19 Pesona India

19 Pesona India

Mereka memiliki kecantikan eksotik cukup disenangi. Biarpun India diselubungi paradoks misteri, kesemua personaliti ini berjaya memikat hati. Meski ada yang tidak dibesarkan di sini, darah yang mengalir cukup menyerlahkan aura tersendiri.
 

Malika SherawatGambar: TPGVIP

 
1. Malika Sherawat
The Myth antara filem lakonan Malika yang memperkenalkan namanya ke persada antarabangsa. Kemunculannya di Festival Filem Cannes bagi mempromosi filem ini berjaya menarik perhatian Richard Corliss sehingga menggelarnya, ‘The Next Big Thing’. Malika berjaya membuktikan dia memiliki bakat besar apabila memenangi Renaissance Artist Award pada 2008 sempena Annual Diversity Awards ke-16 di California. Dia turut dianugerahkan Honorary Citizenship Of Los Angeles di atas kerja-kerja kebajikan dan pencapaian kerjaya.
 

Bipasha BasuGambar: TPGVIP

 
2. Bipasha Basu
Majalah Eastern Eye dari United Kingdom pernah menamakan Bispasha sebagai ‘Sexiest Woman In Asia’ pada 2005 dan 2007. Malah Times menyenaraikannya di tempat kelapan dan 13 untuk ‘50 Most Desirable Women’ pada 2011 dan 2012. Media di India menggelarnya ‘sultry and dusky Bengali beauty’. Mana tidaknya, dia antara pelakon yang tampak hebat apabila menggayakan bikini untuk filem Dhoom 2. Akui Bipasha, dia hanya makan buah oren selama tiga hari dan bersenam sebelum melakonkan aksi tersebut.
 

Shilpa ShettyGambar: TPGVIP

 
3. Shilpa Shetty
Kontroversi yang melanda siri TV British iaitu Celebrity Big Brother pada 2007 seakan mengundang ‘glamor’ pada selebriti yang berasal dari Mangalore ini. Shilpa yang muncul juara untuk siri itu meneruskan kejayaan apabila filem lakonannya, Life In A.. Metro dan Apne menerima ulasan positif. Biarpun aktif dengan aktiviti seni, Shilpa sering terlibat dengan aktiviti kebajikan. Tahun 2006 menyaksikan Shilpa bekerjasama dengan rancangan TV BBC World Service Trust yang membantu masalah HIV-AIDS di India. Dan bekerjasama dengan PETA demi memerangi penggunaan haiwan liar untuk sarkas.
 

SushamitaSenGambar: Twitter Sushmita Sen

 
4. Sushmita Sen
Siapa sangka, Sushmita pernah mengalahkan Aishwarya Rai di pertandingan Miss Femina India dan dia juga merupakan wanita pertama dari India yang memenangi gelaran Miss Universe pada 1994. Kejayaan selepas pertandingan ratu cantik itu membuka lembarannya sebagai seorang aktres. Menurut Sushmita dia melihat lakonan sebagai seni. “Untuk berjaya di Bollywood, anda perlu makan, bernafas, bercakap dan hidup bagaikan wayang.”
 

Reshma ShettyGambar: TPGVIP

 
5. Reshma Shetty
Biarpun kedua ibu bapanya berasal dari India, Reshma dilahirkan dan dibesarkan di England. Sebab itu pertuturannya langsung tiada pelat India. Namun, pelakon yang cukup terkenal dengan wataknya sebagai Divya Katdare dalam siri Royal Pains ini dipilih jenama Dove sebagai salah seorang duta mereka di India. Biarpun kerjayanya lebih berkembang sebagai pelakon, Divya sebenarnya memiliki Ijazah Sarjana dalam bidang persembahan Muzik dan Diploma dalam bidang Opera.
 

See also
“Saya tidak akan berhenti modelling” - Cara Delevingne

YasmeenGambar: RP Fashionista

 
6. Yasmeen Ghauri
Wajah rumah fesyen Christian Dior dan Anne Klein pada 1991 ini awalnya sering ditertawakan rakan sepermainannya kerana memiliki tubuh kurus melengking. Bapanya berdarah Pakistan manakala ibunya berasal dari Jerman dan dia sendiri dilahirkan di Montreal, Kanada. Namun tuah manusia siapa yang tahu. Dia ditemui Pengarah Artistik Salon Platine Coiffure, Edward Zaccharia kala bekerja secara sambilan di McDonalds. Sejak itu segala-galanya menjadi sejarah. Malah Patrick Demanchelier menggelarnya, ‘my favourite subject’ kala merakam gambar Yasmeen untuk sebuah majalah fesyen terkemuka.
 

