Wajah Baharu Lancôme , Olivia Rodrigo
Olivia Rodrigo diumumkan sebagai wajah baharu untuk jenama kecantikan Perancis, Lancôme dengan gambar-gambar dan pengumuman ikoniknya.
Penyanyi pop yang memegang tiga Grammy Awards ini telah menambah satu lagi pencapaian dalam kariernya. Olivia Rodrigo telah diumumkan sebagai duta global jenama kecantikan Perancis, Lancôme. “Lancôme adalah jenama ikonik dan abadi yang menggalakkan kecantikan dari dalam, dan saya berasa amat berbesar hati menjadi sebahagian daripada keluarga mereka.” ujar Olivia tentang pengumumannya sebagai duta global baharu jenama itu.
Olivia sebelum ini pernah bekerjasama secara eksklusif bersama jenama kecantikan yang lain seperti Glossier. Pengumumannya sendiri dimuat naik oleh Olivia di akaun Instagramnya dengan penuh cara Olivia Rodrigo. Memakai korset berona perak dipadankan dengan gincu merah yang menjadi tanda gayanya, penyanyi itu menjerit beberapa kali ke dalam pembesar suara ungu. “Saya adalah wajah baharu…” dengan nama jenama disensor sebelum jeritan akhirnya, “Saya adalah wajah baharu Lancôme yang hebat.” jeritnya di dalam video itu.
Pose penyanyi lagu “Driver’s License” ini dilihat di dalam visual kempen dengan solekan yang diukir oleh Melissa Hernandez. Melissa menggunakan produk-produk dari Lancôme seperti Lancôme’s Teint Idole Ultra 24H Long Wear Matte Foundation bersama Blush Subtil Powder Blush. Untuk mata, kombinasi Idôle Ultra-Precise Felt Tip Liquid Eyeliner dalam 01 Glossy Black, Cils Booster XL Super-Enhancing Mascara Primer, dan Définicils High Definition Lengthening Mascara dalam 01 Black digunakan. Sentuhan akhir dilakukan untuk melengkapkan look ini dengan L’Absolu Rouge Cream Lipstick dalam warna 132 Caprice De Rouge.
Impak Olivia Rodrigo dalam dunia hiburan sangat besar. Antara pencapaiannya selain dari Grammy Awards ialah tujuh Billboard Awards, tiga MTV Video Music Awards dan banyak lagi. Nama Olivia semakin besar apabila mengeluarkan album sulungnya, SOUR pada tahun 2021. Dia juga membintangi siri High School Musical: The Musical: The Series pada tahun 2019.
Artikel Berkaitan: 5 Gaya Pasangan Manis Olivia Rodrigo Dan Louis Partridge