GLAM Expose: Mengupas Strategi Seorang Social Climber

GLAM Expose: Mengupas Strategi Seorang Social Climber

Teks: Azza Farhana
 
expose nov 15
 
Secara amnya, boleh disimpulkan yang tekanan hidup di zaman moden ini membuatkan ramai yang terdesak. Matlamat mahu berada di puncak menjadi punca wujudnya golongan social climbers dalam masyarakat hari ini. Umumnya status ekonomi golongan ini tidaklah begitu hebat. Namun bagi mereka, tiada apa yang mustahil kerana arus globalisasi deras tiada sekatan. Mereka impikan hidup senang-lenang. Sanggup lakukan apa sahaja. Ada yang membuat pengakuan pada saya, katanya mahu ubah nasib diri dan juga keluarga. Mereka mahu jalan pintas untuk ‘kaya’. Mereka ini individu yang mahu masuk ke kelas sosial yang lebih tinggi. Dengan ini, diri disegani dan ramai yang mahu mendampingi.
 
Lazimnya 80 peratus social climber adalah wanita! Mungkin kerana lahiriah wanita yang dambakan sesuatu sempurna dan dahagakan perhatian. Mereka mengidamkan hidup bak jetsetter, mahu kembara dunia! Ada juga yang kata, mereka ini try too hard. Masihkah anda ingat sewaktu Kim Kardashian menjadi pembantu peribadi kepada Paris Hilton? Dia dilayan seperti badut sarkas. ‘But look where she is now.’ Wajahnya terpampang saban hari di semua media seluruh dunia! Oh, mana mungkin Kate Middleton dengan mudah dapat bersuamikan Putera William kalau bukan menjadi pendaki sosial sejak azali. And she is the future queen of England!
 
STRATEGI & SASARAN
Peraturan nombor satu, ‘mangsa’ kepada pendaki sosial mestilah kelompok yang memiliki pengaruh sosial tersendiri, berharta dan ada pangkat atau nama. Pun begitu jika individu itu punya ramai kenalan berpengaruh mereka juga adalah sasaran bagi new beginner pendaki sosial ini. Jika anda berduit, anda sepertikan ada tarikan magnet pada golongan ini.  Mereka ini suka ambil kesempatan pada orang lain demi kepentingan diri. Tidak kisahlah kawan sendiri pun sanggup mereka khianati. Sebenarnya senang saja mahu mengecam mangsa. Pertama, lihat pada beg tangan yang dijinjing. Kalau label mahal, jackpot! Mangsa lelaki pula, mata mereka teliti umpama spy, mengerling jam apa yang dipakai. Setakat Casio, hmm… tak apa lah. Lainlah Audemars Piguet ke, Richard Mille ke atau Patek Phillippe. Tengoklah lajulah mereka mengatur ayat sebagai ice breaker! Selalunya mereka mulakan langkah dengan bersalaman dan berlaga pipi. Seterusnya bertindak sebagai entertainer, secangkir kopi menjadi semakin sedap dan dessertnya adalah gosip.
 
Ada seorang ini, biar dia tidak berkawan baik dengan sosialit, tetapi dia akan gigih mengekori sahaja kumpulan sosialit setiap kali ke parti. Yang penting, dia mahu orang lain pandang dirinya seolah-olah dia juga berada dalam kelompok sosialit tersebut. Kalau tidak ada yang mahu melayannya pun tidak apa. Tebalkan saja muka. She just wants to be seen and noticed. Ada kisah satu selebriti popular yang pernah kecoh suatu ketika dulu apabila kekasihnya dikebas teman baiknya sendiri. Almaklum kekasihnya itu anak bekas menteri, tentu jadi rebutan wanita-wanita spesis ini. Friendship is just a game. Apabila sudah ditetapkan matlamat utama, orang seperti ini berkawan atas dasar kepentingan semata.
 
