Retorik: Imej Adalah Segala-galanya - oleh Datin Sharifah Shawati

Retorik: Imej Adalah Segala-galanya

Sharifah Shawati

Salam anggun kepada semua pembaca! Saya amat berbesar hati dapat menyumbang kepada GLAM yang berada dalam kelasnya tersendiri dengan mutu intipati serta kualiti yang mengikut peredaran zaman.
 
Bercakap tentang peredaran zaman khususnya dalam industri fesyen tanah air memang banyak perbezaan positif yang saya lihat dari segi penerimaan sesuatu konsep terkini selari dengan gaya hidup yang semakin mencabar. Ini khususnya di bandar yang mana komuniti masyarakat lebih berfikiran terbuka dan mementingkan kualiti dari segi cara hidup, pergaulan sosial dan status.
 
Lain pula penerimaannya di kawasan luar bandar yang mana mereka mempunyai hasrat untuk berfesyen namun terkongkong dalam keadaan yang tidak mengizinkan untuk bereksperimentasi  kerana takut diejek orang sekeliling dan juga keadaan persekitaran dan cara hidup yang lebih konservatif. Maka ini menjadikan prioriti mereka amat berbeza yang mana berfesyen dan melaram bukanlah kepentingan di tempat pertama.
 
Sebagai perunding imej, tanggungjawab saya adalah untuk memuaskan hati klien tidak kira dari bandar ataupun dari masyarakat kampung. Ini kerana matlamat utama saya ialah untuk menghasilkan seorang lagi individu yang berkualiti, profesional dan relevan dalam kehidupan mereka. Kebanyakkannya mempunyai tanggapan yang kurang tepat mengenai fungsi seorang perunding imej. Mereka sangka tugas saya hanyalah untuk mengajar orang tentang pakai baju dan pakai mekap sahaja. Itu hanyalah tugas seorang stylist bukan perunding imej profesional.
 
Seorang perunding imej profesional bukan hanya mengambil baju atau mekap dan menyuruh kliennya pakai mengikut sesuka hatinya. Banyak aspek lain yang dianalisa secara mendalam terhadap klien sebelum nasihat diberi seperti corak personaliti seseorang, tahap psikologi mental, gaya hidup, tahap kewangan, profesyen dan keperluan mengikut ciri-ciri yang ada pada diri mereka.
 
Dalam pada itu untuk menghasilkan imej positif secara pakej memerlukan keperluan skil komunikasi yang mantap dan persediaan dari segi mental, fizikal dan juga spiritual. Ini amat penting dan ini adalah tugas seorang perunding imej untuk mengajar cara-caranya. Ini juga termasuk menasihati klien tentang tahap kesihatan, pemakanan, senaman dan mungkin juga menukar corak hidup mereka.
 
Justeru keperluan untuk meningkatkan imej berbeza mengikut keperluan diri seorang individu berpandukan kehidupan harian mereka. Bagi saya pula, adalah satu kepuasan jika saya dapat melihat satu perbezaan yang ketara terhadap klien saya melalui konsultasi yang saya berikan.
 
Dalam menghasilkan imej yang positif, apa yang penting bagi saya ialah kita kembali kepada keperluan utama yang perlu ada dahulu dalam diri seseorang ialah menjaga kebersihan diri (personal hygiene). Bagi saya jika kita berpakaian paling mahal sekalipun kalau mempunyai masalah bau badan maka tiada gunanya. Seorang wanita yang mengabaikan kebersihan diri seolah-olah tidak menghormati diri mereka sendiri. Dan jika anda tidak menghormati diri sendiri maka jangan mengharapkan untuk dihormati orang lain. Ia seolah anda meletakkan nilai yang begitu rendah pada diri anda dan apabila ini berlaku maka tidak ada orang yang akan menaikkan nilai itu bagi pihak anda.
 
Ada pepatah Inggeris yang berbunyi, “If you want to be taken seriously, you have to take yourself seriously”. Saya berada di tempat saya pada hari ini adalah kerana saya begitu passionate dalam apa jua perkara yang dilakukan. To me, passion is key. Tanpanya, manusia akan melakukan sesuatu separuh jalan dan tidak bersungguh-sungguh. I like what I do and enjoy it. When you enjoy what you do everything becomes so easy and interesting.
 
Akhir kata dari saya, sayangilah diri anda dan persembahkan diri dalam keadaan yang terbaik apabila kita melangkah keluar dari rumah dan jadikanlah tabiat ini satu konsistensi diri setiap masa. Anda juga perlu menyayangi diri anda sendiri dahulu sebelum anda boleh menyayangi orang lain. All the best to everyone and stay positive!
 
Oleh: Datin Sharifah Shawati
 
Dipetik dari GLAM Februari 2013


 
 

See also
Tip Senaman Trainer Selebriti