Dunia Hari Ini Tidak Jujur
Teks: Azreezal Hafidz
Gambar: Arkib
KEJUJURAN ADALAH NILAI YANG PALING SUKAR DICARI HARI INI. USAHKAN MENCARI, YANG BANYAK DI DEPAN MATA PUN, KITA TAK TAHU SEJAUH MANA KEJUJURAN MEREKA. INI JUSTERU MENINGKATKAN HARGA KEPERCAYAAN.
Saya sering mendengar mama berpesan pada babah, atau sesiapa punlah sebenarnya dalam keluarga dahulu, “Janganlah percaya seratus peratus pada orang. Kita tidak mungkin tahu apakah niat sebenar orang pabila mereka berbuat sesuatu dengan kita.” Dahulu saya tidak setuju dengan kata-katanya itu. Pada saya itu maknanya berprasangka buruk pada orang. Bagi saya tidak baik berprasangka buruk dengan orang. Tambahan lagi, kerana naif, saya fikir semua orang berniat baik dan suka membantu orang – sama seperti saya. Lama-kelamaan saya sedar. Setelah melihat sendiri depan mata dan mendengar cerita orang, saya belajar menerima bahawa kata mama itu ada benarnya. Saya patutnya tahu bahawa mama lebih banyak makan garam berbanding saya. Mungkin juga dia sudah terkena banyak kali kerana itu dia berani menyelar dan menasihati orang lain supaya jangan terlalu mempercayai.
KEJUJURAN. Perkataan yang terlalu besar dan berat mungkin dalam dunia hari ini. Besar sungguh harapan saya agar setiap manusia dalam dunia hari ini memandang penting akan perkataan ini. Dalam apa jua perbuatan yang kita lakukan dalam kehidupan seharian kita. Waima kita membantu orang atau meminta kerja atau berbual dengan orang atau dalam bekerja sehari-hari juga. Kerana apa? Kerana ingatlah bahawa jika kita jujur dalam perbuatan kita seharian, ia akan lebih diberkati. Setiap usaha kita akan membuahkan hasil. Semaian kita (setiap perbuatan) akan tumbuh subur seperti pohon dan kemudian hasil tuaiannya akan mampu dikongsi bersama banyak hidupan lain justeru melangsungkan kehidupan dalam dunia yang lebih harmoni.
Bagaimana menjadi jujur dan bagaimana menerapkan KEJUJURAN dalam diri? Bagi saya segala perbuatan kita haruslah berpaksikan niat yang baik dan tulus ikhlas. Hanya dengan cara ini sahaja kejujuran itu akan wujud. Kerana jika ia tidak bersulamkan niat yang baik nescaya perbuatan kita itu tidak akan jujur. Katalah jika anda membantu seseorang – dan niat anda adalah supaya di masa depan jika anda memerlukan bantuannya pula, dia pasti akan membantu. Bagi saya ini sahaja sudah menjadikan perbuatan anda membantu itu tadi tidak jujur. Kerana ada niat lain di sebalik bantuan anda itu tadi. Begitu jugalah sama halnya jika anda mengambil pekerja sekalipun. Banyak yang terdorong mengambil pekerja yang kurang pandai atau kurang efisien. Kerana apa? Kerana mereka tidak mahu pekerja ini satu hari nanti menggantikan dan mengambil posisi mereka. Insecurity menguasai. Maka niat mengambil pekerja itu tadi tidak betul. Tiada kejujuran dalam hal ini. Padahal seharusnya dalam usaha kita mengembangkan department kita, majikan haruslah mengambil pekerja yang dapat membantunya berusaha ke arah mengayakan department nya.
Ada pula yang selamanya mengambil pekerja yang tidak bagus supaya kedudukan mereka takkan pernah goyah. Posisi mereka tidak pernah boleh tergugat dan kedudukan mereka tiada galang ganti. Selamanya mereka boleh ikut suka hati keluar masuk syarikat yang sama kerana dia tahu pekerja yang diambilnya tidak akan pernah mampu menggantikan kebolehannya. Niat yang tidak baik sama sekali. Justeru tiada kejujuran di situ. Jadi janganlah mencari salah orang lain jika ada yang tidak kena pada department sendiri. Sebabnya anda sendiri yang tidak mengambil pekerja efisien yang boleh membantu anda. Bukan sahaja department anda tidak akan berkembang, malah pasti akan ada sahaja yang tidak kena dengan kelangsungan department tersebut sementelah pengambilan pekerja itu tadi tidak berpaksikan KEJUJURAN.