 
“Kehadiran social climbers ini sudah menjadi perkara biasa di dalam society. Mereka ini akan berusaha untuk bergaul dengan sosialit, dan ramai yang menggunakan taktik itu to make money. Misalnya untuk hype kan lagi perniagaan mereka kepada orang ramai. Bagi saya itu tidak salah. Semua orang mahu maju ke depan untuk perbaiki taraf hidup. Terpulang pada anda mahu menilai pendaki sosial ini negatif atau sebaliknya.” – Tasha Shilla 
 
Selain itu saya diceritakan mengenai wanita tinggi lampai ini yang kini sudah pun bergelar Datin. Kalau dulu tujuan utama datang ke majlis hanya untuk scan lelaki yang mana layak untuk dijadikan calon suami. She knew exactly what she wants. Beberapa kali juga perhubungan rahsianya bersama VVIP terkandas di tengah jalan sebelum dia berjaya menikahi seorang Datuk ini. Hari ini dia sudah punya perniagaan fesyen sendiri. Pendaki sosial tidak akan setia dengan rakan-rakannya. Dengan siapa dia berteman, individu itu hanyalah batu loncatannya untuk berkenalan dengan orang yang lebih ‘penting’. Dia akan tinggalkan anda tanpa menoleh ke belakang lagi dan biasanya akan berterusan mengulangi perbuatan itu.
 
 
“With social media, it’s easier for anyone to be where they want to be. Anda hanya perlu bergaya dengan designer bag sama ada tiruan atau original, atau mungkin pinjam daripada orang lain. Kemudian muat naik gambar di Facebook dan Instagram. Dapatkan followers dan likers yang tinggi. Yang penting harus tinggalkan komen pujian melambung di Instagram sosialit untuk mengampu mereka. Voila! Social climbers ini akan menjadi perhatian dan mendapat jemputan ke majlis mewah. Bila di majlis, mereka akan ‘bekerja’ mencari target. Semuanya gara-gara mahu penetrate into the right circle,” – Kem Salleh
 
DRESS TO KILL
Ya, mana mungkin orang tertarik dengan kita jika wajah comot, rambut tidak bersisir serta baju  tidak bergosok. Pendaki sosial ini begitu pentingkan penampilan diri. Mereka groom diri sendiri menuruti acuan yang ditetapkan oleh social circle kota. Perlu diingat social climbers sangat arif apabila ditanya soal jenama-jenama mewah. Malah mereka akan menyebut nama jenama dengan sebutan yang betul. Etiket juga penting. Malulah kalau keluar makan di restoran mahal tetapi tidak tahu guna pisau dan garfu yang betul. Diri harus tahu mengenai tempat-tempat mana golongan atasan ini sering pergi menjamu selera. Sunday brunch di Orchid Room, Majestic Hotel. Atau makan malam di Nobu KL. Jika mahu pemandangan KLCC dan tawan kota Kuala Lumpur pergilah ke Troika Sky Dining atau tempah buffet di Thirty8, Grand Hyatt. Bersantai sambil berhibur di Marini’s on 57.
 
Mereka belajar bagaimana mahu membawa diri bersama kelompok high society. Butir bicara mereka selalu menjadi tarikan. Tentu ramai yang tertawan dengan personaliti mereka. Berbaloi homework yang mereka buat! They are people pleasers (hanya untuk sasaran mereka). Ada seorang teman saya yang memang mengidamkan hidup dengan golongan sosialit sehingga ambil kelas Bahasa Inggeris. Ya lah mahu berbual dengan orang berada, bahasa Inggeris adalah nadi! Tidak berhenti dia menghafal tag line untuk bersosial. Dia rajin membelek nama-nama bangsawan Malaysia di majalah dan ambil tahu apa pekerjaan mereka dan sebagainya. Kalau bernasib baik jumpa di majlis, tahulah dia topik apa mahu dibualkan. Hari ini dia seorang yang berjaya. Some people just do what they gotta do!
 
Kelompok pendaki sosial ini akan pastikan penampilan mereka ‘meletup’. Mereka akan dress to impress! Ya, mereka sangat bergaya. Tambah pula hari ini Malaysia sudah ada butik-butik yang menyewakan helaian-helaian label pereka secara rahsia. Yang mana kalau beli satu dress sudah mencecah RM6,000 ke RM9,000. Walaupun tiada entourage, kuku di cat, berdandan dan merias wajah bukanlah suatu masalah bagi mereka setiap kali menghadiri parti. Hari ini tak perlu pakai beg tiruan. Ada masanya immitation lagi mahal daripada harga original setelah potongan harga 50 peratus atau kalau bernasib baik sepatu Sergio Rossi boleh dapat dengan diskaun sehingga 70 peratus.
 
