Jatuh cinta di Switzerland

Jatuh cinta di Switzerland

 

02F40382xx

 
Destinasi percutian idaman. Panorama alam yang menakjubkan. Tasik jernih, hamparan rumput hijau berlatarkan gunung yang puncaknya dilitupi salji persis lukisan alam yang sungguh sempurna. Jam cuckoo, juga jam tangan Swiss, coklat enak dan keju lazat. Kesemua itu adalah gambaran tipikal yang mungkin sudah ketinggalan zaman. GLAM bertamu ke sana untuk melihat negara ini bukan sekadar mengenai alam, gunung, jam dan coklat. Ikuti kembara Aida Osman menyingkap keindahan beberapa kota di Lake Geneva region.
 

SwitzerlandGambar: Switzerland Tourism

Zurich & Bern
 
Antara Zurich dan Bern, saya jatuh cinta. Kedua kota punyai pesona tersendiri. Zurich, kota terbesar negara ini juga pusat kewangan yang menempatkan banyak ibu pejabat bursa saham tempatan dan antarabangsa. Di sini juga terletak markas utama FIFA. Apa pun jangan pula tersalah anggap yang Zurich ibu negara Switzerland kerana ibu negaranya adalah Bern.
 
Apa tarikan Zurich? Banyak. Terlalu banyak. Zurich adalah kota tua Eropah yang menggabungkan kisah silam dengan kehidupan hari ini. Berjalan-jalan di Zurich anda pasti jatuh hati dengan deretan seni bina lama tetapi disegarkan dengan gedung dan muzium dengan seni bina moden dan kontemporari. Kota ini selain terkenal dengan keindahan alam, turut menjadi simbol kota metropolis. Zurich bergelora dengan kehidupan malam dengan kehadiran hampir seratus kelab pada hujung minggu dan turut menjadi tumpuan pencinta gastronomi dengan bar melebihi 500 dan restoran berjumlah 1500. Bagi insan seni, usah gusar kerana Zurich memiliki 50 muzium dan hampir seratus galeri seni. Jadi, apa lagi yang anda mahu? Kota ini menggabungkan semua keseronokan yang akan membuat liburan anda sangat mengesankan.
 
Saya sendiri selain ralit menjamu mata dengan keindahan alamnya, diri tersangat kagum dengan segala sistem yang dikendalikan di sini. Sistem pengangkutan Switzerland sungguh efisien. Bayangkan hanya dengan satu pas, Swiss Pass Rail Europe anda boleh ke mana-mana sahaja tidak kira dengan keretapi, bas ataupun bot. Saya kira semua maklum akan kebersihan negara ini. Jika tidak manakan mungkin Zurich berterusan disenaraikan kota dengan living standard tertinggi di dunia.
 
Saya tidak sendiri menyusuri kota indah ini. Bersama lapan lagi editor dari UK, Poland, Hungary, Korea Selatan, China, Rusia, Indonesia dan Ukraine kami kembara bersama ke beberapa kota pilihan di lake Geneva Region. Bermula dengan Zurich, kota ini kami singgah seketika sahaja. Sekadar berkeliling dan singgah sebentar di pusat fabrik Frontline, Zurich. Sejak 30 tahun lalu pusat ini mengusahakan bisnes sutera dan cashmere paling bermutu. Tenunan sutera membentuk motif dan paten indah dijulang kehebatannya oleh perancang busana tersohor dunia.
 
Dari Zurich menaiki kereta api ke Bern. Berteman alam indah awal musim luruh perjalanan sejam 20 minit berasa amat singkat. Ibu negara Swizerland yang diiktirafkan sebagai UNESCO World Cultural Heritage sungguh mempesona. Kota tua bersejarah beratus tahun dengan seni bina lama dikepung sungai jernih dengan latar gunung berlitupi salji tidak dapat diungkai keindahannya dengan kata-kata. Malahan, penulis tersohor Jerman Johann Wolfgang von Goethe pernah mencatat sebagai tempat terindah kala melayang warkah pada temannya sewaktu dia
menetap di Bern pada 1779.
 
