Dioriviera Bawa Magis Tropika Ke Pulau Pinang - Glam Malaysia

Dioriviera Bawa Magis Tropika Ke Pulau Pinang

Dioriviera menjadi sebuah pelarian musim panas serba elegan dan kini, menyinggah ke Pulau Pinang untuk acara Dioriviera Pop-up yang penuh mewah dan eksklusif untuk diterokai hingga 11 Ogos ini.

Dalam semangat merayakan seni hidup musim panas, jenama mewah Perancis Dior mempersembahkan pengalaman eksklusif melalui pop-up istimewa, Dioriviera di Macalister Mansion, Penang. Terletak di tengah-tengah kehijauan tropika, destinasi sementara ini diolah sebagai syurga musim panas yang memancarkan keanggunan santai dan pesona alam. Berinspirasikan cetakan ikonik Toile de Jouy Sauvage dan Toile de Jouy Palms, lokasi ini bukan sahaja menjadi pameran fesyen, tetapi juga kanvas fantasi yang mempertemukan kehalusan seni buatan tangan dan suasana eksotik.

Dioriviera Menyatukan Alam Tropika Dan Sentuhan Elegan Perancis

Menyerlahkan identiti Dioriviera, ruang luaran pop-up ini dihiasi dengan arca fauna berskala sebenar seperti gajah, zirafah, harimau serta deretan kaktus dan pohon palma. Kesemuanya dihasilkan menggunakan anyaman rotan dan buluh, lantas menghidupkan tema hidupan liar dalam bentuk yang penuh keajaiban. Setiap elemen dihiasi dalam tona semula jadi, membangkitkan rasa tenang yang selaras dengan semangat resort. Di tengah-tengah suasana ini, koleksi terkini Dior diperkenalkan. Daripada himpunan pakaian, aksesori pantai hinggalah Dior Book Tote yang kini hadir dalam rona ceria dan corak tropika.

See also
Deretan Gaya Mia Goth Bersempena Tayangan Perdana Filem Frankenstein

Sambil menyelusuri koleksi, pengunjung dijemput untuk bersantai di teres yang dilengkapi perabot khas seperti kerusi berlengan dan payung bermotifkan Toile de Jouy, kini tampil dalam variasi warna yang lebih ekspresif. Menambah elemen riang, pelampung menyerupai bentuk haiwan turut menjadi sebahagian daripada instalasi, lalu mencipta ruang terbuka yang mencerminkan intipati semangat musim panas Dior bernada bebas dan mewah.

Lebih menarik, Café Dior dan Café Bike turut boleh dikunjungi. Ia menawarkan gabungan pengalaman gaya hidup Perancis dengan sentuhan tropika Malaysia. Gabungan aroma kopi, keanggunan visual serta suasana eksotik menjadikan pengalaman ini bukan sekadar tentang fesyen, tetapi juga perjalanan pancaindera. Dior meraikan keindahan alam semula jadi, musim panas dan gaya hidup abadi, menginjek nuansa yang elegan dan penuh imajinasi.

Artikel Berkaitan: Ragam Gaya Musim Panas DIORIVIERA, Kini di Butik DIOR Pavilion KL

Syahirah Hussain ialah penulis fesyen di GLAM Malaysia. Mengulas informasi, trend dan berita fesyen terkini dari lokal ke antarabangsa, serta penglibatan editorial dengan nada segar yang mewakili generasi baharu dunia fesyen.