Coach Membawakan Pop-up Penuh Magis Di Tiga Destinasi
Coach mempersembahkan dunia hutan musim sejuk penuh keajaiban ke tiga lokasi, melalui pop-up perayaan yang menawarkan pengalaman membeli-belah, seleksi hadiah eksklusif serta pelbagai aktiviti istimewa untuk diterokai.
Musim perayaan ini, Coach membuka pintu ke dunia fantasi dengan tiga pop-up istimewa yang kini berlangsung di The Gardens Mall, The Exchange TRX dan Genting Highlands Premium Outlets sehingga 4 Januari 2026. Diilhamkan oleh hutan musim sejuk yang bersifat whimsikal, setiap pop-up dirangka sebagai ruang imersif yang mencetuskan rasa ingin tahu dan kegembiraan, lantas menjadikan kunjungan ini lebih daripada sekadar pengalaman membeli-belah. Aromanya dipenuhi haruman pine yang menenangkan, disertai bunyi burung berkicau, salji yang renyai di bawah tapak kaki serta desir dedaunan hijau yang nyata menghidupkan suasana seolah-olah melangkah masuk ke alam lain yang penuh keajaiban dan keceriaan.

Coach Menghidupkan Musim Perayaan Dengan Pop-up Bertema Whimsical
Rekaan visual pop-up ini bukan sahaja memikat pandangan tetapi turut menjadi latar gaya eksklusif bagi rangkaian Coach Holiday. Di sini, pengunjung berpeluang menerokai koleksi edisi khas musim perayaan yang menampilkan beg Tabby serta produk Tabby teras yang ikonik. Sama ada mencari hadiah istimewa, helaian baharu untuk tambahan gerobok pakaian musim perayaan, mahupun sekadar ingin merasai suasana yang mempersona lagi mendamaikan, setiap kunjungan pasti meninggalkan kenangan yang bermakna.

Di The Gardens Mall, pop-up bertempat di Boulevard Entrance dengan reka bentuk yang menukar sudut pusat beli-belah itu menjadi pintu masuk ke ‘hutan’ Coach. Di sinilah juga personaliti Ayra dirakam bergaya dalam suasana whimsical yang dikelilingi dekorasi musim sejuk, menjadikan ruang tersebut bukan sahaja memukau secara visual malah ideal sebagai latar bergambar yang menyerlahkan gaya perayaan. Beralih kepada The Exchange TRX pula, ia menawarkan pengalaman more ‘urban-meets-winter wonderland’, manakala di Genting Highlands Premium Outlets menjadi lokasi yang dikelilingi udara sejuk semula jadi, yang mana menjadikan pop-up tersebut lebih autentik seakan-akan berada di destinasi percutian musim dingin sebenar. Setiap lokasi beroperasi dari jam 10 pagi hingga 10 malam, sekali gus membolehkan pengunjung merancang masa kunjungan dengan lebih fleksibel sambil menikmati suasana perayaan kota.

Pengalaman pop-up ini turut diperindah dengan pelbagai aktiviti istimewa sepanjang tempoh berlangsung. Pada hari bekerja, pengikut Instagram ‘@coachseasia’ berpeluang menembusi polaroid Coach Holiday secara percuma sebagai kenangan, persis momen ceria yang dirakam oleh personaliti Shaza ketika bergambar sambil memperagakan koleksi beg Coach di salah satu sudut ruang menarik ini. Pada hujung minggu, pengunjung boleh menyertai cabutan bertuah untuk memenangi hadiah eksklusif termasuk Coach Holiday Puffy Stickers, Wrapping Paper, Postcards, voucher Coach Coffee Shop serta hadiah utama yang misteri. Dengan aktiviti yang berlangsung sepanjang cuti Krismas bermula dari 24 hingga 28 Disember dan cuti Tahun Baharu dari 31 Disember hingga 4 Januari 2026, pelancaran pop-up Coach Holiday kali ini menjanjikan detik manis untuk semua yang mencari gabungan fesyen, magis dan pengalaman perayaan yang sebenar.

Artikel berkaitan: Coach Play APW, Inovasi Ketukangan Warisan Bertemu Seni Percetakan
Syahirah Hussain
Syahirah Hussain ialah penulis fesyen di GLAM Malaysia. Mengulas informasi, trend dan berita fesyen terkini dari lokal ke antarabangsa, serta penglibatan editorial dengan nada segar yang mewakili generasi baharu dunia fesyen.