Bern membiaskan landskap kegemilangan era Medieval dan Renaissance. Bangunan diperbuat daripada batu pasir, lorong-lorong sempit berbatu buntar (cobbled alleyways), menara jam tua, dataran lapang dengan kolam seakan perigi membuat anda teruja untuk meneroka, menyusuri kota tua ini. Diperindah dengan Sungai Aare yang melengkung bulat seolah-olah mengepung kota ini. Usah gusar kerana Bern tidak hanya menjamu dengan alamnya yang indah tetapi pelbagai acara dan festival berlangsung di sini. Pengunjung ke Bern akan dimanjakan dengan kemewahan seni dari muzium dan galeri yang bertebaran di kota ini. Dan tidak lupa pada penggemar muzik kerana di sini berlangsungnya Festival Jazz antarabangsa atau sekadar tenggelam larut dengan muzik persembahan Bern Symphony Orchestra.
 
Kami puas dapat menyusuri kota ini terutamanya menakluki pemandangan indah dari atas menara jam tua yang menjadi mercu tanda Bern. Andai di sini jangan lepaskan peluang untuk berjalan di pasar terbuka yang menjual segala macam makanan, pakaian dan bungabungaan. Hotel di Bern banyak tetapi saya syorkan anda menginap di Hotel Schweizerhof. Hotel lima bintang dengan dekorasi mewah amat strategik lokasinya, berhadapan stesen kereta api dan hanya lima minit berjalan kaki ke kota tua Bern.
 
ISS_3445_01662xx

See also
Pengakuan Mengejut 11 Selebriti Perihal Hubungan Intim Mereka

Bern

Kotak muzikal dan berkereta kuda di ladang anggur
 
Kereta api dari Bern singgah di Yverdon. Pekan kecil yang hanya dihuni 28 ribu jiwa. Kemudian berkereta api lagi untuk ke Sainte Croix. Melewati bukit beralun, pemandangan sepanjang perjalanan teduh dan damai. Singgah makan di restoran Belle Èpoque yang berusia lebih seratus tahun. Dari teras tempat kami makan pemandangannya sangatlah memukau.
 
Switzerland negara yang amat menitikberatkan alam. Pihak berkuasa tidak akan membenarkan sebarang pembangunan dibuat sesuka hati. Usai makan kami dibawa melawat Cima Museum. Di sini rata-rata semua terpaut dengan kehebatan orang Swiss membuat kotak muzik dan jujur saya jatuh cinta dengan kehalusan seni, kebijaksanaan orang dulu bermain dengan mekanikal objek kotak muzik dan melestarikan warisan sejak 1805 sehingga hari ini. Kagum melihat bagaimana kotak muzik dan humanoid automata (figura seolah hidup) dihasilkan secara manual dan menjadi instrumen seni yang sungguh mempesona. Dari muzium kotak muzik kami singgah melihat bagaimana peralatan muzik cello dibuat.
 
Sebelum senja berlabuh kami harus tiba di ladang anggur milik Guy Cousin. Dengan berkereta kuda kami melawat ladang anggurnya yang luas menghadap tasik. Tiada yang mampu berbicara kerana semua hanyut tenggelam menyaksikan keindahan mentari terbenam. Cahaya keemasan jatuh berselerakan ke permukaan tasik bak kilauan permata indahnya.
 
Memori indah di Neuchãtel
Pagi jam sembilan. Bas sudah bersedia untuk membawa kami ke JMC Lutherie di Vallèe de Joux pembuat gitar juga pembesar suara daripada kayu spruce. Sebagaimana pembuat kotak muzik, rasa kagum membelit diri melihat bagaimana mereka membuat gitar yang begitu halus dan sempurna. Inilah sebabnya mengapa artisan seni harus diberi apresiasi yang tinggi.
 
