10 Gaya Karpet Merah Terburuk 2024 (Setakat Ini) - Glam Malaysia
10 Gaya Karpet Merah Terburuk 2024 (Setakat Ini)

10 Gaya Karpet Merah Terburuk 2024 (Setakat Ini)

Majlis anugerah tahun ini berlangsung meriah dengan kejayaan Golden Globes, Grammy, SAG Awards dan terbaru Independent Spirits Awards.

Acara glamor ini menghimpunkan barisan selebriti dari segenap ceruk dunia hiburan yang cuba menampilkan gaya terbaik di karpet merah. Walaupun kebanyakannya tampil menyerlah dengan persalinan segak dan menawan, ada juga yang gagal menonjol atau dicop terburuk.

Menjelang acara glamor Oscar dan Met Gala yang bakal berlangsung tidak lama lagi, ayuh imbas kembali fesyen selebriti yang tidak berjaya menarik perhatian.

Ini 10 stail terburuk di karpet merah majlis anugerah berprestij

 

Gaya Jared Leto di Golden Globes terlalu selamat jika dibandingkan dengan penampilan karpet merahnya sebelum ini. Persalinan bertemakan rona hitam-putih gagal menyerlahkan keberanian dan kreativitinya.

Walaupun menarik, gaun Kate Beckinsale di Golden Globes menggabungkan terlalu banyak trend. Elemen tampal hias bunga gergasi, sut berkilauan dan skirt jarang meleret dalam satu rekaan agak keterlaluan.

Skema warna tuksedo John Krasinski di Golden Globes dilihat tidak berjaya. Padanan jaket merah dan celana merah kundang membuatkan penampilannya mirip pakaian seragam pelayan hotel.

See also
COACH EAU DE PARFUM: Terjemahan Atitud Kool & Energi Kota New York

Ayo Edebiri tampil dengan gaya terbaik di beberapa majlis anugerah popular. Bagaimanapun gayanya di Governors Awards dianggap terburuk. Gaun tanpa lengan rona kuning air ini terlalu ringkas dan gagal menyerlahkan bentuk tubuhnya.

Sut kelabu-coklat yang digayakan Dan Levy di Critics Choice Awards tidak terletak sempurna di tubuhnya. Ia tidak cukup besar untuk dilihat sebagai trend oversized dan terlalu longgar untuk dilihat sebagai sut biasa.

Persalinan Ali Wong di Emmy Awards kelihatan seperti dua gaun berbeza yang dicantum menjadi satu. Menggabungkan elemen berlainan ada kalanya boleh mencipta gaya ikonik di karpet merah. Bagaimanapun pertembungan corak dan fabrik pada gaun ini tidak berjaya.

Calvin Harris muncul di majlis anugerah Grammy dalam sut rona coklat bersama cetakan retro. Tidak dinafikan ia eklektik dan menyeronokkan, malangnya ia bertentangan dengan kemeja yang disarungnya.

Joey King menggayakan gaun separuh jarang bersama cetakan bunga di SAG Awards, selaras trend Y2K yang terus popular tahun ini. Bagaimanapun penampilanya terlalu sarat dengan aksesori seperti sarung tangan opera, cincin perak, rantai dempak dan cekak rambut plastik.

See also
Barisan Selebriti Yang Membanjiri Front Row NYFW

Jason Sudeikis kelihatan terlalu santai kala muncul di karpet merah Golden Globes. Persalinannya bukan sahaja tidak padan dari segi warna malah terlalu kasual untuk majlis anugerah berprestij.

Gaun korset yang digayakan Fantasio Barrino di Golden Globes mempunyai terlalu banyak elemen. Gabungan skirt tulle ungu, fabrik perak berkilaun, korset hitam dan sarung tangan opera amat mengganggu perhatian.

 

Foto: Getty Images

Baca: 25 Stail Selebriti Terbaik Di Independent Spirit Awards 2024