Archie PanjabiGambar: TPGVIP

 
7. Archie Panjabi
Kemuncak kerjaya Archie semestinya memenangi Anugerah Emmy sebagai Pelakon Tambahan Terbaik untuk siri The Good Wife. Biarpun mula berlakon pada 1995, kemunculannya disedari apabila membawa watak sebagai Pinky Bhamra dalam filem Bend It Like Beckham. Meskipun dibesarkan di London, Archie masih dibesarkan dalam suasana India. Ibu bapanya menyediakan hidangan India hampir setiap hari malah mereka masih menyambut perayaan Diwali. Dan Archie percaya pelakon India bisa berjaya di Hollywood sama seperti Afrika-Amerika. Lihat saja kejayaan Slumdog Millionaire!
 

Ujjwala RautGambar: TPGVIP

 
8. Ujjwala Raut
Setelah memenangi ‘Femina Look Of The Year’ di pertandingan Miss India Femina pada 1996, tanpa menoleh ke belakang lagi Ujjwala mengatur langkah hebat sehingga berjaya ditempah rumah fesyen adibusana. Antaranya Yves Saint-Laurent, Roberto Cavalli, Hugo Boss, Cynthia Rowley, Diane Von Furstenberg dan Dolce & Gabbana. Raut wajahnya yang eksotik turut membolehkannya melatari muka depan majalah fesyen ternama selain terpilih menjadi wajah Yves Saint-Laurent. Gelaran ‘India’s first and most accomplished supermodel’ ternyata sepadan dengannya.
 

Anoushka ShankarGambar: TPGVIP

 
9. Anoushka Shankar
Di mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Anak kepada Ravi Shankar yang juga adik tiri Norah Jones ini dilatih bermain sitar sejak kecil lagi. Lalu diikat syarikat rakaman Angel Records (EMI) ketika berusia 16 tahun. Album keduanya, Anourag berjaya dicalonkan di anugerah Grammy pada 2003 bersama-sama Norah Jones. Dan dia wanita termuda dicalonkan dalam kategori World Music untuk album Live At Carnegie. Anoushka adalah warga India pertama yang berpeluang membuat persembahan di anugerah Grammy pada 2006. Juga pernah berkolaborasi dengan Sting, Lenny Kravitz dan Thievery Corporation.
 

Sonam KapoorGambar: TPGVIP

 
10. Sonam Kapoor
Kejayaan filem I Hate Luv Storys membuktikan Sonam bisa berjaya tanpa dibayangi bapanya, Anil Kappor. Aktres yang memiliki ijazah dalam bidang Sains Politik dan Ekonomi ini awalnya menjadi penolong pengarah kepada Sanjay Leela Bhansali pada 2004 untuk filem Black. Semenjak dihidu kehadirannya, tawaran berlakon hadir tanpa putus-putus. Tuah Sonam semakin menyerlah apabila L’Oreal memilihnya sebagai duta di India. Malah kehadirannya di Festival Filem Cannes ke-64 adalah mewakili jenama kecantikan itu.
 

See also
Ketua Pengarang Vogue Arabia Dipecat Hanya Selepas Dua Isu

Anjula Acharia-BathGambar: Twitter Anjula Acharia-Bath

 
11. Anjula Acharia-Bath
Dia adalah tulang belakang Desi Hits, syarikat multi media yang berkolaborasi dengan label utama Amerika Syarikat demi menyuntik faktor ‘desi’ ke atas budaya pop seluruh dunia. Desi Hits telah bekerjasama dengan nama-nama besar termasuklah 50 Cent, Pussycat Dolls dan Britney Spears. Malah usaha Acharia telah dihargai oleh The Wall Street Journal, Vogue dan Rolling Stone. Dia juga pernah ditemu ramah BBC dan Fox. Seorang yang berbakat besar, Acharia pernah diundang memberi ceramah di Universiti New York dan menjadi juri di Festival Filem Antarabangsa Ibiza.
 

Lakshmi MenonGambar: Instagram Lakshmi Menon

 
12. Lakshmi Menon
Hermés, Max Mara, Givenchy dan J.Crew antara kempen fesyen yang pernah mendapatkan khidmat model kelahiran Bangalore, India ini. Kata Prabuddha Dasgupta yang juga seorang jurugambar, “She’s dusky, flawless and the true face of beauty.” Dia turut dipilih untuk menjadi wajah hadapan majalah fesyen terkemuka dan pernah memanaskan pentas peragaan La Perla, D&G dan Givenchy di Milan. Lucie Greene turut menyenaraikan dia sebagai ‘What’s Hot For 2009’.
 

Freida PintoGambar: TPGVIP

 
13. Freida Pinto
Kejayaan filem Slumdog Millionaire berjaya menaikkan nama Freida di persada seni. Terutama selepas memenangi ‘Outstanding Performance’ di Anugerah Screen Actors Guild, 2008. Sejak itu pelakon yang dilahirkan di Mumbai India ini terus menjadi rebutan sutradara Barat. Malah dia turut disenaraikan sebagai ‘10 Stylish Women of 2009’. Pelakon yang memiliki kecantikan semula jadi ini juga terpilih menjadi jurucakap L’Oreal. Menurut The Daily Telegraph, dia antara pelakon wanita India yang menerima bayaran tertinggi di Hollywood.
 