Di luar limousin hitam sudah menanti untuk membawa kami ke Payerne bagi menyaksikan pertunjukan udara Air14. Kebetulan sekali kerana minggu itu Swiss Military Aviation meraikan ulang tahun ke 100 dan sebagai merayakan ulang tahun seratus abad mereka mengadakan pertunjukan udara besarbesaran. Meski cuaca agak panas hari itu tetapi rata-rata wajah pengunjung merakam rasa puas. Pertunjukan udara mereka sungguh hebat dan setiap kali pesawat tempur melintas ruang udara tepukan gemuruh bergema sebagai tanda kagum dengan persembahan akrobatik jet pejuang udara. Hari yang panjang dengan jadual padat di akhiri dengan bersantai di kamar indah hotel
Palafitte yang dibina di atas tasik Neuchatel. Di balkoni saya ralit melihat ikan berenang di air jernih dan angsa putih berenang bebas. Suria terbenam menyempurnakan hari indah di Neuchãtel.
 
Bayu pagi segar menemani sarapan. Usai sarapan limousin sudah menunggu membawa kami ke La-Chaux-de-Fonds melawat kilang jam Breitling. Berlokasi di kaki bukit, pemandangan ala poskad indah ada di mana-mana. Mungkin ini antara sebab pereka jam tangan jenama Swiss sentiasa dialiri ilham tampil dengan rekaan hebat. Sejam di Breitling benar-benar membuka mata kami akan kehalusan seni di tangan artisan. Pertukangan hebat yang diwarisi turun temurun sangatlah mengagumkan. Lawatan berakhir dengan makan siang yang ditaja Breitling di rumah peladang lama yang kini menjadi muzium. Hidangan enak dan sambutan meriah dengan instrumen tradisional Swiss membuat kami semua amat berbesar hati. Kembara di teruskan ke Lausanne dengan kereta api.
 
ISS_3445_01650xx

See also
Rahsia Kecantikan Selebriti Yang Mudah dan Sihat

Lausanne

Sekilas di Lausanne
 
Tahun 2014, Lausanne memilih tema ‘panorama’ untuk kempen musim panasnya. Ini kerana alam semula jadi daerah ini sangatlah indah. Lausanne agak tinggi dan seluruh kota menghadap Tasik Geneva dengan latar puncak pergunungan Swiss dan Perancis. Oleh kerana kedudukannya yang agak tinggi membuat penduduk di sini menggunakan khidmat tram dari satu tempat ke satu tempat lain. Sayang kami tidak sempat menjelajah kotanya tapi sekilas telah membuat kami semua jatuh hati. Menginap di Lausanne Palace & Spa memberi peluang kepada kami menikmati pemandangan indah kerana kedudukannya yang agak tinggi. Tasik Geneva luas terbentang. Hotel yang menempati bangunan lama disempurnakan pula dengan hiasan dalaman yang membiaskan kegemilangan istana Eropah mewah dan gah.
 
Jam sembilan pagi kami sudah pun ada di depan Muzium Olimpik yang amat moden seni binanya. Mendaki berpuluh-puluh anak tangga muzium tidak berasa penat kerana taman bunga indah dengan aneka fi gura aksi sukan dan di hadapannya hamparan tasik biru melekakan kami semua. Sejam berlegar di dalam muzium anda akan memahami sejarah sukan terhebat ini. Segala informasi dipersembahkan dalam bentuk visual yang sungguh interaktif dan himpunan objek pameran yang berkait Olimpik saya jamin akan membuat semua pengunjung teruja.
 
Dari muzium Olimpik kami bergegas menaiki bot Belle Epoque “La Suisse’ menuju ke Cully. Belayar menyusuri tasik luas berteman pemandangan menakjubkan membuat anda lupa seketika stres dan masalah kerja. Melihat warga Swiss bersantai di tepi tasik, menghirup kopi dan pandangan dilemparkan ke arah angsa putih saya berasa iri kerana mereka dianugerahkan alam yang indah sebegitu rupa.
 
Pemandu pelancong yang menanti kami di jeti begitu bersemangat menceritakan sejarah Cully dan keistimewaan ladang anggur Lavaux, lokasi makan tengah hari kami hari itu. Menakjubkan. Dari teras restoran dan kediaman pemilik ladang anggur, panorama alam di sini boleh membuat anda menghentikan nafas seketika. Barisan gunung di kejauhan, tasik yang saujana mata memandang, ribuan teras tanaman ladang anggur ditanam mengikut kontur yang sungguh harmoni, langit biru dengan awan berkelompok keindahannya tidak bisa diungkai dengan kata-kata. Lavaux adalah satu satu daerah penanam anggur untuk membuat wain terbesar di Switzerland dan telah diiktirafkan sebagai World Heritage pada 2007.
 
