kahwin dibangkitkan wanita? Dia percaya soal itu biarlah lelaki yang memulakannya. Sejak remaja lagi Lara bersudah menyimpan angan-angan mahu berkahwin dengan lelaki hartawan dan berpangkat besar. Padahal dia seorang pelajar yang pintar dan ternyata berjaya mendapat segulung ijazah. Tetapi dia tahu untuk mendapat kemewahan yang diidamkan dengan sekelip mata tidak mudah lagi pula dia mahu berada di dalam lingkungan orang-orang kaya.
 
Bergaul dengan sosialit kelas A dan hadir ke acara-acara mewah dan gah. Jalan pintas untuk semua itu adalah dengan memikat Datuk jutawan. Dia tahu impiannya itu kini hampir manjadi nyata. Bukan mudah untuk menawan hati lelaki jutawan yang bercita rasa besar terhadap gadis. Ia memerlukan dedikasi tinggi kerana Lara perlu kelihatan cantik sentiasa. Dia juga perlu sentiasa berada di dalam kelompok sosial dan bergaul dengan golongan atasan. Awalnya dia kurang diterima ramai tetapi kerana usahanya yang bersungguh-sungguh dia akhirnya menjadi sebahagian daripada golongan tersebut.
 
Beberapa hubungan sebelumnya menemui jalan buntu sehinggalah Lara bertemu Datuk Zakuan disalah sebuah parti. Hubungan mereka berkembang begitu pantas bagaikan ada magnet yang mencantumkan mereka berdua. Lima tahun bukannya tempoh singkat tetapi hati Lara sedikit terusik kerana Datuk Zakuan sampai saat ini belum melamarnya. Orang kata hubungan menjangkau usia lima tahun dalam keadaan goyah.
 
Benarlah bagai dikata, hubungannya dengan Datuk Zakuan berakhir bukan kerana pertelingkahan tetapi kerana tiada lagi rasa cinta di hati Datuk Zakuan. Lara puas merayu tetapi tidak sekali-kali diendahkannya. Lara sendiri bukannya memujuk rayu demi cinta tetapi lebih kepada memenuhi cita-citanya. Dia memang gilakan status dan baginya pangkat adalah segala-galanya.
 
“Lara, kau boleh dapatkan lelaki lebih kaya daripada Zakuan,” pujuk Suhana. Hanya Suhana temannya kini sedangkan Dura sudah disisihkan daripada kumpulan mereka. Dia masih tidak mampu memaafkan Dura dengan kata-katanya tempoh hari. “Pasti semua orang mentertawakan aku. Dura pasti sedang mengumpat aku.” Ternyata pandangan orang lain lebih diutamakan. Lara tidak langsung mengalirkan air mata sepanjang tempoh putus cinta. Fikirannya mula ligat mengatur gerak langkah seterusnya.
 
Walaupun memiliki pendidikan tinggi, Lara tidak pernah menceburkan diri dalam dunia seni bina. Sebaliknya dia lebih senang membuka empayar perniagaan yang berkaitan dalam dunia glamor. Lara senang menjadi penerbit filem dan drama sejak dua tahun ini. Tetapi sebelum ini Lara pernah melibatkan diri dalam dunia fesyen busana muslim, mencipta produk kecantikan dan dekorasi tetapi semuanya menemui jalan buntu. Kegagalan demi kegagalan ditempuh kerana kurangnya ilmu di dalam bidang tersebut. Namun setelah Datuk Zakuan masuk campur barulah apa yang disentuhnya bertukar menjadi emas. Bekas kekasihnya itu banyak memberi tunjuk ajar untuk lebih maju di dalam dunia perniagaan.
 
Syarikat penerbitannya itu diserahkan kepada Lara walaupun sebenarnya syarikat itu ditubuhkan 100 peratus menggunakan modal peribadinya. “Lagipun, dia tinggalkan kau banyak harta, kan? Bertahun juga kau boleh hidup senang.” “Suhana, duit kalau tak beranak, habis begitu sahaja. Aku tengah berusaha nak menggandakan pendapatan,” bangkang Lara mengerling Suhana.
 
Bukan ratus ribu yang dibicarakan mereka berdua, tetapi jutaan wang yang ditinggalkan Datuk buat Lara. Memang Datuk Zakuan memiliki kekayaan daripada perniagaan yang dijalankan disamping mewarisi kemewahan keluarganya. Datuk Zakuan memang pemurah terutama kepada wanita dikasihinya. Cuma sejak gagal di dalam perkahwinan dahulu, dia semakin berhati-hati dalam hubungan.
 
