"Pengaruh muzik datangnya dari ibu kerana dia seorang penari." - Sonaone

“Pengaruh muzik datangnya dari ibu kerana dia seorang penari.” – Sonaone

Sonaone
 
Orangnya sungguh bersahaja, pandai membawa diri kala kami, krew GLAM sibuk menyusun helaian untuk sesi penggambaran. Namanya terus mekar dalam memperjuangkan irama Rap dan Hip-Hop tanah air. Kali pertama single No More berkumandang di corong radio. Suaranya terus memikat perhatian saya lantas meniti di bibir. Pada mulanya saya ingat lagu ini dinyanyikan oleh penyanyi luar negara.
 
Mikael Adam Lozach atau dikenali dengan nama pentasnya, Sonaone akui, dia dikenali ramai menerusi single ini. Langsung menempa kejayaan besar dengan menggondol trofi Lagu Terbaik di Anugerah Industri Muzik ke-21 sekali gus menjadi lagu pertama dalam sejarah AIM mengangkat lagu Inggeris sebagai Lagu Terbaik.
 
“No More adalah pengenalan muzik saya buat pendengar muzik tempatan dan bila berkata mengenai pencapaian terbaik buat masa ini, sudah tentu bila saya berjaya membawa pulang tofi Lagu Terbaik di Anugerah Industri Muzik tahun lalu. Jujur saya katakan saya langsung tidak menyangka dan lidah kelu seribu bahasa. Ia adalah pengalaman yang paling indah kala menerima trofi di atas pentas kerana ini adalah bukti muzik bukan lagi berpaut pada bahasa tetapi kualiti sesebuah lagu itu lebih penting.”
 
Langkahnya sebagai pencinta irama Hip-Hop bermula sejak usianya di bangku sekolah rendah lagi. “Saya dilahirkan di Kuantan, langsung dibawa mengembara keluar negara sedari umur beberapa bulan. Kami merantau ke Sepanyol, Jepun juga Perancis atas tuntutan kerja ayah sebelum pulang ke tanah air pada usia saya 10 tahun. Pernah dibesarkan oleh nenek sebelah ayah di Selatan Perancis dan sebulan sebelum pulang ke Malaysia, saya dibawa melewati kota Paris. Kotanya sarat dengan seni grafiti, lebih-lebih lagi di dinding-dinding subway. Seni tipografi ini hadir dalam bermacam warna, bentuk dan komposisi. Dari situ saya mula menanam minat yang mendalam tetapi tidak mengenali sepenuhnya lagi budaya Hip-Hop.”
 
“Sementara itu, pengaruh muzik pula datangnya dari ibu kerana dia seorang penari. Melihat dia bersiap, memilih rentak muzik adalah antara pengalaman indah yang saya lalui. Tanpa disedari lagu-lagu Hip-Hop adalah antara pilihan yang diperdengarkan di rumah. Bila pulang ke tanah air dan mula adanya Internet, saya giat mencari maklumat mengenai grafiti dan dari situ mula mengenali budaya Hip-Hop yang merangkumi, DJ, break dancing dan rapping. Setiap pendedahan menjadi butiran pengenalan. Baik grafiti, pilihan muzik di rumah dan akhirnya bila Too Phat hadir mewarnai dunia seni suara tempatan. Semuanya bergabung dan terus membentuk peribadi saya hingga ke hari ini.”
 
Lagu Apa Khabar dendangan Joe Flizzow yang menampilkan Sonaone menepati ramalan ramai pihak kerana liriknya yang bersahaja namun membawa erti yang sungguh mendalam. Flizzow dan Sonaone mengungguli Anugerah Juara Lagu Ke-29. “Secara peribadi saya akui peminat muzik tempatan terus membuka cita rasa mereka dan muzik Hip-Hop terus mendominasi carta-carta muzik tanah air. Selain ingin mengembangkan lagi karier muzik saya ke tahap yang lebih tinggi, perancangan untuk hari yang mendatang semestinya untuk menampilkan album rakaman. Bahkan saya sedang memberi kemasan terakhir buat album yang bakal dikeluarkan tidak lama lagi. I believe Hip-Hop is album driven genre. Sebabnya saya percaya dengan hanya keluaran single, ia tidak cukup untuk memikul mesej yang hendak saya sampaikan. Seperti rapper tempatan yang sedia ada, tidak kira baru atau lama, saya ingin terus mengikis pandangan buruk yang sering dikaitkan dengan irama ini. Saya akan terus memperjuangkannya muzik yang sudah menjadi darah daging saya dan Hip Hop selamanya akan menjadi taruhan saya dalam industri,” terang pemuda ini.
 
Teks & Penyelaras: Zuhairie Sahrom dan Amira Azman
Penata gaya: Aizat Aidid
Arahan Seni: Ashura Hakim
Gambar: Eric Chow/ Blink Studio
 
*Artikel ini disiarkan dalam GLAM edisi April 2015
 
 

See also
Ulang Tahun Ke-61 Malaysia Baru: Izara Aishah Berbicara Mengenai Masa Depan dan Harapan