Kediaman - Butik Peribadi - Glam Malaysia

Kediaman – Butik Peribadi

Melewati akaun instagram milik Mohd Fadzil yang menggunakan tag @lvwkl dan @lvw243 kami sedikit teruja dengan paparan gambar kediamannya lantas menjadikan kami ingin menyunting kediaman ini sebagai paparan di dalam GLAM Deko. Oleh kerana jadualnya yang padat ketika berkhidmat sebagai krew penerbangan sebelum ini menjadikan rancangan ini sentiasa tertangguh. Kini sesudah dia tidak lagi meneruskan kerjaya di awan biru, dengan mudahnya dia memberi kami kebenaran untuk memotretkan kediamannya. Sebelum ini kami sering bertemu di acara-acara sekitar ibu kota yang menyaksikan jejaka yang mesra dipanggil Lychee ini hadir bersama teman-teman rapatnya.

Memasuki kediaman ini, susun atur yang bijak menjadikan ianya terlihat kemas walaupun pada hakikatnya Chee memiliki banyak koleksi barangan termasuklah perabot dan aksesori. Melintasi ruang dapur, deretan pinggan mangkuk yang menjadi koleksinya diatur kemas di kaunter sarapan. Antara yang menarik perhatian adalah daripada jenama Ralph Lauren Home dan Royal Doulton.

Seleksi Perabot

Usai membancuh minuman, kami kembali duduk bersama menikmati minuman, bersama sedikit kuih-muih ringkas. Saya bertanya mengenai pemilihan perabot yang menghiasi ruang makan ini. “Kerjaya di awan biru membawa saya banyak mengembara. Sempat juga saya kumpul pelbagai bahan mentah yang boleh digunakan dalam menghias kediaman. Khususnya di ruang makan ini, sebenarnya saya terinspirasi oleh ruang makan di Hotel Mandarin Oriental. Mereka berjaya membangkitkan rasa cosy dan damai biarpun di ruang makan hotel. Untuk itu, saya menempah khas sofa dan otoman menggunakan kain sutera Thai yang saya beli terus dari Bangkok.

See also
GLAM Deko PROMOSI - Temple Tree @ Bon Ton, Langkawi

“Saya pilih fabrik yang bersesuaian untuk digunakan sebagai penghias kediaman. Selain otoman, langsir kediaman juga menggunakan helaian-helaian sutera Thai yang telah saya miliki. Manakala untuk meja makan ini, saya berusaha mencari sesuatu yang praktikal buat kediaman dengan saiz ruang terhad. Lantas saya memilih menggunakan meja dari kedai perabot terpakai yang pernah digunakan di hotel-hotel ternama. Dengan permukaan marmar dan saiz yang tepat, saya membawa pulang tiga unit dan menggunakan dua daripadanya sebagai meja makan untuk kediaman ini. Apabila bilangan tetamu bertambah, saya mengeluarkan unit yang ada di dalam simpanan,” kongsinya lagi.

Koleksi peribadi

Menurut Chee, dia sememangnya gemar membeli pelbagai bahan hiasan dan perabot untuk kediaman. Sebelum menetap di kediaman ini, biarpun hanya menyewa dia sudah membeli, mengumpul dan menyimpan pelbagai koleksi dekorasi dengan harapan untuk menghiasi kediamannya sendiri satu hari nanti. Ternyata percaturannya berbaloi apabila dikurniakan rezeki mendiami kediaman ini yang mempunyai kelusan mencecah 1200 kaki persegi. Bertentangan ruang makan yang saya duduki, Chee memilih untuk menciptakan ruang menonton yang turut dihiasi koleksi cenderamata kembara miliknya. Bersebelahan ruang makan ini pula menjadi ruang tamu utama yang indah dalam gaya kontemporari dan diterjemahkan mengikut cita rasanya. Oleh kerana meiliki koleksi yang agak banyak, sekali-sekala Chee turut menghantar pulang barangan ke rumah ibunya yang terletak di Johor Bahru.

See also
Panduan Memilih Material Permaidani Buat Kediaman

Seperti yang saya nyatakan di awal tadi, Chee memiliki jenama LVWKL yang membawakan rangkaian aksesori dan beg eksklusif yang kini menjadi kegilaan pencinta fesyen dan sosialit ibu kota. Tidak kurang jika saya katakan, ada sahaja jelitawan kota yang menjinjit tas milik jenamanya di majlis-majlis ternama. Dari minggu fesyen hinggalah ke pelancaran juga ke acara-acara keraian seperti rumah terbuka, rantai manik berbalut fabrik bersama tas ini sememangnya mempunyai personanya tersendiri. Dengan memiliki jenama aksesori dan tas tangan ini, kediaman ini turut dijadikan ruang pamer untuk para pelanggan singgah dan melihat sendiri koleksi yang ada. Malahan menjadi pilihan teman-teman rapat menjamu selera dan bersantai-santai sambil melihat koleksi terbaru di bawah jenamanya.

Kini sesudah hampir lima tahun mendiami kediaman ini dia merasakan ingin cuba menyuntik nafas baru yang dirasakan bersesuaian. Biarpun belum menetapkan sebarang konsep tertentu, tetapi saya dapatkan merasakan elemen fesyen dan gaya hidup yang begitu menebal pada kediaman ini bakal diterjemahkan. Namun diberi suntikan pembaharuan yang lebih moden dari segi pilihan perabot mungkin dalam perancangannya. Semoga projeknya untuk mengubah suai ruang kediaman akan terlaksana dan  dijemput lagi ke sini menikmati wajah baru kediaman ini.

See also
Pembukaan Semula Atelier Asnières dan Galeri Louis Vuitton.