AKIBAT KETIDAKJUJURAN
Mengapa saya beria-ia membicarakan perihal ketidakjujuran? Benarlah ia bukan hal paling penting dalam dunia hari ini. Sejak zaman-berzaman ketidakjujuran wujud dan manusia dah pun lama hidup bersamanya malah ada yang dah lali pun dengannya. Namun bersama harapan saya mahu melihat dunia yang lebih aman – perkara paling remeh dan kecil inilah yang saya rasa amat penting diperbaiki. Supaya dalam sisa-sisa dunia yang semakin menghampiri penghujungnya ini, ada sinar harapan baru yang dapat menyelubungi dan kita tidak akan sengsara lagi. Terkadang-kadang kita berasa bahawa jika kita terlalu jujur, orang lain akan senang memijak kepala kita. Penindasan senang berlaku. Dan kita akan sakit hati. Tapi bayangkan kalau kita juga tidak jujur, kita juga akan menyakiti dan menindas orang lain. Maka sampai bilakah masalah ini akan berakhir? Apa yang boleh kita lakukan untuk menangani isu ketidakjujuran ini? Yang boleh saya fikirkan ialah jangan mempercayai orang lain seratus peratus. Walau apa pun yang dilakukan atau apa pun niat mereka, tiada siapa pun yang tahu sebenarnya. Hanya mereka dan Tuhan sahaja yang tahu. Sekiranya merasa seseorang itu tidak jujur, jauhkan diri. Ketidakjujuran boleh mengakibatkan beberapa kesan tidak baik kepada dunia:
1. Sukar mempercayai
Ketidakjujuran yang berlaku dalam dunia hari ini boleh mengakibatkan manusia sukar lagi mempercayai orang lain. Ada seorang teman saya yang berdepan dengan masalah suami daripada perkahwinan pertamanya tidak jujur dan main kayu tiga. Selepas bercerai, dia menderita tidak mampu lagi mempercayai mana-mana lelaki sekalipun sampai ke hari ini, sudah masuk 10 tahun dia berpisah. “Masakan aku mampu mempercayai lagi Reezal? Apakah ada lagi lelaki yang boleh dipercayai dan jujur dalam dunia hari ini? Bimbang kalau aku beri hati aku ini… aku akan terluka lagi.” Kesian dia. Susah juga nak menasihatinya kerana hati itu milik dia. Hanya dia yang boleh menentukan dan merubah rasa.
2. Balas dendam
Ingat lagi novel Salina? Watak Salina ditipu suami yang tidak jujur kemudian tidak boleh lagi mempercayai mana-mana lelaki. Dia kemudiannya menghabiskan sisa hidup dengan menipu lelaki dan membuat hidup mereka sengsara. Alangkah sedih dan malangnya jika hidup kita begitu. Atau kita bertemu dengan manusia yang sama seperti Salina. Kerana dendamnya ditipu dan ditindas ketidakjujuran, azamnya melakukan perbuatan yang sama kepada orang lain akan mencetuskan kesengsaraan lain pula. Selama manalah ia akan berterusan?
3. Patah Hati
Patah hati ku. Membawa derita. Merajuklah diri. Merajuk diri tak tentu haluan. Lirik lagu Patah Hati ini menggambarkan betapa teruknya kesan patah hati kepada manusia. Ketidakjujuran boleh mengakibatkan patah hati. Dan hati yang patah, tiada siapa pun boleh menebak atau menjangka sengsaranya. Salah seorang saudara saya dahulu pernah patah hati akibat ketidakjujuran. Hampir enam bulan dia tidak bercakap. Tidak punya harapan. Jiwanya bagai sudah ditarik keluar daripada tubuhnya. Kita tidak mahu ini terjadi kepada kita atau melakukannya kepada insan lain. Nasib saudara saya itu bertemu insan baru yang bisa memberinya harapan. Tapi jika tidak? Cuba bayangkan apa yang akan terjadi kepadanya. Apakah selamanya dia akan membisu dan tidak berjiwa?
4. Kebencian
Benci adalah perasaan paling tidak elok dalam dunia. Jika boleh dalam dunia hari ini yang sudah huru-hara dan kurangnya nilai-nilai baik, janganlah kita menambah lagi kebencian ke dalamnya. Kalau boleh kita mahu hidup gembira dan tenang sampai kita menutup mata. Tetapi ketidakjujuran boleh mengakibatkan kebencian. Kalau setakat membenci tidak mengapa. Tetapi kalau kebencian itu mencapai tahap melampau dan meluap-luap hingga tidak mampu dibendung, ia akan mengundang sengsara kepada orang lain. Pernah atau tidak anda berdepan dengan majikan yang tidak gembira dengan hidupnya? Yang mana kerjanya setiap hari hanya datang kerja dan mahu menyusahkan hidup pekerjanya sahaja. Kita tidak mahu insan-insan sebegini wujud lagi dalam dunia kan? Bukankah lebih mudah dan lebih baik untuk semua manusia sekiranya kita berlaku jujur sahaja dalam perbuatan kita sehari-hari.