Kisah pakai beg fake itu cerita tujuh lapan tahun dulu. Tiga empat tahun ini orang sudah tidak beli tas berjenama tiruan. Mereka akan beli jenama mewah yang low end, atau di factory outlet. Mereka tidak beli di Pavilion atau KLCC tetapi membeli-belah di outlet. Saya geleng kepala dengar cerita ada seorang wanita yang  sanggup menyewa kereta mewah dengan sewa RM500 ke RM700 lengkap dengan pemandu untuk menghadiri majlis. Bukan itu sahaja. Dia juga akan sewa beg tangan berjenama dengan harga RM250 sehari. Kepuasannya adalah apabila ramai yang memuji kereta dan beg tangannya. Teringat saya pada satu babak dalam Confessions Of A Sociopathic Social Climber. Salah satu dialog lakonan Jennifer Love Hewitt, “Don’t you know looking good is everything, no matter how much it cost…”
 
Tergamam saya mendengar betapa desperate nya social climbers ini mahu kehadirannya diberi perhatian. Hidupnya dikelilingi hutang, dek kerana mahu keep up dengan gaya hidup ‘teman-teman’ high society yang sememangnya berduit! Ada yang nekad menipu indentiti diri, agar tidak ketahuan asal-usulnya. Wajahnya ada di mana-mana parti di sekitar kota. Namanya di tukar, latar-belakang keluarga kononnya berduit. Dan jawatannya tinggi di syarikat besar dan gah. Sedangkan sebenarnya ibunya hanyalah pelayan restoran yang bekerja sebelah malam. Segala-gala cerita tentang dirinya adalah bohong belaka. Tetapi kalau dilihat pada gaya urbannya pasti orang akan percaya. Saya juga diberitahu antara syarat mahu memasuki kumpulan kelas atasan ini adalah mesti ada sekurang-kurangnya satu tas Birkin. Berhempas-pulaslah si pendaki sosial ini mendapatkan sebiji Birkin! Walaupun secondhand yang penting, asli. Dan yang seorang ini pula baru dapat berkawan dengan kerabat diRaja, gara-gara mahu fit in the group, dia sanggup berhutang dengan Along sebanyak RM30,000 semata-mata untuk trip percutian bersama-sama teman sosialit di Maldives.
 
“Selama 14 tahun dalam industri perhubungan awam ini macam-macam kisah saya lalui. Antara tugas rumit adalah menyenaraikan nama-nama yang sesuai diundang ke majlis yang dianjurkan. Paling pening apabila telefon tidak henti berdering dek kerana ada beberapa pendaki sosial ini tidak dijemput. Mereka merayu agar diundang ke majlis juga. Lagi agresif jika masih tidak dijemput, mereka sanggup jadi party crasher. Apa yang saya amati, social climbers ini tidak hairan dengan selebriti. Jika ke majlis wajib untuk mereka bergambar dengan ‘mesra’ dengan sosialit yang tidak mengenali mereka. Lucunya caption di Instagram, ‘Chilling with my babe, Marion Caunter…’ Alahai baru bergambar mesra bersama sudah declare ‘BFF’ Marion pula. Social climbers ini ada baiknya juga, dapat lah kita tengok new faces di majlis daripada melihat 50 muka sama pada setiap parti!” – Amri Rahim
 
AMBITIOUS ATAU SAKIT JIWA?
Pendaki sosial yang ini pula, kalau datang menghadiri majlis makan-makan di rumah teman-temannya memang dia rancak, bajunya pasti mengikut tema yang diberi. Dia seronok kerana yang mengundang bukan calang-calang orang dan tetamu yang hadir juga hebat- hebat belaka. Dan dia pula adalah ajak-ajak ayam menjemput ke rumah banglo tiga tingkatnya yang kononnya masih belum siap-siap lagi. Aduhai mana mungkin mahu ajak anak Sultan pergi ke rumah teres sewanya. Tidak mampu pun untuk buat luxury do yang penuh dengan hiasan bunga segar. Mana nak dicari pembantu rumah, tukang masak dan pemandu? Habis nanti semua rahsia terbongkar.
 
