Kompilasi Wajah Hadapan GLAM 2025, Kenali Barisan Cover Stars
Sebelum menutup tirai 2025, kenali setiap bintang personaliti untuk wajah hadapan majalah GLAM daripada pelakon, usahawan dan pencipta kandungan yang semakin menyerlah.
Sepanjang tahun 2025, GLAM menampilkan barisan personaliti dan ikon industri kreatif Malaysia yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang masing-masing, tetapi juga menjadi sumber inspirasi melalui perjalanan dan pencapaian mereka. Kenali bintang wajah hadapan untuk setiap isu bagi penutup tahun ini.
Januari/Febuari

Mimi Lana merupakan seorang pelakon dan model terkenal Malaysia yang popular menerusi drama televisyen dan filem sejak 2012 antaranya Perempuan Itu, The Experts dan Mencari Ramlee. Pada umur 30 tahun, Mimi menceburi bidang baru dengan memiliki jenama kecantikan sendiri iaitu MIMS Essentials, wangian rambut dan badan.
Mac

Shalma Ainaa memulakan karier sebagai pengacara HLive dan kemudian menjadi pengasas dan pereka fesyen untuk jenama SHALS. Shalma aktif dalam dunia gaya hidup dan fesyen tempatan serta menjadi inspirasi komuniti kreatif di Malaysia. Selain itu, dia juga gemar berkongsi tentang di sebalik kehidupannya bersama suami, Wan Imar menerusi vlog di Youtube mereka.
April


Empat bakat muda, Alvy Joanna, Fazziq Muqris, Khayrisyah Kemal dan Sabrina Azhar semakin mendapat nama di dalam industri hiburan. Fazziq merupakan seorang pelakon dan penyampai radio ERA manakala Khayrisyah Kemal memulakan karier lakonan sebagai pelakon kanak-kanak dan kini semakin aktif dalam penglibatan teater. Alvy dan Sabrina pula bermula sebagai pencipta kandungan dan kemudian Alvy menceburi bidang nyanyian manakala Sabrina mula berjinak dalam dunia lakonan.
Mei

Natasha Ozeir ialah usahawan anak kelahiran Sabah yang dikenali sebagai pengasas jenama kopi Richman Coffee, sebuah jenama kopi Arabica yang kini dijual di lebih 2,500 cawangan 7-Eleven seluruh Malaysia. Sifatnya yang tegas dan berani menjadikan Natasha antara ikon wanita dalam dunia perniagaan.
Jun/Julai

Alia Bastamam merupakan seorang pereka fesyen yang terkenal dengan jenama sendiri dan kolaborasi bersama nama besar dalam industri fesyen tempatan. Rekaan santai namun elegan untuk wanita menjadikannya terus menjadi jenama yang ikonik.
Ogos

Seorang pelakon, model dan pengacara, nama Siti Saleha yang mula dikenali dengan drama Nora Elena dan 7 Hari Mencintaimu. Meskipun selepas hampir dua dekad dalam industri, dia masih kekal relevan dan lakonannya semakin versatil. Kini, dia bakal melangkah ke fasa kehidupan baru sebagai seorang ibu dengan dikurniakan cahaya mata pertama bersama suami, Joshua Fitton.
September

Shikin Gomez merupakan model terkenal yang sedang menempah nama di antarabangsa. Shikin memulakan karier dengan menyertai pertandingan Asia’s Next Top Model pada 2017 dan kini dia telah berhijrah ke Lisbon, Portugal bersama suaminya, Rami Aladdin.
Oktober

Siapa yang tidak mengenali Ratu Jazz Malaysia iaitu Datuk Sheila Majid yang menyambut ulang tahun ke-40 penglibatannya dalam industri muzik tanah air. Antara lagu-lagunya yang terkenal adalah Sinaran, Antara Anyer dan Jakarta, Legenda, Hitam Putih Kehidupan dan banyak lagi. Pada usia 60 tahun, beliau masih aktif berkarya membuktikan dirinya sememangnya seorang legenda.
November


Dayang Nurfaizah, seorang penyanyi Malaysia yang telah mewarnai industri muzik sejak 1999 dengan genre pop & R&B dan terus kekal relevan dengan lagu-lagu ikoniknya iaitu Di Pintu Syurga, Lelaki Teragung dan Seandainya Masih Ada Cinta. Manakala Azira Shafinaz dikenali sebagai salah seorang kumpulan DeFam yang kini semakin aktif dalam bidang lakonan dalam beberapa filem dan siri box office seperti Sheriff, One Cent Thief, Talbis Iblis dan banyak lagi.
Disember

Lynn Lim merupakan pelakon berbangsa Cina yang telah memenangi banyak anugerah kerana bakat lakonannya. Baru-baru ini, dia baru sahaja menerima anugerah Best Supporting Actress untuk Singapore’s Star Awards 2025 untuk televisyen siri jenayah Singapura, Kill Sera Sera. Selain itu, Lynn juga tampil sebagai fesyen ikon dan sering dijemput ke acara fesyen terkenal seperti Chanel.
Artikel Berkaitan: Jejak Most GLAM 2016 Hingga 2024, Himpunan Wanita-Wanita Ikonik
Maya Kusuma
Maya Kusuma merupakan penulis di GLAM Malaysia. Penulisannya menjelajah dunia gaya hidup moden dan mewah, berkongsi kisah personaliti terkenal serta menyentuh aspek fesyen dan kecantikan.

