Kenali Diandra, Cucu Kepada Allahyarham Datuk Jamil Sulong

Kenali Diandra, Cucu Kepada Allahyarham Datuk Jamil Sulong

Diandra
 
Saat menunggu ketibaan penyanyi ini, hari semakin mendung, hujan pula mulai turun membasahi bumi. Tidak sabar saya ingin berjumpa dengannya. Berdasarkan perbualan di telefon, menampakkan penyanyi ini seorang yang begitu ceria dan peramah sekali. Betul, seperti di alam maya, realiti juga begitu.
 
Bermulanya kisah perjalanan seni Diandra saat dia berusia 18 tahun. Penyanyi dan penulis lirik, Reza Salleh menemui videonya yang dimuat naik di laman YouTube lantas menawar Diandra untuk membuat persembahan pertamanya. Ujarnya perkara itu terjadi begitu cepat namun selepas show pertama itu, undangan nyanyian kian bertambah langsung menjadi karier, “Memang niat saya ingin menjadi penyanyi kerana saya mengambil jurusan Seni Persembahan di kolej tapi saya tidak menyangka ia akan berlaku sepantas ini”. Baru melancarkan single berjudul Bintang, Diandra kini giat mengumpul lagu-lagu yang bakal dimuatkan di dalam album keduanya yang akan datang. Antara lagu yang bakal menusuk halwa telinga pendengar adalah lagu hasil ciptaan Imran Ijmain yang berjudul Sahabat.
 
Genre muzik yang dibawa oleh Diandra juga nyata berbeza-beza. Melabelkan dirinya sebagai penyanyi Pop namun dia begitu meminati ritma dan bunyi alunan lagu-lagu R&B, Jazz juga lagu-lagu dari seberang. Mungkin juga ada yang masih tidak tahu, Diandra adalah cucu kepada Allahyarham Datuk Jamil Sulong, pengarah dan penerbit filem tersohor negara suatu ketika dahulu. Dimana tidak tumpahnya kuah jika bukan ke nasi, begitulah perumpamaan sesuai buat penyanyi muda ini. “Arwah atuk saya ialah pengarah filem juga penulis lirik buat lagu seperti Tiada Kata Secantik Bahasa jika diingat kembali yang indah didendang Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, manakala nenek pula pelakon, jadi bakat saya mungkin juga datang dari darah seni mereka.”
 
Pencapaian yang membanggakan buat dirinya sudah pasti apabila berpeluang berada di bawah pengurusan label Yuna Room records. Walaupun ia sudahpun berakhir, namun yang pasti kenangan Yuna membawanya sekali tatkala membuat persembahan di konsert jelajahnya sekitar Singapura, Kuching dan Pulau Pinang adalah momen yang terbaik, “Penonton yang hadir begitu ramai sekali. Semestinya saya gementar akan tetapi apabila mendengar para penonton yang hadir turut menyanyikan lagu saya, it is the biggest achievement to me. Tidak kisahlah jika ianya hanya 10 orang atau berapa sahaja, that feeling can’t explain.” Selain itu, dia juga tidak dapat melupakan sejarah kenangan mendapat jemputan untuk membuat persembahan di Dewan Filharmonik Petronas pada tahun lalu. Manakan tidak, tiada calang-calang hadirin yang boleh datang dan menonton persembahan di dalam dewan itu. Di usia 23 saat itu, ia adalah dianggap sebagai portfolio terbaik buat dirinya sebagai pendatang baru.
 
Soal fesyen, penglihatan saya dari gaya rambutnya yang diwarna ombre, pasti dia punyai ikon dalam bergaya. Ujarnya dia begitu meminati Kylie Jenner, “Saya suka akan rambutnya! Selain itu, Demi Lovato serta selebriti yang punya imej edgy juga Rock and Roll”. Tambah Diandra lagi, dia tidak ada sebarang pereka fesyen kegemaran tertentu yang terlintas difikirannya. Akan tetapi, dia tidak boleh melepaskan pandangan terhadap koleksi couture rumah fesyen Ellie Saab. Kerana ceraian klasiknya juga perincian yang berkemilauan mewah membuatkan jenama itu kelihatan memukau di mata Diandra. Namun gaya hariannya jauh berbeza dari pilihan jenama mewahnya itu yang lebih feminin, dia lebih kepada meminati gaya fesyen high street, “I’m very much a vintage store person, I have a whole closet of checked shirt and I am also a very casual person.”
 
Bagi gaya pentasnya pula tiada yang berubah, dia masih mengekalkan konsep keselesaan dalam berpakaian seperti yang diamalkan dalam gaya hariannya. Menggemari oversized kardigan serta sering sahaja berkimono, “Saya kerap dimarahi kerana asyik terlalu santai berpakaian kala membuat persembahan, but I feel you shouldn’t try so hard. Jika diri terlalu malas pada hari itu, saya hanya akan menyarungkan helaian t-shirt dan kemudian memadankan dengan sepatu atau juga saya akan bersolek agak bold agar ianya mengimbangi penampilan saya sebagai seorang performer”. Diandra turut memasang impian untuk berkoloborasi bersama penyanyi Indonesia kegemarannya, Tulus, suatu hari nanti kerana pada saat ini gaya dan elemen muzik yang mempengaruhi dirinya pada saat ini adalah lebih terarah dan berinspirasikan kepada muzik dari seberang.
 
Soal saya mengakhiri perbualan bersama Diandra pada petang itu tentang lima benda yang mesti ada setiap hari, jawab Diandra dengan santai, “My handphone, penggaris kening, makanan, teh o’ ais limau juga teman lelaki saya! I love food and cooking. Ramai orang tidak percaya saya mampu memasak. Dan jika ada masa terluang pasti sahaja saya memasak. Kadang kala saya bawa ke studio dan menjamah rakan-rakan. Pastinya pasta cili padi dan masakan barat menjadi kepakaran saya!”
 
 
Teks & Penyelaras: Zuhairie Sahrom dan Amira Azman
Penata gaya: Aizat Aidid
Arahan Seni: Ashura Hakim
Gambar: Eric Chow/ Blink Studio
 
*Artikel ini disiarkan dalam GLAM edisi April 2015
 
 

See also
Tamat Sudah Riwayat 3 Peserta America’s Next Top Model Ini