Sudah menjadi lumrah apabila pendaki sosial sanggup menggadai maruah dengan meniduri orang-orang kenamaan hanya untuk dapatkan beg 2.55! Sungguh ini benar-benar berlaku. Itu semua belakang cerita, yang penting boleh menunjuk pada orang yang dia ‘kaya’ kerana mampu memiliki tas tangan mewah. Dan diri bertambah popular sekaligus semakin ramailah sosialit mahu berkawan dengan dirinya.
 
Mansor Tun Aziz menceritakan pengalamannya sendiri sewaktu dia bekerja sebagai Pengarah Kreatif Granoff. Datang satu insan ini yang mengaku dirinya Kerabat diRaja Pahang. Masuk butik hingga tiga bodyguard menemaninya. Dia menempah satu sut dan membayar deposit sebanyak RM1,000. Kemudian selang beberapa hari dia mengajak Mansor ke majlis pelancaran Bentley yang terbaru. Tiga pengawal peribadi tersebut setia mengikuti ke mana sahaja dia melangkah. Katanya, dia berkenan dengan Bentley itu dan mahu membelinya. Jadi layanan kepadanya bertambah special lah. Satu hari itu, Mansor terserempak dengan salah seorang pegawai peribadi itu. Selamba sahaja dia cerita yang sebenarnya dia diupah individu itu untuk menyamar selama tiga hari. Baju di butik pun tidak diambil. Begitu sekali penangan social climber.
 
“Jika anda kerabat diRaja, anda tidak akan pernah kisah tentang status sosial kerana reputasi anda sudah ada. Kebiasaannya social climbers ini sememangnya ground zero. Tidak ada apa-apa pencapaian. Jadi kerana itulah mereka perlu menjadi pendaki sosial dan terpaksa berpaut pada kejayaan orang lain untuk mendaki ke puncak.” – Mansor Tun Aziz 
 
Lucu pun ya, saya sendiri suka berhias cantik dan berasa seronok tatkala mewawancara kelompok sosialit ini. Seronok mendengar cerita orang kaya ternama ini. Semuanya indah belaka. Dan saya? Apakah saya juga social climber? Oh tidak sama sekali. Saya hanyalah penulis yang mahu berkongsi kerenah dan titik bengik kehidupan di balik tabir kota Kuala Lumpur yang gah ini. Apa yang boleh saya simpulkan dan sekadar melontar pandangan peribadi pendaki sosial yang ‘kritikal’ mengalami penyakit sosiologi dan psikologi. Jiwa sentiasa berasa tertekan dengan kesempitan hidup dan mempunyai low self-esteem. Tidak berduit tetapi mahu membeli barangan mewah dan hidup berangan hidup seperti orang kaya. Dengan itu maruah diri dipertaruhkan untuk mengejar kehidupan glamor yang bersulamkan kemewahan. Hilang jati diri hanya untuk berteman baik dengan sosialit, dijemput ke majlis-majlis, dan mahu diberi perhatian ramai kerana bergaya sakan from head to toe. Wajah sering dipapar di majalah. Mahu buktikan pada orang dirinya hebat. Bagi saya mereka lupa untuk menghayati makna nikmat hidup sebenar. Nikmat hidup tidak sekadar bersandarkan kekayaan dan limpahan harta benda semata-mata. Kesihatan dan kebahagiaan juga salah satu bentuk rezeki yang perlu disyukuri. Bukan semua perkara boleh dibeli dengan duit. Masih ramai lagi yang sengsara hidup di muka bumi ini. Be happy and grateful with whatever you have!
 
 

See also
GLAM Expose: Humble Bragging Di Instagram Dan Realiti Kehidupan Di Sebalik Fantasi: #blessed