Power Couple Hollywood, Joe Manganiello & Sofia Vergara Umum Perceraian - Glam Malaysia
Power Couple Hollywood, Joe Manganiello & Sofia Vergara Umum Perceraian

Power Couple Hollywood, Joe Manganiello & Sofia Vergara Umum Perceraian

Industri Hollywood dikejutkan dengan berita perceraian salah satu pasangan selebriti paling romantis, Joe Manganiello dan Sofia Vergara.

Pasangan itu membuat keputusan untuk membawa haluan masing-masing selepas lebih tujuh tahun mendirikan rumah tangga. Kali terakhir mereka dirakam bersama adalah pada bulan lalu di Hoboken, New Jersey. Ketika itu Sofia menziarahi Joe di lokasi penggambaran filem terbaru suaminya bersama Vince Vaughn bertajuk Nonnas.

Bagaimanapun ketika menyambut ulang tahun kelahiran ke-51 di Itali baru-baru ini, aktres Modern Family itu hanya ditemani rakan-rakannya tanpa kehadiran Joe di sisi. Cincin perkahwinan di jari manisnya juga tidak kelihatan. Ini sekali gus mencetuskan tanda tanya di kalangan peminat. Hanya selepas beberapa hari, pasangan itu mengumumkan perceraian menerusi satu kenyataan bersama.

“Kami telah membuat satu keputusan yang sukar iaitu untuk bercerai. Sebagai dua orang yang sangat menyayangi dan mengambil berat tentang satu sama lain, kami mohon privasi kala mengharungi fasa baharu dalam hidup kami ini.”

Punca Perceraian Joe Manganiello & Sofia Vergara

Walaupun punca sebenar perpisahan mereka tidak diketahui, satu sumber terdekat mendedahkan bahawa ia terjadi disebabkan ketidaksefahaman yang berpanjangan. Mereka dilaporkan tidak lagi mencintai satu sama lain, gemar meluangkan masa sendirian dan lebih mengutamakan kerjaya berbanding hubungan suami isteri.

Pertemuan pertama Joe dan Sofia berlaku di Majlis Makan Malam Perwakilan Rumah Putih pada 2014. Ketika itu Sofia masih lagi bergelar tunangan kepada ahli perniagaan, Nick Loeb. Hanya selepas beberapa minggu pasangan itu berpisah pada Mei 2014, Joe meminta nombor telefon aktres itu dan perhubungan mereka berkembang pantas. Pada Hari Krismas tahun sama, aktor Magic Mike itu melamar dan mereka berkahwin setahun kemudian pada bulan November 2015.

Sofia Vergara Joe Manganiello

Foto: Instagram

Pasangan itu diraikan dalam satu majlis gemilang yang berlangsung di Palm Beach, Florida dengan kehadiran 400 tetamu. Antara selebriti yang hadir memeriahkan majlis adalah Reese Witherspoon, Channing Tatum, Anna Paquin, Stephen Moyer, Ariel Winter, Jesse Tyler Ferguson dan Sarah Hyland. Sepanjang tujuh tahun perkahwinan, mereka tidak dikurniakan cahaya mata. Bagaimanapun Sofia mempunyai seorang anak lelaki bernama Manolo, 32, hasil perkongsian hidupnya dengan suami pertama, Joe Gonzalez.

 

Foto: Getty Images

Baca: Mengejutkan! Finding Your Roots Bongkar Susur Galur Joe Manganiello