Cakra Khan Hiburkan Peminat di Kuala Lumpur September Ini
Cakra Khan Tunai Janji Buat Peminat Di Malaysia

Cakra Khan Tunai Janji Buat Peminat Di Malaysia

Penyanyi bersuara emas, Cakra Khan bakal kembali ke Kuala Lumpur untuk menghiburkan para peminatnya di sini.

Selepas kejayaan konsertnya di Dewan Plenari KLCC pada Januari lalu, penyanyi kelahiran Pangandaran, Indonesia ini mempersembahkan sebuah lagi konsert menerusi acara Dream Festival Collaboration Vol. 4. Cakra Khan Live In Kuala Lumpur bakal berlangsung di pentas Zepp Kuala Lumpur pada 17 September depan.

Konsert kali ini nyata lebih istimewa kerana ia menjadi simbolik perjalanan kerjayanya sebagai penyanyi selama lebih sedekad. Penonton akan disajikan dengan himpunan lagu popularnya termasuk lagu pertama, Harus Terpisah yang menaikkan namanya di Indonesia dan Malaysia.

CAKRA KHAN

Cakra Khan Bakal Ditemani Penyanyi Misteri

Menariknya ia juga akan menampilkan penyanyi undangan khas dari Malaysia yang identitinya masih dirahsiakan. Pengarah Projek Dream Festival, Rama Ananda Ambri turut menjanjikan hiburan luar biasa daripada penyanyi berusia 31 tahun itu.

“Kemunculan Cakra bersama penyanyi undangan misteri itu akan menghangatkan lagi siri Dream Festival Collaboration Vol. 4. Ia sekali gus membawa penonton merentas perjalanan hiburan yang tidak terlupakan. Sebagai penyanyi, Cakra dilihat sebagai sosok yang sangat berbakat dan mempunyai karisma tersendiri setiap kali beraksi di pentas. Dikenali dengan kehebatan vokal dan aksi penuh energetik, kami yakin kemunculan terbaharu Cakra pasti memberikan kepuasan kepada peminat,” katanya.

Tambahnya, mereka komited untuk memberikan pengalaman konsert yang tidak akan dilupakan semua penonton. Tiket dijual pada harga RM178 (Kepada Hati), RM198 (Terlanjur Cinta), RM318 (Kekasih Bayangan), RM508 (Tanpa Batas Waktu) dan RM5,880 (Royal Box untuk lapan penonton) di Ticket2u.

See also
Buah Tangan Istimewa Daripada Afgan Buat Peminat Di Malaysia

Cakra Khan meraih perhatian dunia Julai lalu setelah berjaya memukau barisan juri dan penonton America’s Got Talent dengan suara serak basahnya pada pusingan awal. Keunikan vokalnya membawakan lagu No Woman, No Cry nyanyian Bob Marley & The Wailers melayakkannya memperoleh empat ‘Yes’ daripada barisan juri – Simon Cowell, Heidi Klum, Howie Mandel dan Sofia Vergara.

Cakra Khan America's Got Talent

Foto: DetikInet

 

Foto: Facebook

Artikel Berkaitan: Penantian Peminat Berakhir, Faizal Tahir Tampil Dengan Konsert Sulung