Semarakkan Rumah Tangga Kala PKP - Glam Malaysia

Semarakkan Rumah Tangga Kala PKP

Rumah tangga mana yang tidak pernah dilanda badai, terutama sekali kala negara dilanda wabak pandemik Covid-19 ini. Namun, jangan terlalu melayan perasaan ini hingga ia mampu mengundang keretakan dalam perhubungam, seterusnya anak-anak pula akan menjadi mangsa. Berikut adalah cara untuk anda semarakkan kembali rumah tangga yang terbina terutama sekali kala Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

1. Lakukan Aktiviti Bersama Di Rumah

Walaupun anda berdua tidak boleh keluar rumah, namun banyak aktiviti yang boleh dilakukan bersama di dalam rumah seperti memasak, melakukan senaman ringan bersama dan lain-lain lagi. Aktiviti akan lebih menyeronokkan jika anak-anak turut sama menyertainya.

2. Pujilah Pasangan Anda

Inilah masanya untuk anda memuji pasangan, sekiranya sebelum ini anda tiada masa untuk melakukannya. Tidak kiralah pasangan anda sudah berisi atau penampilan kurang menarik, pujilah mereka. Ungkapkan kata yang sedap didengar barulah hatinya akan berbunga. Kata-kata seperti, “awak sangat baik, saya senang dengan sikap awak dan awak rajin,” itu sudah mencukupi.

See also
Datin X: Anak Dan Menantu Pemalas

3. Layan Mereka Sebaiknya

Jangan sesekali lupa tanggungjawab anda sebagai suami atau isteri. Pastikan anda tahu apa pasangan anda mahukan dan sentiasa ambil berat mengenai dirinya. Tidak salah kiranya suami membantu isteri membuat kerja rumah. Isteri pula, perlulah pandai menjaga makan pakai suami. Barulah keharmonian rumah tangga dapat dipupuk semula. Jika asyik makan di luar, apa kata ubah sikap itu. Air tangan isteri mampu memikat hati suami.

4. Anggap Mereka Kekasih Hati Anda

Jarang dapat dilihat pasangan suami isteri menganggap pasangan mereka adalah kekasih hati dan mereka tidak menyedari hakikat ini. Seorang suami atau isteri bukan sekadar suami isteri, tetapi mereka adalah pasangan kekasih yang sedang melayari bahtera kehidupan rumah tangga yang memerlukan kasih sayang dan cinta agar pelayaran mereka kekal hingga ke akhir hayat.

5. Buat Kejutan

Sekali-sekala apa salahnya jika anda membuat kejutan dengan memberikannya hadiah. Kalau tidak mampu memberinya hadiah yang mahal, cukup sekadar sejambak bunga yang dihantar di hadapan pintu rumah oleh penghantar barang. Jika waktu bercinta anda boleh memberinya hadiah, kenapa tidak sikap ini berterusan hingga selepas mendirikan rumah tangga bersama walaupun anda berdua berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Jika kewangan mengizinkan, lebih elok jika anda bawa dia bercuti. Kenang memori indah waktu anda berbulan madu bersamanya. Pasti romantis.

See also
Himpunan Foto Karya David Bailey

6. Jangan Buat Perbandingan

Terima dia seadanya dan jangan sesekali membeza-bezakannya. Sikap suka membandingkan pasangan tidak seharuisnya wujud dalam sebuah hubungan. Jika sikapnya sudah berubah, bimbing dan nasihatinya supaya berubah ke arah yang lebih baik. Jangan biarkan dia terus hanyut dengan sikap itu. Sebagai suami dan isteri, anda ada hak untuk memperbetulkan pasangan dan sama-sama berubah menjadi yang lebih baik.

Sumber: (Jelita) | Olahan: Wan Mohd Firdaus