Perdana Menteri Rai Kedatangan Coldplay Dengan Mesej Tersirat - Glam Malaysia
Perdana Menteri Rai Kedatangan Coldplay Dengan Mesej Tersirat

Perdana Menteri Rai Kedatangan Coldplay Dengan Mesej Tersirat

Kedatangan Coldplay ke Malaysia untuk menjayakan konsert jelajah dunia mencuri perhatian ramai peminat, termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kumpulan rock terkemuka itu bakal tiba di Malaysia pada bulan November bagi menjayakan siri jelajah Music Of The Spheres World Tour. Ini merupakan konsert sulung Coldplay dan dijadualkan berlangsung pada 22 November 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

coldplay

Kumpulan yang dianggotai oleh Chris Martin, Jonny Buckland, Guy Berryman dan Will Champion itu memulakan siri jelajah pada Mac lalu di Costa Rica. Persembahan mereka diteruskan di beberapa lokasi di seluruh pelosok dunia termasuk Tokyo, Kaohsiung (Taiwan), Jakarta, Perth seterusnya Kuala Lumpur.

Menerusi satu perkongsian di Facebook, Perdana Menteri mengalukan kedatangan Coldplay ke Malaysia dengan menitipkan ucapan ‘selamat datang’ berserta mesej penting. “Coldplay, selamat datang ke Malaysia. Ayuh kita bekerjasama, melindungi alam sekitar dan menjaga keselamatan dunia. Terima kasih,” kata beliau dalam video yang dimuat naik berserta kapsyen, “Jumpa anda pada bulan November!”

@utusantimur

Datuk Seri Anwar Ibrahim mengalu-alukan kedatangan kumpulan muzik ternama dari United Kingdom, Coldplay ke Malaysia pada November depan. #coldplay #coldplaymalaysia #malaysiamadani #utusantimur

♬ original sound – Utusan Timur – Utusan Timur

Sumbangan Coldplay Buat Malaysia

Ramai peminat teruja dengan ucapan Perdana Menteri meraikan kedatangan kumpulan dari United Kingdom itu, malah ada yang menyangka beliau merupakan salah seorang peminat. Bagaimanapun kebanyakannya tidak memberi perhatian pada mesej penting mengenai alam sekitar yang diselit dalam ucapan Perdana Menteri.

coldplay

Pasti ramai tidak menyedari bahawa Coldplay pernah menabur jasa terhadap Malaysia dengan menyumbang mesin memerangkap sampah sungai, Interceptor 005 pada 2022 bernilai RM3.2 juta. Ia merupakan kolaborasi mereka bersama pertubuhan tidak berasaskan keuntungan Belanda, The Ocean Cleanup. Matlamat mereka adalah untuk mencegah sampah dan pencemaran daripada masuk ke dalam laut.

“Jika tiada tindakan, mungkin akan ada lebih banyak plastik daripada ikan di lautan pada 2050. Sebab itulah kerja The Ocean Cleanup sangat penting. Kami bangga menaja Interceptor 005 yang akan memerangkap ribuan tan sampah sungai sebelum sampai ke lautan,” kata kumpulan yang mementingkan kelestarian alam itu.

Menurut Boyan Slat, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif The Ocean Cleanup, Malaysia merupakan negara pertama yang menerima Interceptor 005. Mesin ini adalah yang kedua di Malaysia selepas Interceptor 002 yang telah beroperasi di Sungai Klang sejak Ogos 2019.

 

Foto: Twitter/Bloomberg

Baca: Barisan Selebriti Tersohor Yang Menyokong Kelestarian Alam Sekitar