Bercuti di Kota Singapura

Gahnya Singapura!

Merlion1 Gambar: Singapore Tourism Board & Brandthink Malaysia

 
Megah berliku diversiti tradisi bersulam modenisasi, Singapura tepat sebagai lokasi eksklusif percutian bersama keluarga. Menawarkan segala yang berprestij buat tetamu, GLAM membuka tirai kemewahannya.
 
Singapura kota yang tidak asing buat warga dunia apatah lagi orang kita. Kala bertandang ke kota ini, apa yang anda bakal nikmati sepanjang empat hari tiga malam di sana? Oh…sudah tentu satu pengalaman eksklusif, kehangatan layanan penerbangan kelas pertama masih berbaki kala menjejakkan kaki ke Lapangan Terbang Antarabangsa Changi.  Lambaian bayang Hotel Raffles, bersedia menantikan kehadiran anda. Mengapa mesti menginap di sana? Semestinya ia bukan sekadar hotel biasa tetapi ia satu bangunan ikonik. Hotel Raffles Singapura cukup dikenali sebagai lokasi yang sarat gaya kolonial, tenang dan strategik di tengah-tengah Singapura yang menawarkan suasana  bersejarah dan one of a kind. 
 
Singapore

Hari pertama terarah pada mood santai. Rugi bukan jika tidak mengambil peluang untuk menyelusur setiap pelosok hotspotnya.  Bermula dengan menjamu mata melihat gaya hidup lokal di Kampong Glam, Arab Street, Little India dan Chinatown sehinggalah menikmati sensasi urban di Orchard Road dan Marina Bay Sands tentunya. Kala senja menyapa, limpahan neon di Clarke Quay galak menggoda, namakan sahaja apa selera anda dan keluarga di sini, iringan muzik, suasana bertenaga dan live band segala-galanya tersedia. Sebagai pemanis, apa kata menaiki bot di Singapore River  dan hayati keindahan monumen Merlion pada waktu malam.
 
STB-Singapore, STB-Singapore

See also
Minum Petang Bersama Anya Hindmarch

Sebut sahaja Pulau Sentosa, pasti keriangan bergema. Dari Resorts World Sentosa sehingga ke Sentosa Golf Club destinasi ini sebenarnya sesuai buat keluarga bergembira. Untuk menggelakkan berasak membeli tiket di kaunter masuk, cadangan GLAM, tempahan awal melalui online pasti memudahkan anda. Kembara ria dimulakan dengan menjelajah Universal Studios Singapore dan makan tengah hari di Marty’s Casa Del Wild seterusnya berkunjung ke Underwater World, Trick Eye Museum, Madame Tussauds, Siloso Point, menaiki kereta kabel Jewel melihat pemandangan udara dan diakhiri dengan sun bathing di Siloso Beach. Buat kaki golf, inilah masanya untuk menikmati privilege bertaraf dunia di Sentosa Golf Club. Tanjong Course dan Serapong Course setia memberikan pengalaman yang penuh bermakna.
 
Singapore2

Agenda hari ketiga sentiasa dinantikan. Apa lagi jika bukan membeli belah! Sebelum itu, apa kata singgah sekejap di PS.Cafe yang terletak di Harding Road dan nikmati kelazatan pastri dan kopinya. Misi mendapatkan barangan idaman bermula di gedung mega sekitar Orchard Road. Dari pusat membeli belah di ION Orchard, seterusnya ke Takashimaya, Ngee Ann City, Paragon dan Far East Plaza. Tiba waktu makan tengah hari, terus sahaja ke StraitsKitchen di Hotel Grand Hyatt. Seleksi menu di sini cukup pelbagai, dari peranakan, dapur Cina, masakan India dan manisan semuanya enak.
 
Tidak terhenti di situ, untuk menggandakan keseronokan, tuju sahaja ke Marina Bay Sands. Di sini, jenama mewah antarabangsa, label baru dan gaya jalanan menantikan anda. Kala ibu sibuk memenuhi wish list,  anak-anak berseronok bersama bapa dengan meneroka Muzium ArtScience, Esplanade, Victoria Theater dan Victoria Concert Hall. Bangkitkan selera gastronomi makan malam anda di Singapore Flyer atau Sky on 57, Marina Bay Sands, pengalamannya pasti berbeza. Malam masih muda, bersiar-siar di Gardens by the Bay, Cloud Forest adalah aktiviti terbaik untuk menutup tirai. Hari terakhir yang masih berbaki usah disia-siakan. Usai sarapan pagi, ambil masa anda untuk beriadah di gimnasium, bermalas-malas di tepi kolam atau luangkan masa bersama dengan bersiar-siar di sekitar hotel penginapan sebelum berangkat pulang ke tanah air.
 
Untuk informasi lanjut, layari www.yoursingapore.com.
 
 

See also
Tiga Pusat Percutian Detoks Terbaik Di Rantau Asia