Usai makan kami melawat ladang anggur. Menuruni jalan sempit dan curam agak mencabar tetapi awalawal lagi kami diberi peringatan mengenakan sepatu sesuai. Dari ladang anggur Lavaux kami ke pekan Cully yang menurut saya sangat memberi inspirasi. Di sini masa seakan berjalan perlahan. Di pekan ini tidak ada insan terburu-buru mengejar sesuatu tetapi semua seolah-olah larut memandang tasik luas, taman bunga indah dengan landskap rumah lama, jalan sempit berbatu buntar dan lorong-lorong sunyi.
 
Usai merakam kenangan kami ke Montreux menaiki bas untuk ke klinik La Prairie. Jenama dan penjenamaan La Prairie sangat sinonim dengan produk kecantikan Switzerland yang mahal dan berkualiti. La Prairie ada lebih daripada itu. La Prairie menjadi masyhur dengan rawatan cellular therapy yang menggunakan cel segar fetus anak kambing untuk awet muda. Di sini kami di bawa melawat ke bilik atau tepatnya wad menempatkan pesakit yang mendapatkan rawatan kecantikan di sini.
 
Bermalam di Hotel des Trois Couronnes di Vevey mencipta satu lagi memori indah. Berhadapan tasik sejernih kristal dan dipagari gununggunung saya ralit melihat aktiviti yang berlangsung sekitar kawasan itu. Lewat petang ramai yang berjogging, berbasikal dan tentunya seronok melihat orang berenang bersama angsa putih. Tidak sabar menanti pagi untuk ke kawasan pergunungan Gstaad yang berada 1,050 meter di atas aras laut.
 
Panorama indah dari kaca jendela
Kemuncak kembara kami adalah menaiki kereta api Golden Pass Panoramic yang merentasi countryside daerah pergunungan menuju Gstaad. The Golden Pass Line antara kereta api yang menawarkan pemandangan indah kala merentasi lembah dan pergunungan lewat jendela luas dan lebar. Sungguh tidak dapat hendak saya huraikan dengan kata-kata betapa cantiknya gunung yang berlembah, hamparan rumput hijau, di tengah-tengahnya tasik jernih berhias langit biru dengan gumpalan awan putih. Bunga-bunga aneka warna yang menghiasi tingkap rumah peladang di atas bukit dan di lembah menyerikan lagi panorama indah ini. Jika anda ke sini musim sejuk, pemandangan ini diganti dengan salji memutih.
 
Menginap di hotel Grand Park, mata saya dijamu pemandangan menawan. Ke mana-mana mata di arahkan yang terlihat hanyalah hamparan rumput hijau, gunung-ganang dan aliran sungai. Makan di balkoni terbuka diulit mesra semilir bayu membuat kami semua sungguh berselera. Acara di Gstaad agak santai, jalan-jalan di pekan kecil yang dipenuhi deretan kedai jenama rumah fesyen terkemuka kerana di sini tempat percutian kaya ternama terutamanya pada musim sejuk. Kami di bawa ke Saanen untuk mencuba sendiri seni tradisi menggunting kertas menjadi objek perhiasan indah.
 
Sebelum petang berakhir dengan berkereta kuda kami merentasi bukit dan lembah untuk melawat rumah simpanan keju. Dari luar rumah empat persegi itu tampak kecil sekali tetapi kala turun ke bawah semua terkejut melihat ratusan keju bersusun rapi di atas rak lima tingkat. Gstaad, kami tinggalkan dengan memori indah untuk kembali semula ke Zurich sebelum masing-masing berlepas meninggalkan bumi Switzerland dan pulang ke tanah air masing-masing.
 
Jika anda belum merancang destinasi percutian tahun ini, Switzerland pilihan terbaik. Negara ini bukan sahaja untuk di nikmati pada musim dingin sahaja tetapi pada setiap musim kerana banyak keistimewaan menanti di bumi ini.
 
OLEH: AIDA OSMAN/Foto:INGimage

See also
Hidrasi Kulit Matang