Pengalaman Gastronomi Bertaraf Dunia di Sabayon
Sabayon di EQ Hotel KL menyambut kehadiran Chef Xabi dari Sepanyol untuk pengalaman makan malam bertaraf dunia yang diinspirasikan oleh warisan masakan Basque.
Chef terkenal dari Sepanyol, Martín Berasategui, yang memiliki sebanyak 12 bintang Michelin melalui pelbagai restorannya, kini memperkenalkan salah seorang chef paling cemerlang dalam pasukannya, Chef Xabier Goikoetxea, atau lebih dikenali sebagai Chef Xabi.
Masakan Basque air tangan Chef Xabi

Xabier Goikoetxea dan Martin Berasategui
Beliau merupakan chef eksekutif di restoran Oria yang bertaraf Michelin di Monument Hotel, Barcelona. Menariknya, Chef Xabi bakal hadir ke Sabayon di EQ Hotel, Kuala Lumpur, restoran fine dining yang telah memenangi pelbagai anugerah, untuk satu sesi gastronomi eksklusif yang pasti mengujakan para penggemar kulinari.
Kehadiran istimewa Chef Xabi ini bukan sahaja menampilkan sajian penuh seni yang diinspirasikan daripada warisan masakan Basque, tetapi juga turut menggabungkan elemen dari Catalonia dan Laut Mediterranean. Wilayah Basque, atau dikenali sebagai Euskadi, terletak di utara Sepanyol dan terkenal dengan budaya masakan yang kaya serta tradisi yang masih utuh. Dengan pengalaman lebih 15 tahun bersama Berasategui, Chef Xabi membawa sentuhan unik yang menggabungkan tradisi dengan inovasi moden dalam setiap hidangan yang bakal disajikan di Sabayon.

Menu eksklusif di Sabayon, EQ Hotel Kuala Lumpur ini akan membawa tetamu menyelusuri pengalaman gastronomi yang istimewa dan bertaraf dunia. Antara hidangan pembuka yang ditawarkan termasuk kerepek Comté dengan belut salai dan ikan bilis Cantabrian, macaron tomato dengan tartar ikan trout, udang yang diawet bersama tempura laut, serta kerang kering dengan sos hollandaise salai ringan, oren dan chervil. Ini diikuti dengan sup makanan laut San Sebastián, kemudian ikan turbot liar yang dimasak dalam sos pil-pil klasik dan dihias dengan kaviar. Hidangan utama menawarkan pilihan antara sirloin panggang atau kambing, dihidang dengan jus kurma Medjool, dan pencuci mulut pula menampilkan gabungan kreatif seperti air basil, krim kacang badam, frozen pearls, coklat dan tonka bean.
Versi vegetarian turut disediakan untuk tetamu yang ingin menikmati cita rasa yang sama tanpa menggunakan bahan haiwan, menjadikan pengalaman ini inklusif dan sesuai untuk semua. Chef Xabi bukan sahaja membawa teknik masakan yang halus, tetapi juga menyampaikan warisan budaya Basque melalui setiap sajian yang disediakan dengan penuh dedikasi dan kreativiti.
Residensi istimewa Chef Xabi di Sabayon, EQ Hotel Kuala Lumpur akan berlangsung dari 31 Julai hingga 9 Ogos 2025, dengan waktu makan malam dari jam 6.30 petang hingga 11 malam. Menu eksklusif ini ditawarkan pada harga RM888+ seorang. Ini merupakan peluang keemasan buat para pencinta makanan untuk merasai masakan Sepanyol bertaraf dunia tanpa perlu meninggalkan Kuala Lumpur, hanya di Sabayon, destinasi gastronomi utama ibu kota.
Artikel Berkaitan: EQ Phuket: Kerjasama Malaysia & Thailand Telan Belanja RM321.42 Juta
Maya Kusuma
Maya Kusuma merupakan penulis di GLAM Malaysia. Penulisannya menjelajah dunia gaya hidup moden dan mewah, berkongsi kisah personaliti terkenal serta menyentuh aspek fesyen dan kecantikan.

