10 Artis Thailand Terus Mendominasi Fesyen Mewah
Pasaran global mula melihat ke Asia Tenggara kerana kebangkitan trend membeli-belah barangan mewah, langsung memilih personaliti Thailand sebagai wajah utama mereka.
Sejak empat tahun yang lalu, penangan artis Thailand cukup kuat terasa. Bukan sahaja mendominasi drama siri, mereka juga menjuarai carta lagu-lagu hit! Fesyen mereka juga menjadi ikutan para kelompok muda yang mula menjadi pembeli utama jenama fesyen mewah. Maka tidak mustahil label antarabangsa mula melihat mereka sebagai calon terbaik untuk menjadi wajah utama. Sehingga kini artis Thailand terus disunting menjadi duta global. Ini antara personaliti wanita yang unggul bersama kontrak fesyen mewah.
Baifern Pimchanok Luevisadpaibul buat Loewe
Pelakon ini mula dikenali menerusi filem Crazy Little Thing Called Loved. Sejak detik itu, Baifern mula menjadi idola kepada peminat dunia lakonan di Thailand. Gadis berdarah Thai dan Cina ini diangkat menjadi duta global Loewe pada Mac 2024. Terkini, Baifern menghiasi kempen musim bunga/panas 2025 Loewe yang dirakam oleh Juergen Teller.
Davika Hoorne buat Gucci
Dibawah lembayung Gucci termasuk Gucci Beauty telah memilih Davikah Hoorne sebagai wajah mereka pada tahun 2023. Dia adalah selebriti Thailand yang pertama diangkat oleh Gucci sebagai duta global. Sebelum diumumkan sebagai duta Gucci, Davika terlebih dahulu digayakan dengan helaian eksklusif Gucci buat banyak acara lokal.
Freen Sarocha Chankimha buat Valentino
Khabar yang terkini datang dari Thailand adalah pemilihan Freen sebagai duta terkini Valentino. Debutnya buat jenama yang ditunjangi oleh Alessandro Michele adalah ketika Minggu Fesyen Paris pada September 2024. Freen dikenali diperingkat global melalui siri drama bertajuk Gap: The Series yang dilakonkan bersama Becky Armstrong.
Lalisa Manobal buat Louis Vuitton
Tahun lalu Lalisa memasuki era baharu apabila menjadi wajah utama kepada jenama gergasi Louis Vuitton. Nicolas Ghesquière, Pengarah Kreatif buat jenama ini menyifatkan yang artis Thailand ini bukan sahaja berani malahan mempunyai daya kreatif yang cukup kuat dalam dunia muzik serta selera fesyennya.
Minnie Nicha Yontararak buat Miu Miu
Ahli kumpulan (G)I-DLE, Minnie bukan sahaja ligat dipentas dengan lontaran suara dan lenggok tarinya. Tetapi juga menjadi penarik kepada Miu Miu sebagai duta utama mereka. Minnie juga membuat debut sebagai wajah utama Miu Miu di pentas peragaan jenama ini pada Oktober 2024.
Thanaerng-Kanyawee Songmuang buat Bottega Veneta
Bakat baharu yang paling menyerlah dalam dunia lakonan, Thanaerng menjadi pilihan Bottega Veneta sebagai duta mereka. Berita ini dikongsi oleh jenama Itali pada April tahun lalu. Dia yang kini terus mekar menjadi ikon fesyen di Thailand mempunyai ilmu seni kerana belajar tentang rekaan seni fesyen dan tekstil.
Toey Jarinporn Joonkiat buat Prada
Apa yang membuatkan Prada jatuh cinta kepada Toey Jarinporn Joonkiat bukan hanya pada bakat lakonan yang dimiliki. Tetapi, wanita berusia 34 tahun ini juga mempunyai minat yang mendalam dan menjulang kepentingan pendidikan dan kelestarian. Toey adalah pengasas kepada Environmental Education Centre Thailand.
Tontawan Tantivejakul buat Dior
Tontawan, Ikon terkini di Thailand yang sudah disunting oleh Dior dan dijadikan duta buat koleksi fesyen dan barang kemas jenama Paris ini. Artis Thailand berusia 23 tahun ini dilihat sebagai satu persona yang tidak takut untuk memperlihatkan karakter feminin dan elegan. Serta Dior juga cukup senang dengan gayanya yang sering bertukar-tukar agar kekal relevan.
Bella Campen buat Fendi
Bella Campen adalah sahabat pertama kepada Fendi yang asal Thailand. Mula menapak dalam dunia hiburan pada 2011 dan pada tahun 2022, nama Campen melonjak naik sehingga ke peringat global kerasa berlakon dalam siri drama bertajuk Love Destiny 2. Fendi memilih artis Thailand ini kerana dia mencerminkan karakter moden wanita sekarang.
Urassaya Sperbund buat Louis Vuitton
Urassaya atau lebih senang dengan sapaan Yaya ini adalah personaliti Thailand yang terawal diangkat menjadi duta kepada jenama mewah. Louis Vuitton telah memilih Yaya sebagai duta buat koleksi fesyen dan aksesori mereka sejak 2017. Antara momen pertama Yaya bersama Louis Vuitton adalah apabila dia menjadi gadis kempen Pre-Fall 2019.
Artikel Berkaitan: Freen Sarocha Duta Terbaharu Buat Maison Valentino