Mengapa Cincin Tunang Selebriti Selalu Mencuri Perhatian?
Setiap kali selebriti bertunang, yang jadi topik utama bukan sahaja pasangan, tarikh, atau lokasi tetapi cincin tunang. Sebab satu: ia boleh jadi lebih mahal daripada harga rumah mewah, lengkap dengan karat luar biasa dan kisah tersendiri. Dari permaidani merah sehingga gambar paparazzi, cincin tunang mereka seperti watak tambahan dalam kisah cinta selebriti.
Dalam dunia glamor Hollywood, cincin tunang bukan sekadar hadiah romantik. Ia simbol kuasa, status, rasa cinta dan ya, kadang kala termasuk ego juga. Ada yang direka khas, ada yang diwarisi, dan ada yang begitu eksklusif sehingga hanya satu dalam dunia.
Menariknya, setiap cincin tunang selebriti ini bukan sahaja mengagumkan, tetapi masing-masing ada cerita menarik di sebaliknya. Bukan sekadar batu permata tetapi naratif cinta, kenangan dan gaya hidup luar biasa.
Cincin tunang paling mahal dan ikonik selebriti
Grace Kelly – Legenda cinta diraja

Grace Kelly menerima cincin tunang potongan emerald seberat 10.48 karat sebelum menjadi Puteri Monaco. Batu permata berbentuk emerald itu disertakan dua batu baguette kecil di sisi ringkas tetapi elegan, klasik dan mahal. Hari ini, cincin itu dianggarkan bernilai lebih USD 38.8 juta. Nilainya bukan hanya datang dari karat, tetapi kerana ia milik seorang ikon dunia dan bakal ratu sebenar.
Mariah Carey – Diva, cinta dan berlian 35 karat

Jika anda fikir 10 karat sudah besar, Mariah Carey pernah memakai cincin tunang 35 karat, potongan emerald, dengan gelang platinum eksklusif. Nilai? Sekitar USD 10 juta. Sebesar itu sehingga boleh kelihatan dari jauh menerusi gambar paparazzi. Malah selepas pertunangan berakhir, cincin itu tetap jadi bualan industri fesyen dan pengumpul barang mewah.
Elizabeth Taylor – Cinta dan berlian legenda

Walaupun tidak diberi semasa pertunangan, berlian Elizabeth Taylor yang dikenali sebagai “Krupp Diamond” tetap termasuk dalam antara cincin paling ikonik. Potongan Asscher Diamond seberat 33.19 karat ini pernah dilelong pada harga sekitar USD 8.8 juta. Nilai sentimental dan sejarahnya jauh lebih besar daripada sekadar harga.
Anna Kournikova – Dua cincin, dua gaya berbeza

Bekas pemain tenis ini pernah menerima dua cincin tunang; satu berbentuk pear 11 karat, satu lagi berlian kuning potongan radiant. Tidak ramai selebriti yang menerima dua cincin, dan lebih menarik, kedua-duanya bernilai jutaan dolar. Setiap satunya mempunyai gaya berbeza, melambangkan fasa cinta yang unik.
Beyoncé – Ikon moden dengan sparkler eksklusif

Berlian cincin tunang Beyoncé sering menjadi misteri kerana jarang ditunjuk. Namun dipercayai batu itu kira-kira 18 karat, potongan emerald, dan nilainya antara USD 5 hingga USD 6 juta. Seperti Beyoncé, cincin ini elegan, tidak terlalu mencolok, tetapi tetap memancarkan kuasa.
Persoalannya, adakah cincin tunang ini mahal kerana nilainya atau kerana pemiliknya? Sebenarnya kedua-duanya. Dalam dunia selebriti, cincin bukan sekadar simbol cinta tetapi sebahagian daripada legasi dan imej.
Walaupun kita tidak perlukan cincin USD 10 juta untuk melamar, kisah cincin tunang selebriti ini mengajar kita satu perkara: cincin itu bukan hanya soal karat, tetapi apa yang ia wakili. Ada nilai sentimental, sejarah, kenangan dan kadang kala, kisah cinta yang lebih indah dari batu permata itu sendiri.
Artikel berkaitan: Syifa Hadju & El Rumi Rasmi Bertunang, Terima Cincin Berlian 3 Karat!
Farhana Fuad
Farhana Fuad merupakan Pengurus Kanan Kandungan di GLAM Malaysia. Menggabungkan kepakaran dalam penulisan editorial dan strategi SEO, Farhana menerajui kandungan semasa dan gaya hidup.