Sebenarnya Datuk Zakuan sangat mencintai Lara tetapi kesal dengan tindak tanduk wanita itu. Memang banyak cerita sampai ke telinganya termasuk perihal panggilan Datin. Dia langsung tidak peduli tetapi terbetik juga rasa kurang senang. Tindakan Lara itu telah memakan diri. Pengalaman Datuk Zakuan berkahwin dengan wanita mata duitan yang gilakan status telah membuatkan hatinya tertutup buat Lara. Lantas dia memutuskan untuk berpisah dengan Lara. Ketika itu dia sudah bulat hati dan berikrar untuk tidak tunduk dengan air mata wanita itu. Lakonannya memang hebat sekali. Ada beberapa sifat Lara dikesannya saling tidak tumpah dengan perangai bekas isterinya.
 
Ternyata khabar yang baru didengar Lara sangat menyakitkan hatinya. Dia lantas mencari Suhana di rumahnya. Jarang sekali Lara akan berkunjung ke rumahnya yang kecil itu. Kalau sudah Lara sanggup mengejutnya di tengah-tengah malam buta itu pasti ada perkara besar telah terjadi. “Kenapa Datin?” “Kau sindir aku?” soal Lara dengan
suara meninggi. “Oh, salah tanya ya.” Tiba-tiba Lara menangis walaupun reaksinya lebih tenang. Tetapi Suhana hanya melihat sebutir air mata yang mengalir. Itu sahaja. Memang Lara keras hati kerana seboleh-bolehnya dia akan menyembunyikan apa sahaja yang dirasakannya. Kiranya Lara seorang wanita yang penuh dengan ego. Suhana teringin mengorek rahsia apakah penyebab yang menyebabkan tertumpah jua air mata Lara.
 
Rupa-rupanya Lara menerima berita yang Datuk Zakuan kini mesra dengan Dura. Apabila ditanya Dura, sepupunya itu menafikannya. “Katanya hanya kawan. Aku syak dialah yang jadi racun dalam hubungan aku dan Zakuan.” Suhana terdiam! Telahan Lara itu benar belaka tetapi tidaklah pula dia mahu menjadi batu api. Lebih baik berdiam diri sahaja. “Kau diam pula.” “Aku pun terkejut macam kau, Lara.” Suhana tipu sunat demi untuk kebaikan semua. Dia tidak mahu hubungan yang sudah keruh semakin berkeladak. Puas dia memujuk Dura untuk tidak mendekati Datuk Zakuan tetapi degil. “Mak aku cakap, mereka nak kahwin.” “Hah?”
 
Kali ini Suhana benar-benar terkejut. Pandai sungguh lakonan Dura kerana setahunya Datuk Zakuan sangat berhati-hati untuk mendirikan rumah tangga selepas keruntuhan yang pertama. Dura telah berjaya melembutkan hati Datuk Zakuan. Atau sudah tersurat jodoh mereka berdua. Bagi Lara berita ini sangat memalukannya. Suhana mengerti apa yang dirasakan Lara. Hubungan yang berlangsung lima tahun gagal di pertengahan jalan. Tetapi hanya beberapa bulan sahaja menjalin cinta dengan Dura, mereka sudah merancang perkahwinan. Betapa kerdilnya diri dirasakan saat ini. Maruah seorang wanita bagaikan tercalar. Lebih sakit lagi apabila bekas kekasih memilih berkahwin dengan sepupu sendiri.
 
Keluarga Suhana sangat dekat dengan keluarga Dura dan semestinya mereka akan banyak bertembung dalam perjumpaan keluarga kelak. Mahu menyalahkan Dura dan Datuk Zakuan seolah-olah diri melawan takdir kerana mungkin jodoh mereka sudah tersurat. Jodoh mereka dipertemukan menerusi Lara. Sejak berita itu diterima, Lara menjadi seorang yang pendiam. Dia juga semakin merendah diri. Begitupun Suhana sangat kenal dengan Lara. Diam-diam Lara, diam-diam ubi tetapi berisi. Lara membina empayar lebih besar setelah hatinya terluka.
 
Dia menjadi penerbit filem yang berjaya dan dikurniakan gelaran Datuk Lara. Kiranya dia tidak lagi menumpang pangkat atau gelaran daripada insan bergelar lelaki. Dia sendiri mampu mendapat takhta itu hasil kerja kerasnya. Tak kiralah modal bisnesnya itu bertitik-tolak dari mana tetapi kisah silamnya semakin dilupakan. Selain menjadi penerbit, dia juga mula membuka perniagaan lain. Dunia kecantikan diceburi semula. Kali ini dia mengupah seorang konsultan yang akan merancang perjalanan kerjayanya.
 
Begitulah perjalanan seorang wanita yang pada mulanya hidup bergantung dengan bersandarkan lelaki tetapi kini gagah menjulang kejayaan apabila hidup sendiri. Maruah yang tercemar, hati yang tercalar berjaya membuatnya untuk melompat jauh lebih tinggi.
 
 

See also
Datin X: Cinta Terhalang Kerana Berbeza Fahaman Politik