Padma LakshmiGambar: TPGVIP

 
14. Padma Lakshmi
Penulis buku masakan, pelakon, model dan hos TV ini menjadi kesayangan jurugambar terkenal Helmut Newton dek kerana parut besar pada lengan kanannya. Bukan itu saja, Padma mengakui dia model India pertama memiliki kerjaya di Paris, Milan dan New York. Dilahirkan di Chennai, India, Padma yang juga hos rancangan Top Chef pernah menulis ruangan stail untuk beberapa majalah fesyen ternama. Selain mengacara dia juga sibuk dengan rangkaian jewelry-nya, Padma.
 

Megha MittalGambar: TPGVIP

 
15. Megha Mittal
Keberaniannya membeli jenama mewah Jerman, Escada ternyata suatu yang harus dipuji. Apabila ditanya, graduan Wharton School of Business dalam jurusan ekonomi dan kewangan ini mengulas, “Dua sebab mengapa Escada menarik minat saya. It’s great heritage and its great potential. Ia ternyata jenama fesyen global yang ikonik.” Tahun 2008 menyaksikan Megha memberi sumbangan sebanyak 15 juta Euro kepada Great Ormond Street Hospital di London buat menyediakan kemudahan di Mittal Children’s Medical Centre.
 

See also
Anugerah Fashion Swarovski Buat Franca Sozzani

Priyanka ChopraGambar: TPGVIP

 
16. Priyanka Chopra
Bekas Miss World ini diberi gelaran ‘Piggy Chops’ oleh bintang-bintang filem Bluffmaster. Sepanjang kerjayanya sebagai pelakon, Priyanka telah memenangi empat Anugerah Filmfare dan satu National Film Award. Bukan sekadar berlakon, dia juga berbakat dalam bidang nyanyian dan telah melancarkan single yang mendaki carta Billboard di Amerika Syarikat. Muse buat Meghna Mathur ini juga diberi penghormatan apabila figuranya dijadikan patung miniatur oleh Spin Master Toys UK bersama Shahrukh Khan, Kajol dan Hrithik Roshan. Terbaru, dia bakal muncul dalam drama bersiri di Amerika yang bertajuk “Quantico” sebagai watak utama.
 

Aishwarya RaiGambar: Arkib GLAM

 
17. Aishwarya Rai
Jolokan ‘Wanita Tercantik di Dunia’ sudah sebati dengan dirinya. Biarpun penerima anugerah Padma Shri daripada kerajaan India ini awalnya bercita-cita menjadi arkitek, rezekinya di bidang peragaan seolah-olah membuka jalan yang luas sehingga dia berjaya mencipta nama sebagai selebriti terkenal di India dan Barat. Filem Devdas serta Dhoom adalah antara kemuncak kerjayanya. Jurucakap L’Oreal ini pernah diiktiraf Muzium Madame Tussaud London dan New York apabila patung lilinnya mula dipamerkan semenjak 2004 dan 2007. Dia juga merupakan antara selebriti India paling dikenali di serata dunia.
 

MoniKanggaGambar: monidutta.com

 
18. Moni Kangana Dutta
Pertandingan Metropolitan Top Model di Perancis pada 2001 telah membuka cabang rezeki buat Monikangana. Dari India dia mengembara ke Paris selama dua tahun dan berjaya menghangatkan pentas peragaan Vivienne Westwood, Yoji Yamamoto, Christian Dior, Leonard dan Chloe. Dari Minggu Fesyen Paris ke Milan, kecantikan eksotik yang dimiliki Monikangana diabadikan di lembaran fesyen Vogue, Elle, Tank Magazine dan Harper’s Bazaar Itali. Model di bawah pengurusan IMG Models ini juga pernah meluaskan bakatnya dalam bidang lakonan untuk filem Guzaarish.
 

Norah JonesGambar: TPGVIP

 
19. Norah Jones
Darah seni yang mengalir di tubuh Norah Jones sedikit sebanyak dipengaruhi bapanya, Ravi Shankar, pemain sita terkenal di India. Ritma Don’t Know Why dan Come Away With Me adalah pencetus kejayaan Norah Jones di lapangan seni. Tahun 2003 menyaksikan Norah merangkul lima Anugerah Grammy yakni Best New Artist, Album Of The Year, Best Pop Vocal Album, Record Of The Year dan Best Female Pop Vocal Performance. Malah Norah sempat merakamkan lagu bersama mendiang Ray Charles untuk album terakhirnya.