"Fesyen ibarat mood swing" - Nina Nadira

“Fesyen ibarat mood swing” – Nina Nadira

Nina Nadira
 
Menjejakkan kaki ke dalam industri seni bermula daripada rancangan realiti Akademi Fantasia pada tahun lalu. Sejurus tamat, dia menyertai kumpulan produksi HLive dan memulakan kariernya sebagai pengacara sehingga kini.
 
“Saya mula menyertai HLive bulan Februari tahun ini. Saya baru berusia 23 tahun dan mempunyai Diploma dalam seni teater. Saya juga bakal menyambung pelajaran di Melbourne dalam jurusan drama Julai hadapan kerana saya masih mempunyai satu semester tertangguh,” ujar Nina.
 
Bersyukur dengan rezeki yang menyambutnya kerana diberi peluang untuk mengacara walaupun minat sebenar adalah bidang teater. Namun, pengalaman yang ditimba bagaikan satu nilai yang tidak boleh ditukar ganti. Minat terhadap seni lakon teater bermula ketika usianya 15 tahun, “Pada ketika itu, ramai yang cakap wajah saya mirip suatu watak dan karakter di dalam teater. Lalu, seorang guru datang dan ingin mengajar saya teknik sebenar lakonan teater. Daripada situ, minat terhadap teater kian subur dan berhasrat ingin menyambung pelajaran di dalam bidang ini.”
 
Tambah Nina lagi, “Teater tidak seperti berlakon di drama televisyen. Perlu menguasai pentas beraksi secara langsung fokus dan saat membuat persembahan.” Pendapatnya tentang perkembangan industri teater di Malaysia di mana penonton dan peminat teater masih lagi berkurangan dan tidak mendapat perhatian sepenuhnya lagi.
 
Tetapi malang buat Nina, sehingga kini dia masih tidak berpeluang untuk menyertai mana-mana produksi teater kerana jadual harian yang cukup ketat. Walaubagaimanapun, Nina sentiasa mencuri sedikit masa untuk keluar menonton persembahan teater. “Dari situ, saya berpeluang belajar lebih mendalam kerana setiap tontonan teater, adalah berlainan daripada segi kostum, produksi dan jalan ceritanya.”
 
Beralih kepada topik fesyen, Nina punya persepsi sendiri terhadap definisi fesyen, “Bagi saya, fesyen tiada limitasi juga tiada peraturan. Jika hari ini saya rasa mahu pakai begini saya akan pakai, dan keesokan harinya, saya mahu sedikit santai hanya mengenakan sandal, saya akan berpakaian seperti itu. Ia macam mood swing!” seloroh Nina.
 
Nina seperti wanita-wanita lain, memilih keselesaan sebagai keutamaan kala bergaya. “Keselesaan sangat penting. Saya jenis orang yang tidak akan membazirkan duit untuk sesuatu yang tidak selesa apabila disarung di tubuh. Sejak akhir-akhir ini juga saya sering membeli koleksi baju berwarna putih. Tidak tahu mengapa, mungkin ia adalah obsesi terbaru saya,” ujar Nina lagi.
 
Tidak begitu mementingkan jenama kala membeli, potongan yang melekap cantik di tubuh adalah pilihannya kala membeli. Dia tidak kisah untuk membayar dengan harga yang murah untuk sehelai baju asal ia cantik dan sesuai apabila memakainya.
 
Isu fashion police di kalangan masyarakat kita, bagi Nina dia serta merta menolak persepsi ini. “Bagi saya kini masyarakat sudah terbuka tentang fesyen. Mungkin dahulu, jika bergaya dan berpakaian pelik sikit, pasti ada sahaja mulut jahat dan suka menyampai. Tapi kini boleh dilihat budaya seperti itu semakin berkurangan,” cerita Nina yang memilih bandar Eropah sebagai inspirasi kota fesyen kerana budaya dan aura fesyennya memiliki sentuhan classy lagi glamor.
 
Teks & Penyelaras AMIRA AZMAN
Pembantu Penyelaras ZUHAIRIE SAHROM
Penata Gaya AIZAT AIDID
Arahan Seni ZULKIFLI SULAIMAN
Pembantu Arahan Seni ASHURA HAKIM
Gambar AARON LEE/LENSWORK PRODUCTION
 
*Artikel ini disiarkan dalam GLAM edisi September 2015
 
 

See also
Salvatore Ferragamo Spring 2016