Datin X: Gym Instructor Songlap Duit Datin Tua!

Datin X: Gym Instructor Songlap Duit Datin Tua!

Sebab takut tidak dapat meneruskan kehidupan mewah, gym instructor larikan emas dan Dollar Amerika ke luar negara.

Seperti biasa Datin X bersama kawan-kawan akan habiskan masa bersenam. Jadual kami selalunya disebelah pagi akan padat dengan sesi mengeluarkan peluh. Bukan senang nak kekalkan pinggang yang ramping ini. Walaupun ada kawan-kawan Datin X cadangkan buat operation atau segala teknik menggunakan mesin, tetapi Datin X lebih gemarkan bersenam. Dapat jugalah keluarkan toksin dalam badan ini. Juga, dapatlah Datin X bersama geng mencuci mata melihat anak-anak teruna yang badannya kekar. Sambil bersenam, kami semua sempat bermanja dengan mereka di gim. Tapi bagi Datin X cukuplah sekadar bermanja dan tahu batasannya. Jangan jadi macam Datin Joy yang sampai sekarang terduduk dengan sikap gatalnya.

Ceritanya bermula beberapa bulan yang lepas. Datin X diberitahu yang gim yang selalu kami pergi ada seorang gym instructor baharu. Orangnya tinggi lampai, rambut pendek macam baru keluar kem tentera, hidungnya pula mancung dan yang buat si budak ini menjadi tarikan adalah dia kacukan dengan Mat Salleh. Kelasnya selalu pagi dan dipenuhi dengan wanita-wanita yang sudah lanjut usia. Datin X dan Datin Joy juga adalah yang bertuah dapat bersenam bersama si budak ini. Sempat kami berborak selepas kelas, katanya dia datang dari Eropah. Tinggal di Asia Tenggara buat seketika untuk mengumpul pengalaman hidup. Tetapi jatuh hati dengan Kuala Lumpur disebabkan wanita di sini lemah lembut dibandingkan dengan negara jiran. Apabila ditanya apa ciri wanita yang dia suka? “Wanita yang matang dan berdikari,” ujar si budak ini. Datin X nampak senyuman Datin Joy sampai ke telinga perginya apabila mendengar jawapan itu.

See also
Datin X: Apabila Biras Berperang

Semakin lama, semakin kerap Datin Joy ke kelas gim yang dikelola oleh si budak Ireland ini. Datin Joy akan berada di hadapan kelas, setia mengikut setiap arahannya. Bukan itu sahaja, mereka juga dilihat manja di luar kelas. Lebih berani apabila Datin Joy mengundang dia ke acara-acara fesyen di Kuala Lumpur. Datin Joy tidak langsung ada perasaan malu, kerana dia yang sudah lama hidup sunyi disebabkan suami punya wanita simpanan mahu juga berasa bahagia. Pada mula bibit percintaan Datin Joy dan jurulatih ini datang ke acara secara berasingan tetapi pulang pasti bersama. Tetapi apabila sudah lama-lama, mereka berani datang bersama. Tidak lagi gentar dengan pandangan tetamu yang hadir. Dunia ini bagaikan mereka yang punya.

Gym instructor ini juga dimanjakan seratus peratus oleh Datin Joy. Jika dahulu dia hanya menggunakan Grab. Selepas lama bersama, Datin Joy hadiahkan motor berkuasa tinggi. Jika ke acara fesyen, pasti dia tidak pulang dengan tangan kosong. Ada sahaja yang dibelanjakan oleh Datin Joy. Dari Prada hingga ke sut Giorgio Armani dihadiahkan oleh Datin Joy kepada jurulatih a.k.a buah hatinya. Dengarnya juga, gym instructor ini tidak lagi tinggal dirumah sewa bersama rakan-rakan yang lain. Kerana Datin Joy benarkan dia tinggal di salah sebuah apartment miliknya di kawasan Bangsar. Hidupnya ditanggung bagaikan menantang minyak yang penuh, mungkin sebaris dengan gaya hidup anak raja.

See also
Hadiah Siti Nurhaliza Buat Peminat Sempena Satu Juta Pengikut Di YouTube

Tetapi jurulatih ini sebenarnya tidak tahu perangai sebenar Datin Joy. Dia bukanlah anak teruna pertama yang dijadikan kekasih gelap Datin Joy. Sebelum ini sudah banyak pelakon, penyanyi, model mahupun jurulatih muda yang tampan sudah terdahulu mengisi hati kosong Datin Joy. Memang perangai Datin Joy yang suka bercinta dengan anak muda. Selalunya selepas sebulan atau dua pasti cinta itu akan digantikan dengan anak muda yang baharu. Datin X tunggu juga bila gym instructor ini akan digantikan. Tetapi kali ini lain pula berita yang sampai ke telinga Datin X. Jurulatih sudah terbang ke Ireland terlebih dahulu. Pulang ke negara asalnya bukan dengan tangan kosong. Tetapi dengan wang Dollar Amerika Syarikat bersama emas yang dicuri daripada Datin Joy.

Tetapi kisah pencurian itu tidak langsung memberi impak kepada Datin Joy. Dia masih boleh datang ke gim tempat bekas jurulatih itu bekerja. Dan, kini Datin Joy sudah tangkap satu lagi anak muda yang dikenalinya di kedai kopi berdekatan gim. Mungkin kisah yang sama akan terus berulang, sampailah Datin Joy papa kedana baru mungkin dia boleh sedar diri ya?

See also
Seks Ketika Hamil : Bagaimana Ia Membantu Proses Kelahiran?